Kemiskinan Dan Sebab- Sebabnya


Kemiskinan Dan Sebab-Sebab Berlakunya Kemiskinan

Apabila disebut kemiskinan ialah pendapatan seseorang di bawah keperluannya. Keperluan dari segi makan, minum, pakaian dan tempat tinggal. Fakir ialah pendapatan seseorang di bawah paras separuh daripada keperluannya. Kalau begitu jika pendapatan seseorang lebih daripada keperluannya walaupun berlebih satu sen, maka seseorang itu dianggap kaya. Sebagai contoh, katalah seseorang itu keperluan dirinya dan keluarga di bawah tanggungjawabnya sebulan sebanyak dua ribu ringgit. Kemudian dia mendapat dua ribu ringgit satu sen maka dia dianggap orang kaya oleh Islam. Oleh itu untuk menjadi orang kaya tidaklah susah sangat. Yang susah itu hendak menjadi jutawan atau
bilionwan.

Telah menjadi fitrah semulajadi manusia bahawa rata-rata manusia itu tidak suka menjadi miskin. Ertinya hampir semua manusia ingin menjadi orang kaya.

Lantaran itu manusia itu kebanyakan seluruh fikirannya, tenaganya diperah dan dikerah ke arah hendak mendapat kekayaan. Sekalipun manusia itu nampaknya mereka belajar untuk mendapat ilmu, namun mereka hendakkan ilmu itu pun dengan tujuan hendak dialatkan untuk mendapat kekayaan. Kerana manusia itu memandang kemiskinan itu adalah musuh mereka. Sebab itulah mereka benar-benar struggle, tidak jemu-jemu berusaha untuk mencari kekayaan agar dapat memerangi kemiskinan itu.

Tapi perlu diingat bahawa tidak semua orang boleh menjadi kaya. Manusia boleh berusaha tapi Allah Taalalah yang mentakdirkan dan menentukannya.Yang gagal menjadi kaya lebih banyak daripada yang berjaya. Tapi kalau hendak menjadi kaya mengikut ukuran Islam seperti yang telah kita takrifkan di atas,itu agak mudah. Namun hendak menjadi orang kaya mengikut ukuran manusia adalah amat susah sekali. Sekalipun mereka mempunyai ilmu pengetahuan dan telah berjuang bersungguh-sungguh. Paling berjaya pun sesetengahnya sekadar hidup senang sahaja.

Kebanyakan manusia, setakat senang sahaja pun tidak mampu diperolehi betapa hendak menjadi kaya. Bahkan ramai pula yang berada di taraf miskin dan fakir atau papa kedana. Di dunia hari ini banyak berlaku di negara-negara bekas tanah jajahan terutama di benua Afrika.

Sebab-sebab jadi miskin

Sebab-sebab seseorang itu atau satu kaum atau satu bangsa itu menjadi miskin ada beberapa faktor. Di antaranya ialah:

1. Adalah disebabkan kemiskinan yang diwarisi dari ibu bapa yang miskin atau kaum atau bangsa yang miskin yang mungkin sudah berlarutan berpuluh-puluh atau beratus-ratus tahun.Lahir-lahir sahaja telah menjadi miskin. Kemudahan-kemudahan dan aset-aset yang mereka warisi daripada ibu bapa atau generasi sebelumnya amat sulit sekali untuk mereka membuat perubahan daripada miskin kepada kaya.

2. Disebabkan malas, mungkin setengah kaum atau bangsa itu sifat pemalas itu telah diwarisi daripada datuk nenek mereka sebelumnya. Hingga sifat malas itu disambung oleh generasi kemudiannya hingga menjadi budaya hidup. Kalau telah menjadi budaya, bukan senang hendak disedarkan agar menjadi kaum atau bangsa yang rajin. Agar kemiskinan cepat dapat diatasi.

3. Setengah orang atau kaum atau bangsa tidak mempunyai ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan belum lagi terbuka kepada mereka. Sedangkan ilmu faktor yang penting untuk seseorang atau satu kaum atau satu bangsa itu mendapat kekayaan kerana mencari kekayaan memerlukan ilmu dan pengalaman yang luas.

4. Oleh kerana seseorang itu Allah SWT telah takdirkan dilahirkan di dalam keadaan tubuh badan yang cacat. Sudahlah begitu, dia lahir di dalam keluarga yang miskin pula. Justeru itu dia tidak dapat bergerak cergas untuk aktif mencari kekayaan.

5. Disebabkan penjajah. Oleh kerana penjajahan ke atas sesuatu bangsa atau kaum. Memang sudah menjadi dasar setiap penjajah agar anak jajahannya tidak mampu bangun untuk membebaskan diri dan tanah airnya. Ataupun kalaupun satu hari nanti mereka merdeka tetap mereka bersandar dengan bekas tuan penjajahnya.Maka penjajah membuat satu sistem dan dasar agar penduduk asli dan penduduk tempatan menjadi miskin dengan tidak diberi peluang yang mudah untuk menjadi senang. Atau menjalankan dasar pintu terbuka untuk kemasukan orang luar. Kemudiam diberi kemudahan untuk hidup agar anak pribuminya terdesak dan terpinggir menjadi papa kedana. Hingga kemiskinan diwarisi beratus tahun oleh anak cucunya.

6. Disebabkan adakalanya sebuah negara itu kerajaannya zalim dan menindas, diskriminasi pemerintahannya mementingkan diri, keluarga dan klik-klik sendiri. Kemudahan-kemudahan hidup hanya untuk mereka sahaja. Sedangkan orang lain yang bukan kawan, bukan keluarga dan bukan ahli parti dibiarkan tidak ada kemudahan diberi. Rakyat umum juga dibiarkan maka ramailah rakyat yang miskin.

7. Sesetengah negara-negara yang berideologikan komunis atau negara sosialis yang tidak memberikan hak dan kebebasan yang cukup kepada rakyatnya untuk hidup mencari kekayaan. Mereka tidak diberi hak milik. Segala-galanya untuk negara sehingga rakyat menjadi miskin. Di dalam pengalaman saya dahulu sebelum saya ditangkap saya berpeluang berada di luar negeri selama tiga tahun. Kebanyakan negara-negara komunis atau sosialis yang saya lawati rata-rata rakyatnya miskin.

8. Ada setengah orang atau setengah kaum, Allah Taala jadikan watak semulajadi tidak suka bersusah payah. Mereka bekerja sekadar untuk hidup. Walaupun ada peluang untuk senang namun mereka tidak mahu mengambil peluang itu, mereka cukup sekadar apa yang ada.

9. Ada setengah umat Islam suka hidup secara miskin kerana kalau menjadi kaya ditakuti tidak boleh bersyukur dan tidak dapat menunaikan kewajipan sepertimana yang diperintahkan oleh Allah Taala dan mereka pula jika susah tidak pula meminta-minta dan menyusahkan orang lain. Mereka sanggup hidup ala kadar. Bahkan orang ini di waktu-waktu berlebih-lebihan hartanya atau makan minumnya mereka tidak akan menyimpan. Di masa itu juga mereka akan memberi kepada mereka yang mustahak menerimanya.Sikap itu memang dibenarkan oleh Allah Taala. Sebenarnya miskin cara ini tidak ramai, yang ramai miskin secara lain seperti telah disebutkan sebelum ini.

10. Ada setengah orang terpaksa menjadi miskin disebabkan keluarganya besar. Walaupun pendapatannya lumayan atau agak besar tapi orang yang hendak ditanggungnya ramai seperti anak dan isterinya yang ramai, di samping ada pula anak yatim yang hendak dijaga dan diurus.

11. Ada setengah umat Islam,jadi miskin kerana suka khidmat dan menolong orang. Tidak boleh melihat orang susah, mesti ditolongnya. Siapa sahaja meminta akan diberinya. Selalu sahaja menderma dan mewakafkan hartanya untuk kebajikan umum. Kalau dia tahu ada orang Islam yang berhutang lebih-lebih lagi kawannya, dia mesti membayar hutang kawannya itu. Bahkan orang ini sanggup berhutang kerana berkhidmat dan menolong orang. Di akhir zaman ini umat Islam yang miskin cara ini lebih-lebih lagi hampir sudah tidak wujud lagi.

12. Ada setengah orang, untuk kehidupannya, seperti makan, minum, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain lagi adalah hasil daripada usaha pertanian atau berniaga. Kemudian dengan takdir Allah SWT kebunnya diserang oleh musuh tanaman atau datang banjir melanda. Maka jadilah mereka orang miskin atau perniagaannya jatuh bankrap.

13. Ada setengah orang jadi miskin kerana dibuang kerja.Dibuang kerja itu tentulah berbagai-bagai sebab pula.Tidak perlulah disebutkan di sini.

14. Ada setengah orang, jatuh miskin kerana ditimpa sakit yang teruk dan berpanjangan pula hingga tidak dapat lagi berusaha untuk mencari rezeki.

15. Ada setengah orang, jatuh miskin disebabkan kematian suami atau ayah atau anak yang mana selama ini, suami atau ayahnya atau anaknya itulah yang berusaha mencari rezeki untuk mereka.

16. Ada setengah orang atau kaum, ditimpa bencana alam seperti kemarau berpanjangan, tanah pertanian gersang, tidak adanya benda yang boleh ditanam sebagai sumber rezeki.

17. Ada setengah orang, atau satu kaum, menjadi miskin, negaranya ditimpa zaman kemelesetan seperti jatuh nilai matawang, barang pula naik harga, gaji dipotong atau setengahnya dibuang kerja, setengahnya terpaksa menjadi muflis.

Cukuplah sekadar itu saya menyebutkan di antara sebab-sebab seseorang atau kaum itu menjadi miskin. Sebab-sebab menjadi miskin seperti yang saya telah senaraikan itu biasalah berlaku. Sering berlaku dan waktu saya menulis ini pun sebahagiannya sedang berlaku.
Bagi umat Islam, kalau berlakulah kemiskinan tidak kira apa sebab-sebabnya, bagaimanakah sikapnya, yang sepatutnya mereka lakukan sesuai dengan ajaran Islam?

Mereka patut lakukan ialah seperti berikut:

1. Hendaklah sabar atau sebaik-baiknya redha menerima ketentuan daripada Allah SWT itu.

2. Hendaklah kemiskinan itu diterima sebagai ujian daripada Allah Taala
untuk menghapuskan dosa atau untuk meninggikan darjat atau bertaubat dan rujuk kembali kepada Allah. Mungkin ini disebabkan hukuman dari Allah Taala bukan ujian kerana kita membelakangi Allah Taala selama ini atau derhaka kepada-Nya.

3. Jangan putus asa kepada Allah Taala. Memohonlah selalu kepada-Nya di samping berusaha lagi dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan rezeki dari-Nya.

4. Berhiburlah kerana dengan sebab kemiskinan itu di Akhirat kelak hisabnya tidak banyak. Kerana orang miskin di dunia tanggungjawabnya kurang atau tidak banyak, tidak seperti orang kaya.

Kewajipan Orang Kaya

Di antara keindahan ajaran Islam itu ialah ia sesuai dengan fitrah semulajadi manusia. Perkara yang sesuai dengan fitrah semulajadi manusia itu banyak. Tapi di sini saya akan menyebut satu di antaranya agar sesuai dengan tajuk di atas, ialah agama Islam membenarkan setiap orang itu mencari kekayaan walau sebanyak mana sekalipun. Ingin menjadi kaya ini adalah tabiat semulajadi manusia. Tidak ada manusia yang tidak ingin menjadi kaya. Kalau ada seorang dua itu tidak dimasuk kira. Yang jarang berlaku, ia tidak boleh dijadikan hukumnya.

Di sini bersatu atau bersekutu di antara kemahuan semulajadi manusia dengan kebenaran dari ajaran Islam. Di sinilah di antara indahnya ajaran Islam itu. Ia tidak bercanggah dengan fitrah semulajadi manusia. Apa yang manusia mahu di antaranya menjadi kaya, tidak bercanggah dengan ajaran Islam.Oleh itu setiap individu muslim carilah kekayaan dengan cara berniaga, bertani, menternak dan lain-lain lagi asalkan jangan melampaui batas.

Ertinya dalam mencari kekayaan kenalah jaga syariat agar usaha kita itu bukan sahaja mendapat keuntungan bahkan mungkin usaha itu diberi pahala sama oleh Allah Taala yang Maha Pemurah.Setelah seseorang berusaha dan berjuang bersungguh-sungguh mencari kekayaan, kemudian berhasil menjadi orang kaya atau millioner atau billioner maka dia ada mempunyai kewajipan dan tanggungjawab yang mesti ditunaikan.
Memang mengikut ajaran Islam siapa yang ada mempunyai kelebihan dari orang lain, sama ada harta dan wang ringgit dari orang lain. mereka mempunyai kewajipan dan tanggung jawab yang lebih kepada masyarakatnya dari orang lain yang lemah daripadanya. Orang kaya dengan harta, dia mempunyai kelebihan di sudut harta dan wang ringgit dari orang lain. Mereka mempunyai kewajipan dan tanggungjawab yang lebih kepada masyarakatnya dari orang lain dengan kekayaan dan hartanya itu. Di antara kewajipan dan tanggungjawabnya kepada masyarakat ialah:

1. Wajib
Wajib mereka mengeluarkan zakat harta apabila sampai haulnya iaitu setiap setahun sekali sebanyak 2.5%.

2. Kewajipan yang aradhi
Iaitu mereka wajib pula menunaikan tanggungjawab dari kekayaannya untuk keperluan semasa yang mendatang atau yang terdesak seperti:

a. Jika negara diserang musuh wajib mereka menggunakan duitnya untuk membeli senjata-senjata. Lebih-lebih lagi jika diminta oleh pemerintah.

b. Negara berhadapan dengan zaman kemelesetan. Wajib mereka membantu negara.

c. Keperluan pendidikan atau perhubungan untuk kepentingan umum.

3. Yang pemerintah tidak berkemampuan mereka berkewajipan bertanggungjawab melengkapkan atau mencukupkan keperluan itu. Mereka tidak boleh menganggap itu hanya tanggungjawab pemerintah semata-semata.

4. Jika pemerintah mengarahkan agar mereka membuat perkara-perkara ini demi kepentingan umum kerana negara sudah tidak mampu lagi, wajib mereka menunaikannya.

5. Mereka yang enggan mematuhi pemerintah untuk memberi hartanya demi kepentingan umum. Maka pemerintah boleh memaksanya dan mereka mesti memberinya.

6. Kewajipan yang lain, wajib mereka merendah diri kepada orang ramai. Kerana orang kaya kalau mereka merendah diri, ini sangat memberi kesan kepada orang ramai. Orang ramai akan insaf dan malu. Maka mudahlah mereka dididik kepada kebaikan. Memang orang yang disegani seperti pemerintah, orang-orang besar, orang kaya, kalau mereka merendah diri, mudahlah orang ramai didisplinkan dan dididik kerana orang ramai mudah meniru dan mengikut orang-orang yang dihormati dan disegani.

Selain itu, Islam sangat menganjurkan kepada penganut-penganutnya menjadi pemurah. Bukan sekadar sanggup mengorbankan yang wajib sahaja. Sama ada wajib yang ditetapkan mahupun wajib yang aradhi tapi digalakkan bersedekah, menderma, memberi hadiah, mewakafkan harta seperti tanah, bangunan, kebun, bahan-bahan bacaan, kenderaan dan lain-lain lagi. Agar cepat masyarakat Islam terbangun. Yang sedang maju akan bertambah maju, yang kurang maju akan jadi maju, yang kurang dapat dicukupkan, yang koyak dapat ditampal, yang lemah dapat dikuatkan. Yang tidak sempurna dapat disempurnakan, yang tidak sudah dapat disudahkan, yang tidak mampu dapat hidup sama dengan orang yang mampu, yang sedih ceria semula, yang terbiar dapat dibela. Fakir miskin tidak sengsara, anak-anak yatim terbela, janda-janda dapat dijaga.

Oleh kerana daripada sifat-sifat pemurah terutama daripada orang-orang kaya dan berada, masyarakat Islam terbela. Masyarakat Islam cepat maju, kasih sayang terjalin. Hubungan dengan yang kaya dan miskin rapat. Tidak ada orang yang terbiar. Perpaduan wujud. Kerjasama ada. Jurang sudah tiada. Sudah tentu jenayah kurang. Semua orang hidup dalam aman bahagia dan murni serta harmoni.

Kesan daripada pemurah orang-orang kaya dan kesan daripada tawadhuknya mereka dengan sebab itulah sifat pemurah sangat dikasihi oleh Allah SWT dan Rasul SAW. Dikasihi oleh semua orang. Banyak masalah masyarakat selesai.

Maka Allah Taala sangat kasih dan sayang dengan orang yang pemurah.

Firman Allah:
“Belanjakanlah (hartamu) pada jalan Allah dan janganlah kamu jatuhkan dirimua ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik.” (Al Baqarah: 195)

Sabda Rasulullah SAW:
Terjemahannya:
“Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia dan dekat dengan Syurga, tapi jauh dari Neraka.”

Oleh itu orang kaya dianjurkan:

1. Kurangkan seminar, banyakkan amal.
2. Kurangkan bercakap, banyakkan berbuat.
3. Elakkan pembaziran, banyakkan khidmat.
4. Sederhanakan kehidupan, banyakkan sedekah dan bantuan.
5. Jadikan kekayaan diri sebagai bank masyarakat. Agar masyarakat tidak merempat atau masyarakat tidak payah lagi bersandar kepada bank yang akan membelenggu rakyat.

Sedarlah wahai orang yang kaya dan orang yang berada,
Kekayaan yang ada pada dirimu,
Kekayaan yang ada padamu,
Adalah Tuhan yang punya,
Pulangkan semula kepada hamba-hamba-Nya,
Kamu tidak akan dihina,
Bahkan kamu akan menjadi orang yang mulia,
Di sisi Allah dan manusia .

SEKIAN

Categories: Uncategorized

Post navigation

Komentar ditutup.

Buat situs web atau blog gratis di WordPress.com. The Adventure Journal Theme.

Ikuti

Get every new post delivered to your Inbox.

Bergabunglah dengan 342 pengikut lainnya.

%d blogger menyukai ini: