Gambaran Kehidupan Umat Islam Di Dunia


Di dalam kehidupan kita ini kalau kita luas pergaulan, lebih-lebih lagi jika kita jauh perjalanan, lihat kehidupan di kampung dan kehidupan orang di bandar, bandar kecil atau bandar besar apatah lagi kalau kita ada kesempatan pergi ke luar negara melihat kehidupan berbagai-bagai etnik dan bangsa, terutama yang berbagai etnik dan bangsa itu adalah yang beragama Islam.

Di dalam pergaulan kita yang luas itu berbagai-bagai watak, ragam dan sifat manusia yang kita temui dan jumpa.Di dalam berbagai-bagai ragam, watak dan sifat manusia itu pula tidak sama pula orang atau golongan yang memberi nilai kepada masyarakat yang disekelilingnya. Tidak kurang juga ada orang yang tidak memperduli orang yang dikelilingnya, apa pun yang berlaku dan terjadi dia tidak ambil peduli, tak ambil kisah pun, dia dengan keluarganya sendiri sahaja. Seolah-olah dia hidup tak campur orang, hanya dia sendiri dan sekitar keluarganya sahaja sekalipun hidup berada di tengah orang ramai. Memang ada orang yang sikapnya begitu.

Pernah kita jumpa ada keluarga yang hidup mereka miskin, mereka hidup dengan hasil pertanian yang mereka usahakan sendiri, pada mereka tidak ada duit, yang ada adalah bahan-bahan makanan daripada hasil tangan mereka. Mereka hidup beragama secara sederhana, sembahyang tidak pernah ditinggalkan, hidup dalam satu keluarga yang aman damai, bekerjasama, rasa bersama. Jiran sekeliling mereka sangat hormati, hasil pertanian mereka setelah dipetik diagih-agih kepada jiran-jiran mereka. Keluarga yang begini baik tidak ada pun masyarakat hendak memuji-muji sekalipun mereka beragama dan sangat berbudi kepada masyarakat. Bahkan tidak pernah mengganggu masyarakatnya. Mereka tidak dinilai apa-apa oleh masyarakat kerana di kalangan keluarga itu tidak ada yang berkelulusan tinggi betapa pulalah yang cemerlang di dalam pelajaran dan jawatan. Mereka pun tidak pernah terfikir hendak meminta di puji oleh masyarakat. Orang pun tidak ambil pusing tentang keluarga mereka kerana keluarga itu tidak ada apa-apa yang istimewanya di segi dunia.

Begitulah di dalam masyarakat yang hidup cintakan dunia bahawa kejayaan dunia itulah nilai manusia. Soal mereka tidak beragama mereka tidak ambil kira bahkan tidak dianggap cacat pun, yang penting mereka ada kelulusan, ada jawatan tinggi, ada nama, maka mereka itu manusia yang mendapat sanjungan dan pujian. Nama mereka sentiasa di dalam bualan manusia, memuji-muji, menyanjung-nyanjung. Mereka di jadikan contoh dan model sekalipun mereka tidak kenal dan takutkan Tuhan, agama ditinggalkan di dalam kehidupan.

Saudara-saudari,
Di dalam pengalaman hidup kita, tidak kurang juga kita pernah lihat ada keluarga yang kejayaan dunianya cemerlang dan terbilang, berpelajaran tinggi, berjawatan istimewa. Ada anaknya yang jadi doktor, ada yang engineer, pensyarah, ahli korporat. Oleh kerana kejayaan itu, keluarga itu merasakan ada kekuatan berdiri sendiri, tanpa bersandar dengan orang lain. Mereka telah mencipta kejayaan hidup yang senang dan selesa. Orang begini biasanya lupa Tuhan, agama tidak ada dalam kamus hidupnya. Tanpa memikirkan Tuhan mereka boleh hidup istimewa, tanpa beragama mereka boleh hidup senang. Mereka lebih istimewa hidupnya dari orang beragama. Mereka melihat memang ada orang yang beragama hidupnya miskin, susah, anak-anaknya tidak ada yang berpelajaran dan berjawatan tinggi, lantas memandang orang beragama itu hina, bahkan ada yang menuduh agamalah yang menjadi sebab mereka miskin, tidak berpelajaran tinggi, tidak berjawatan tinggi. Fikiran dan jiwa masyarakat umum pun sudah lama macam fikiran mereka. Sekalipun ada di kalangan mereka itu juga tidak maju dan tidak bernasib baik maka keluarga tadi di anggap orang yang berjaya di dalam hidupnya walaupun sudah kehilangan Tuhan dan agama.

Masyarakat memuji-muji dan menghormati mereka. Masyarakat menjadikan keluarga itu adalah contoh, mereka dibual-bualkan oleh masyarakat di dalam perbualan-perbualan mereka sekalipun mengikut Tuhan mereka adalah orang-orang jahat dan fasik, tapi ukuran masyarakat adalah baik.

Begitulah apabila dunia yang menjadi ukuran bukan agama, orang baik dianggap jahat, orang jahat dianggap baik.Yang cemerlang dianggap malang, yang malang di anggap cemerlang.

Saudara-saudari,
Di dalam kehidupan kita di dunia ini, tidak kurang juga ada keluarga yang tidak maju di dalam pelajaran, tidak ada jawatan tinggi, tidak pula kaya, hanya hidup sederhana. Oleh kerana mereka sedar membina nama dengan kecemerlangan dan terbilang itu adalah mengikut ukuran dunia bukan Akhirat, mereka hidup berbangga dengan pelajaran dan jawatan tinggi sedangkan mereka tidak berjaya memperolehinya. Mereka hendak juga membina nama dan glamor, mereka inginkan sanjungan tinggi dan penghormatan, maka mereka pun mencari nama dan dengan jalan singkat. Mereka membuat perkara-perkara yang pelik untuk mencari nama dan kemasyhuran. Mereka pun memanjat gunung-gunung yang tinggi, atau berenang menyeberang lautan yang dalam, maka mereka pun mendapat pujian negara.

Mereka diberi pingat dan diberi gelaran wira bangsa dan negara sekalipun mereka tidak berpelajaran tinggi dan berjawatan istimewa dan tidak beragama. Tuhan tidak ada dalam kepalanya. Mereka dianggap orang baik dan berjasa oleh negara atau bangsa yang semacam mereka. Padahal mengikut pandangan Tuhan mereka adalah orang-orang jahat yang diberi gelaran baik. Mereka adalah tertipu oleh nama dan gelaran. Mereka tidak pun mengharap keredhaan Tuhan, tapi mengharapkan keredhan bangsa dan negara. Orang semacam ini termasuk orang yang tertipu dalam kehidupan. Kalau tidak bertaubatlah, mati, Nerakalah jawapannya, wal`iyazubillah.

Mungkin pandangan saya ini sensitif buat masyarakat hari ini, ia mungkin akan menjadi kemarahan sesetengah orang, yang sudah rosak cara berfikirnya dan yang sudah rosak jiwanya. Orang yang tidak ada jasa pada bangsa dan negara sekadar boleh panjat gunung yang tinggi dan boleh menyeberangi lautan yang dalam dan luas, kalau kita kritik ramai orang akan marah dan menuduh kita hasad dengki dan sebagainya.
Padahal apa sajalah jasa mereka pada bangsa dan negara lebih-lebih lagi pada agama sekadar menunjukkan kekuatan fizikal padahal pada menjayakan kemampuan-kemampuan itu agama sudah terabai, Tuhan sudah dibelakangkan. Mungkin di masa itu negara terpaksa menyumbang kewangan untuk kejayaannya, sedangkan mereka tidak menyumbang apa-apa yang berbentuk material dan ilmu pada bangsa dan negara.

Begitulah cara berfikir umat Islam hari ini di seluruh dunia termasuk pemimpin umat Islam, mungkin juga ulama yang sudah begitu tersasul dan tersasar dari kebenaran. Yang sudah jauh daripada di kehendaki oleh Tuhan pencipta manusia itu sendiri.

Saudara-saudari,
Tidak kurang juga di dalam hidup kita ini kita bertemu dengan orang yang cemerlang di dalam bidang agama dan cemerlang juga di sudut dunianya. Berjaya di dalam kemajuan agama, berjaya di bidang kemajuan dunianya. Di bidang dakwah dia yang berjaya menyedarkan dan menginsafkan sebahagian manusia sama ada yang Islamnya dapat ditingkatkan keIslamannya mahupun dapat mengIslamkan orang yang bukan Islam. Ramai orang yang berubah hasil didikan daripada jahat kepada baik, daripada tidak Islam menjadi Islam. Ramai orang yang sayang padanya kerana dia membawa agama cintakan Tuhan dan cintakan sesama manusia tidak kira apa bangsa dan agama.

Disamping itu dia juga berjaya membawa pengikut-pengikutnya maju di sudut kemajuan dunianya, dapat menegakkan ekonomi, pendidikan, kebudayaan dsbnya. Maka dia pun terkenal. Pengaruhnya besar maka ada pula sebahagian pemimpin yang iri hati, akhirnya hasad dengki. Pemimpin itu merasakan kepimpinannya tercabar dan tercalar. Ditakutinya pengaruhnya terhakis, maka untuk menjatuhkannya dia dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan dan alasan. Dia dituduh militan, tidak campur orang, membawa ajaran sesat dll tuduhan untuk mengelirukan rakyat agar dia munasabah ditangkap dan diharamkan gerakannya. Padahal orang itu menguntungkan bangsa, negara dan agama bahkan menjadi aset negara. Tetapi oleh kerana dia berpengaruh mengatasi pemimpin yang ada, maka dia dinyahkan dan dipinggirkan melalui hukuman yang dijatuhkan.

Begitulah bangsa Islam yang sudah rosak fikiran dan jiwanya, sekalipun seseorang itu menguntungkan bangsa, negara dan agama tapi pemimpin tercabar, tidak menguntungkan pemimpin , maka terpaksalah bangsa, negara dan agama menerima kerugian yang besar. Inilah salah satu sebab di akhir zaman tidak ada satu bangsa umat Islam yang kuat dan gagah kerana sikap yang telah kita nyatakan tadi.

Saudara-saudari,
Di dalam hidup ini kita jumpa juga ada sekelompok manusia di kalangan umat Islam yang akhlak mereka telah rosak, ramai umat Islam yang telah menjadi mangsanya, terutama muda-mudi. Mereka merosakkan generasi di zamannya melalui pergaulan bebas, melalui suaranya, melalui budaya kuning dan liar yang selalu dipertontonkan di kaca tv, di tempat umum. Dipamerkan akhlak mereka dan sikap hidup mereka di muka-muka surat khabar dan media-media massa. Kalau ada orang yang sedar dan mengkritik kerana perbuatan mereka sudah ramai orang yang rosak agama dan akhlaknya, orang yang akan mempertahankan puak-puak itu adalah para pemimpin, mungkin juga ada sebahagian ulama. Bukan mereka tidak sedar bahawa puak itu telah merosakkan agama dan akhlak rakyat dan telah meliarkan muda-mudi daripada Tuhannya. Maka side effectnya berlaku banyak jenayah, zina, rogol, pergaduhan, tidak taat ibu bapa dan guru, pergaduhan, vandalism dll gejala sosial yang memeningkan kepala semua golongan masyarakat oleh kerana mereka sudah terlalu lalai. Bukan saja mereka telah meninggalkan agama mereka bahkan kemajuan dunia pun mereka abai dan cuaikan.

Sesetengah golongan yang menguasai masyarakat dan media massa bukan tidak sedar bahawa perbuatan mereka boleh merosakkan agama dan bangsa, tetapi mereka mendapat untung dan tidak mencabar para pemimpin bahkan sesetengah pemimpin pula ambil peluang dan tumpang semangkuk di tengah-tengah majlis bersama mereka.Maka sebab itulah para pemimpin membiarkan sahaja perbuatan mereka tanpa dibendung dan disekat padahal sesetengah mereka ada kuasa membendung dan menyekat. Begitulah kalau pemimpin juga sudah rosak moral dan aqidah mereka, mereka juga turut hanyut ditengah masyarakat itu. Bukan sahaja mereka tidak mendapat cemuhan, bahkan memberi tempat berleluasa golongan perosak itu. Mereka disanjung dan dimuakan, hinggakan golongan perosak itu lebih berani lagi mencipta budaya liar dan tidak bersopan hingga susah hendak dikawal.

Saudara-saudari,
Pernah juga kita jumpa golongan korporat yang berjaya, hidup mewah tajaan negara. Dia memberi kekuatan ekonomi kepada negara. Menteri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan pun segan dan hormat kepada mereka. Kerana kekayaannya dia pun lupa daratan. Agama itu hanya di upacara-upacara rasmi sahaja, bergaul pun dengan orang yang ada kelas, dia hanya bergaul dengan para-para menteri sahaja. Pada mereka agama hanyalah untuk orang-orang kampung, orang-orang miskin dan ahli-ahli agama. Dia lebih popular daripada para menteri, di mana ada menteri, dia ada. Kalau menteri bersembahyang di masjid dia sama ikut bersembahyang di masjid. Bergaul dengan golongan bawahan jangan mimpilah kecuali mungkin di majlis-majlis rasmi sekali-sekala sebagai adat dan tradisi rakyat.

Mereka itu walaupun tidak memperdulikan agama, tidak pernah orang mengata, berleluasa, negara pun bangga. Dia hendak buat apa pun tidak ada orang yang berani mengkritik, siapa berani mengkritik, dia orang penting negara, dia memberi kekuatan kepada ekonomi negara, seolah-olah mereka orang istimewa yang dikecualikan daripada sebarang disiplin agama , maklumlah anak emas negara.

Begitulah kalau seseorang itu kedudukan dan status dunianya tinggi dan istimewa. Kalau sikap hidupnya orang tidak suka pun, orang segan hendak mengata dan menghinanya. Tapi kalau orang itu beragama, berpengaruh pula, cuma dia bukanlah anak emas sesiapa, tapi ada pengikut, akan ada para pemimpin dan ahli agama yang iri hati dan sakit hati. Maka akan dicari-carilah kesalahannya. Kalau kecil kesalahannya maka akan dibesar-besarkan lebih-leboh lagi kalau ada perbuatan mereka yang tidak boleh difaham oleh masyarakat umum sekalipun ada dalam ajaran agama tapi sudah tidak difaham lagi oleh ramai umat Islam apatah lagi mengamalkan. Maka ada alasan untuk disesatkan agar orang itu ditolak oleh masyarakat Islam. Begitulah watak akhir zaman, yang hak selalunya ditolak, yang batil selalunya diterima. Orang baik dimusuhi, orang jahat dihormati kerana ada keuntungan duniawi.

Oleh kerana kebenaran dan yang haq itu dari Tuhan, ia adalah teguh dan kuat. Di belakangnya dibacking oleh Tuhan. Jangka panjang, yang benar dan haq itu akan terserlah juga. Akhirnya yang haq itu akan berjaya dan menang. Ia hanya sebagai ujian dari Tuhan kepada pejuang-pejuangnya. Memang sudah menjadi tradisi dan sunnatullah yang batil itu cepat berjaya dan menang. Yang haq lambat berjaya dan lambat menang.

Kerana memang Tuhan lakukan begitu agar orang yang memperjuangkan kebenaran itu diberi pahala yang banyak kerana Tuhan mahu orang-orangNya itu biarlah istimewa di Akhirat daripada di dunia yang murah dan sementara waktu ini.

Sekianlah sedikit gambaran kehidupan manusia umat Islam di dunia akhir zaman ini. Nilainya telah berubah begitu rupa, sudah terbalik. Orang jahat mendapat tempat dan sanjungan, orang baik dimusuhi, disingkirkan dan dipinggirkan.

SEKIAN

Iklan