Cara Memberi Kasih Sayang Yang Tepat


Sebenarnya untuk mendidik rakyat, anak-anak dan murid-murid, memang tidak terlepas dari kasih sayang sebab ia merupakan keperluan. Bagaimanapun kasih sayang itu bukan atas dasar akal, nafsu atau perasaan. Pendapat akal itu mesti ditapis oleh syariat. Kehendak atas dasar nafsu itu perlu ditapis syariat. Begitu juga perasaan itu mesti dicensor oleh syariat. Setelah disahkan oleh syariat, itulah kaedah yang boleh dipakai. Itulah dia cara atau pendidikan yang akan perlu digunakan untuk murid-murid dan rakyat. Itu pun syariat sahaja tidak cukup bila tidak ditunjang iman. Walau pun atas dasar ilmunya ia berdasarkan syariat tetapi kalau Tuhan tidak wujud di situ, syariat itu sudah jadi ideologi, jadi isme. Mana boleh ideologi itu baiki manusia walaupun secara kebetulan ia sama dengan syariat Tuhan.

Bila mana Tuhan tidak dibawa bersama, yakni kalau syariat itu tidak dididik bersama pendidikan yang membesarkan dan mengagungkan Tuhan, manusia tidak akan boleh dididik. Kalau begitu dalam mendidik manusia ini, samada ibu bapa hendak mendidik anak-anak, guru-guru hendak mendidik muridnya atau pemimpin hendak mendidik rakyatnya, tidak boleh merujuk pada 3 aspek tadi. Mesti dirujuk pada iman dan syariat Tuhan. Dengan kata lain, rujuk pada Tuhan dan syariat Nya. Mungkin peringkat awal menggunakan kaedah ini, sesetengah golongan tidak rasa diberi kasih sayang tetapi sebenarnya jangka panjang baru dia akan dapat hasilnya. Jangka panjang barulah dia akan faham dan boleh terima bahawa apa yang dilakukan ibu bapa, guru atau pemimpin itu membuahkan hasil yang baik. Dia akan rasakan itulah kasih sayang.

Peringkat awal mungkin dia rasa tersiksa dan terasa diikat oleh disiplin tetapi bila sudah cerdik, setelah dia mendapat faedah dari hasil didikan itu, barulah dia terfikir, rupanya bijak mak ayah atau guru atau pemimpin buat dia begitu. Cara pendidikan dengan iman dan syariat ini sebenarnya, buahnya tidak dirasa dalam jangka pendek. Tetapi jangka panjang, bila dia sudah dewasa dan sudah boleh berfikir, dia akan berkata, Bijaknya orang-orang yang sudah mendidik aku hingga aku jadi begini. (Samada ibu bapanya, gurunya atau pemimpinnya) Mereka akan rasakan kemuncak kasih sayang ibubapa, guru atau pemimpin itu adalah untuk selamatkan orang yang dididik itu dari neraka. Hingga dapat masuk syurga yang nikmatnya kekal abadi. Inilah pendidik yang baik, yang sangat memberi kasih sayang, yang tidak dapat dirasa peringkat awalnya.

Mendidik orang dengan nikmat dunia yang tidak kekal ini, tidak akan ke mana. Jangka pendek akan merosakkan dan jangka panjang nanti akan merugikan. Jangka pajang menyesal tidak sudah. Pemimpin, ibubapa atau guru yang mendidik dengan mengatakan dunia ini adalah segala-nya, nikmat dunia ini termasuk makan, minum, kenderaan dan rumah adalah segala-galanya, walaupun niatnya baik dan orang yang dididik cepat terasa, tetapi pada hakikatnya inilah para-para pendidik yang paling khianat pada bangsanya kerana untung seguni, rugi segunung. Orang yang dididik itu tidak terasa sebab hasilnya cepat. Dia fikir, Baik mak ayah aku. Bagi orang yang faham, dia akan kata ini pengkhianat bangsa. Bagi Allah dan Rasul, pendidik itu dianggap pengkhianat kepada amanah-amanah Allah.

Pemberian kasih sayang mengikut usia anak

Kemudian kasih sayang yang hendak kita beri itu pula ia berperingkat-peringkat :

1. Anak yang baru lahir hingga darjah satu. Anak-anak di usia ini, dia akan rasa disayangi dengan sentuhan-sentuhan pada dirinya. Walaupun tidak kita cakap, tidak diberi ilmu, dari sentuhan itu dia akan faham maknya sayang. Pada golongan ini, kasih sayang dapat ditunjukkan dengan didukung, dicium, bergurau.

2. Anak yang sekolah rendah hingga remaja. Ayah, ibu tidak tunjuk sayang atau benci. Kecuali pendidik akan hukum atau marah bilamana dia buat kesalahan yang berat. Pendidik boleh bercakap sedikit perkataan yang memberitahu kita kasih kepadanya. Sekadarnya, sebab takut dia riak. Selain itu berilah hadiah.

3. Golongan anak yang sudah dewasa. Pendidik dapat menunjukkan kasih sayang dengan dijadikan kawan. Kadang kita dengar ilmunya, tanya khabar berita, ajak berbincang.

Itulah peringkat-peringkat dalam cara memberi kasih sayang. Cara memberi kasih sayang dengan bertunjangkan Tuhan dan syariat memang susah sedikit, tapi untungnya untuk jangka panjang sangat besar.

Macamlah kita hendak makan durian yang manis, maka kita letak baja tahi ayam dan tahi lembu pada pokok durian itu. Nanti hasilnya akan dapat buah durian yang manis. Kalau dicampak gula yang manis pada pokok itu, mungkin pokok itu akan mati.

Rasulullah-lah paling sayang umatnya. Semoga ibu bapa, guru, pemimpin, berusaha bersungguh-sungguh memberi kasih sayang pada orang-orang dibawah tanggung jawabnya, dengan cara yang telah Rasul SAW contohkan.

Iklan