Cinta(1)


Bismilahhirrahmaanirrahim

Terima kasih Tuhan, dengan rahmat dan nikmat-Mu, Engkau buka di hadapan kami ilmu itu penting. Ilmu akan membuatkan seseorang itu akan mendapat hidayah. Sesuai dengan apa yang diberitahu dalam Quran, bacalah dengan nama Tuhan. Dalam erti kata lain Tuhan berkata hendaklah kamu berilmu dengan Tuhan engkau. Tuhan suruh kita membaca ertinya Tuhan suruh kita berilmu. Berilmu di sini atas nama Tuhan. Berilmu kerana Tuhan. Orang berilmu kerana Tuhan, dapat iman dapat ilmu. Orang yang dapat iman dan ilmu Tuhan ceritakan dalam Quran juga yang maknanya, Tuhan angkatkan orang yang beriman dan orang yang diberi ilmu dengan beberapa darjat.

Di sini kita faham kalau beriman sahaja tanpa ilmu, darjat tidak ada. Mungkin Tuhan terima tapi berilmu sahaja tanpa iman tertolak, tapi Tuhan bagi darjat bila beriman dan berilmu. Kalau berilmu sahaja tanpa iman tertolak, kalau beriman sahaja tanpa ilmu mungkin Tuhan terima tapi tidak ada darjat, yang ada darjat ada iman, ada ilmu. Sebab itu sabda Rasulullah yang bermaksud, kalau Allah nak jadikan seorang itu baik, diberi faham tentang ilmu. Jadi kalau kita nak dapat darjat mesti dengan iman dan ilmu, kalau iman sahaja tidak boleh, ilmu sahaja lagi tidak boleh. Iman dan ilmu adalah 2 perkara yang kuat menguatkan. Rasulullah saw bersabda kalau orang itu nak ditinggikan darjat akan diberi faham tentang ilmu. Moga-moga kita jadi orang beriman dan berilmu supaya kita dapat darjat di sisi Allah.

Selawat dan salam kepada junjungan besar Rasulullah SAW kerana dialah kita dapat rahmat dan nikmat ini. Marilah kita bersyukur banyak-banyak pada Tuhan, dan marilah kita selawat pada Rasulullah supaya kita dapat syafaat di Akhirat nanti. Kita faham tentang ilmu, kita diberikan iman dan ilmu supaya kita gabungkan iman dan ilmu supaya kita dapat darjat di sisi Tuhan.

Cinta ini merupakan satu ilmu. Kalau kita faham ilmu tentang cinta, boleh meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT. Cinta ini satu sifat yang baik, yang positif. Tuhan cinta, Rasul cinta, manusia semua cinta.

Seperti kita maklum, Rasul-rasul itu semua dicintai oleh Tuhan. Oleh kerana cintanya Tuhan kepada Rasul-rasul, sebab itu Tuhan bagi bermacam-macam gelaran kepada mereka. Tuhan bagi gelaran kepada mereka kerana Tuhan cinta kepada mereka. Ada yang diberi gelaran khalilullah, kalimullah, sirullah, tetapi Nabi Muhammad diberi gelaran habibullah. Gelaran-gelaran itu semuanya itu menunjukkan Tuhan kasih kepada Rasul-rasul. Kalau tidak, tidak diberi gelaran.

Tapi pelik Nabi Muhammad betul-betul istimewa iaitu disebut habibullah. Kekasih Tuhan. Jadi kekasih Tuhan yang digelarkan kepada Rasulullah agung dan istimewa. Dari Tuhan yang Maha Agung kepada Rasul yang agung. Di sini kita lihat Nabi Muhammad seorang Rasul yang paling istimewa hingga dia dapat gelaran habibullah. Oleh kerana Allah itu Kekasih Agung, maka gelaran itu diberi kepada kekasih yang paling agung.

Kasih ini salah satu sifat Tuhan yang ujud pada azali lagi. Oleh kerana Tuhan itu bersifat kasih maka Tuhan cinta kepada hambanya yang berkasih sayang. Cuma perlu diingatkan walaupun Tuhan itu pengasih disuruh juga hamba-Nya pengasih, tapi kasih hamba dan kasih Tuhan tidak sama, walaupun istilah dan perkataan sama tapi hakikatnya tidak sama. Kalau manusia ini satu sama lain kasih ada bermacam-macam cara. Ada yang kasih fitrah. Macam anak kasih kepada ibu ayah. A da yang kasih nafsu seperti kasih suami isteri. Ianya kasih juga tapi ada bercampur nafsu. Kasih ibu bapa kepada anaknya itu boleh dikatakan kasih fitrah. Ada kasih bersebab . Seperti ada orang buat baik pada kita, kita kasih pada dia, itu bukan kasih nafsu dan fitrah tapi kasih bersebab. Tapi kasih Tuhan bukan kasih bersebab, bukan kasih fitrah dan bukan kasih nafsu. Kalau kita cintakan Tuhan macam makhluk, syirik jadinya walaupun perkataan sama tapi hakikatnya tidak sama.

Makhluk pun kasih sesama antara satu sama lain pun berbeza-beza. Dia ditentukan oleh rasa. Macam seorang yang berkata saya sayang isteri mesti ada campur nafsu. Kalau dia kata saya kasih dengan anak saya bercampur nafsu akan jadi haruan makan anak. Kalau seorang itu berkata dia kasih pada anaknya dia ada rasa yang khusus, tidak seperti seorang yang kata dia kasih dengan isteri. Kalau dia kasih dengan anak perempuan macam dia kasih dengan isteri, bahaya jadinya. Lama kelamaan akan jadi haruan makan anak. Begitu juga kalau seorang kasih dengan isteri macam dia kasih dengan anaknya tidak salah tapi bahaya nanti dia tidak ada kemahuan dengan isteri, bila dekat dengan isteri dia teringat anak, begitulah kalau seorang itu dia kasih isteri macam kasih emaknya nanti dia tidak boleh bergaul dengan isteri. Walaupun istilahnya kasih, tapi tidak sama, itu kasih sesama manusia. Betapa dengan Tuhan, Tuhan kasih kepada makhluk-Nya. Ada Hadis Qudsi menyebut, aku kasih kepada hamba-Ku lebih dari kasih ibu dan ayah pada anaknya. Jangan pula kita bayangkan Tuhan itu kasih fitrah. Tak sedar syirik masuk di situ. Jangan katakan Tuhan itu kasih dari rasa. Kalau kita kata Tuhan itu kasih dari rasa, kita tuduh Tuhan ada hati. Maha Suci Tuhan dari ada hati. Jadi nak kena berhati-hati. Walaupun istilah sama di antara Tuhan dan makhluk, istilah dan perkataaan sama tapi hakikatnya tidak sama.

Kita faham kasih itu satu sifat Tuhan yang ujud sejak azali lagi. Oleh kerana kasih itu satu sifat yang ujud sejak azali lagi, Tuhan suruh sesama makhluk berkasih sayang. Cuma Tuhan ingatkan kepada kita, mengapa Tuhan suruh kita kasih pada makhluk-Nya tapi jangan sampai mengatasi kasih kepada Tuhan kerana Tuhan itu Cinta Agung. Cinta lain itu dibolehkan ikut kadarnya, Cinta Agung yang sebenar ialah Tuhan. Cinta Agung yang sebenar hanya kita bagi pada Tuhan sahaja, cinta kepada yang lain itu hanya ikut saiz sahaja.

Jadi kalau kita nak bagi cinta kepada Tuhan Cinta Agung tapi kepada yang selainnya itu mesti cinta yang sekadar saiznya sahaja. Kita diperintah oleh Tuhan supaya menjadikan Tuhan itu Cinta Agung dan yang lain itu cinta sampingan sahaja. Kalau cinta yang lain itu sudah melampau merosakkan cinta kepada Tuhan, lebih-lebih lagi cinta dunia sangatlah salah sebab Rasulullah cakap salah satu sebab umat Islam akan pecah belah di akhir zaman adalah kerana cinta dunia. Oleh kerana cinta dunia itu sudah atasi cinta Tuhan maka terjadilah pecah belah di akhir zaman, hasil pecah belah itu umat Islam terhina. Sebab mereka itu tidak boleh beri cinta yang agung kepada Tuhan.

Iklan