Hidup Bersama Tuhan


Orang bertaqwa ertinya orang yang hidupnya sentiasa bersama Tuhan.Orang yang hatinya kuat rasa kehambaan dan rasa bertuhan. Cita-cita dan matlamat mereka adalah Tuhan. Kerisauannya adalah bimbang terputus dari Tuhan. Cemasnya adalah kerana tidak tahu bagaimana kedudukan dirinya di sisi Tuhan. Lebih menggerunkan ialah dia tidak tahu apakah di Akhirat nanti Tuhan terima atau tidak. Sedangkan Akhirat nanti kekal abadi dan tiada siapa yang bersimpati serta tiada siapa yang dapat menolong. Masing-masing sibuk dengan diri sendiri.

Orang bertaqwa ertinya orang yang mendapat Tuhan. Mendapat Tuhan ertinya mendapat segala-galanya. Hidup orang bertaqwa ini senang, tenang dan bahagia kerana susah dan senang sama sahaja baginya. Kedua- duanya tetap mendatangkan keuntungan. Kalau susah dia sabar kerana kesusahan itu datang dari Tuhan, serta yakin kesusahan itu hanya sementara dan akan Tuhan iringi pula dengan., anugerah nikmat. Kalau senang pula dia bersyukur kerana itu adalah anugerah Tuhan. Kalau kita gembira dengan kesenangan, mengapa dukacita di atas kesusahan sedangkan dua-duanya datang dari Tuhan. Alangkah bahagianya orang yang setiap situasi hidupnya sentiasa mendapat Tuhan yang ertinya mendapat keuntungan. Inilah maksudnya mendapat segala-galanya. Untung di dunia hidup dalam ketenangan. Untung Akhirat pula Tuhan tidak sia-siakan dengan menganugerah ganjaran berlipat ganda tanpa diduga di Akhirat kelak .

Siapa yang tidak inginkan kebahagiaan kerana kebahagiaan adalah fitrah manusia. Setiap manusia berbuat apa sahaja yang semuanya ingin mencapai tujuan akhir iaitu kebahagiaan, biar pun sedikit sahaja yang berjaya memperolehi kebahagiaan hakiki. Berbagai cara yang manusia laksanakan dengan tidak jemu-jemu memburu dan mencubanya. Itu semua bertujuan. untuk merasa bahagia. Majoriti manusia tidak memperolehi nya kecuali hanya sekadar eskapisma yang bersifat sementara Hanya sekadar melupakan sekejap penderitaan batin yang tidak kunjung padam. Manusia hanya mencapai utopia yang di awang-awangan, tidak berpijak di bumi nyata, tidak menjadi eskapism, kepura-puraan dan menipu diri sendiri.

Untuk mengecapi kebahagiaan yang sebenar, terimalah. hakikat kehidupan ini sangat tertakluk kepada sukatan dan ketentuan Tuhan yang Maha Berkuasa. Hati yang benar-benar dapat merasai kehendak Tuhan itulah yang berlaku dan merasa beruntung dalam apa situasi sekalipun, akan menikmati keindahan hidup yang disebut sebagai Al-jannatul `ajilah syurga yang disegerakan sebelum Syurga yang hakiki.

1. Banyak perkara yang kita mahu, yang kita inginkan, yang kita idam dan menjadi cita-cita kita. Kita berusaha untuk mendapatkannya, memperolehinya atau mencapainya. Kita pun berjaya atau usaha kita itu berhasil. Bersyukur dan berterimakasihlah kepada Tuhan yang menganugerahkan kejayaan itu. Iringilah pula dengan rasa bimbang kerana dengan kejayaan itu sekaligus merupakan amanah, tanggungjawab dan ujian. Tuhan mahu melihat bagaimana hamba-hamba-Nya melaksanakan tuntutan syukur itu. Paling utama ialah tidak merasai kejayaan itu adalah hasil usaha dan kepandaian diri. Bahkan kekal dengan rasa hina, dhaif, tidak upaya dan tidak layak memikul amanah.

2.Setiap perkara yang diingini, yang diidamkan, setiap kemahuan, impian dan cita-cita, diusahakan untuk mencapainya, tidak semuanya akan berhasil atau berjaya memperolehinya. Banyak yang menemui kegagalan. Bersabar dan terima dengan penuh redha dan rela. Kerana Tuhan yang lebih mengetahui ke atas tiap sesuatu.
Semuanya tertakluk kepada sukatan dan ketentuan Tuhan. Suatu kegagalan mungkin dilihat negatif oleh manusia namun di sebalik itu tersimpan berbagai hikmah yang hanya Tuhan sahaja yang mengetahuinya. Terlalu banyak hikmah, iktibar, didikan dan pengajaran Tuhan di sebalik kegagalan itu. Bersyukurlah kerana Tuhan menyimpan berbagai kebaikan di sisi-Nya. Mudah-mudahan dengan kegagalan itu akan kekal rasa dan sifat kehambaan, menjadi penghapusan dosa kalau pun tidak sampai meningkatkan darjat.

3.Sering juga terjadi perkara yang kita cita-cita, yang kita idamkan dan diusahakan untuk mendapatkannya, namun tersasar dari keinginan asal. Dalam situasi begini, perasaan yang wajar ialah terimalah hakikat bahawa kita manusia ciptaan Tuhan ini tidak memiliki kuasa mutlak. Yang memiliki kuasa mutlak ialah Tuhan. Lantaran itulah tidak semua dicapai menurut kehendak dan usaha kita. Segala usaha itu tidak lebih dari menghadirkan sebab yang disyariatkan oleh Tuhan. Itu pun dengan maksud supaya manusia mendapat pahala dari usaha tersebut. Yakinlah tiada yang sia-sia dari setiap yang Tuhan anugerahka serta yakinlah bahawa itulah yang terbaik untuk kita, cum kita tidak mengetahui dan memahaminya. Setiap sesua adalah di bawah takluk dan pentadbiran Tuhan. Di si kita mendapat pengajaran bahawa kalau kita ada kua tentulah kita akan memperolehi apa yang kita mahu . Manusia paling berkuasa tetap tidak terlepas dari mengantuk, sakit, bencana alam, dikutuk dan dihina orang, tua,uzur dan mati. Apabila mati, manusia lain yang menguruskannya untuk disemadikan di dalam tanah. Selepas itu tidak upaya pula untuk menempuh Padang Mahsyar, Hari Hisab dan akhirnya ke Syurga atau ke Neraka.
4.Kita juga perlu menerima hakikat bahawa kita juga berusaha menghindari banyak perkara seperti sakit, kemalangan, kegagalan, ada yang berjaya dan ada yang gagal. Kadang-kadang berjaya, kadang-kadang gagal. Di sini juga kita dapat merasakan bahawa Tuhan mengawal dan mentadbir tiap-tiap sesuatu. Tuhan Maha adil yang melakukan sesuatu ke atas hamba-hamba-Nya penuh berhikmah. Sedikit sahaja hikmah yang dapat diselami, sekadar dapat difikirkan oleh akal yang amat terbatas.

Kepelbagaian keadaan yang Tuhan lakukan kepada manusia itu yang paling utama Tuhan mahu manusia sentiasa merasa bertuhan, tidak putus hubungan dan pergantungan kepada yang Maha Berkuasa. Ketika susah dapat dirasakan didikan Tuhan kepadanya, maka bertambah iman. Ketika senang terasa luasnya rahmat Tuhan, bertambah pula azam untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. Ketika susah, gagal, sakit, musibah, bencana, terasa pula cubitan kasih sayang dari Tuhan dan sekaligus sebagai suis, otomatik dari Tuhan untuk hamba-Nya berpaling kepada Tuhan. Andainya memahami hakikat ini, alangkah beruntungnya kerana setiap situasi tidak putus dari rasa kehambaan dan rasa bertuhan.

5.Satu aspek yang mungkin amat jarang disedari oleh manusia iaitu telalu banyak perkara dan peristiwa yang telah, sedang dan akan berlaku adalah sesuatu yang tidak pernah terlintas atau terfikir. Sama ada sesuatu perkara, kejadian dan peristiwa itu berkait secara langsung dengan kita atau tidak ada kena mengena dengan kita. Keadaan ini yang paling banyak berlaku. Kalau ada yang mahu memikirkannya sering terhenti setakat kajian sebab dan akibat. Sekadar berfikir tentang punca sesuatu perkara atau peristiwa itu berlaku. Amat jarang bahkan hampir tiada yang mahu mengaitkan dengan Tuhan. Jarang atau hampir tiada yang mahu melihat dan merasakan bahawa Tuhan yang menjadikan tiap-tiap sesuatu.

Sebab akibat memang merupakan ketentuan atau sunnatullah. Namun apakah sebab itu bukan dari Tuhan? Sesuatu akibat yang bermula dari sebab, sedangkan sebab itu Tuhan juga yang datangkan untuk menghasilkan akibat. Tuhan hendak menghasilkan kesembuhan dari sebab ubat, ubat itu juga datangnya dari Tuhan. Tuhan hendak kenyangkan manusia dengan sebab makan, makanan itu juga dari Tuhan dan Tuhan yang ciptakan makanan. Tuhan yang tadbir dengan menentukan jenis benda yang hendak dimakan. Ertinya tidak pula boleh makan sebarang benda seperti batu, kayu, plastik atau besi.

Peristiwa atau kejadian yang tidak pernah diduga, yang berlaku di luar diri atau tiada kaitan dengan diri bertujuan untuk menjadi iktibar teladan dan pengajaran. Menjadi peringatan bahawa bila-bila masa sahaja kejadian yang sama boleh menimpa diri. Bila-bila masa tanpa disangka, giliran kita akan menerima nasib yang sama. Oleh itu bersedia dan waspadalah. Hari ini kita mendengar puluhan orang mati mendadak kerana letupan bom. Esok tanpa diduga mungkin giliran kita pula tetapi dengan punca yang berbeza. Hari ini kita dikejutkan dengan peristiwa mati beramai-ramai kerana kapal terbang terhempas, atau banjir lumpur, atau tsunami atau tanah runtuh. Esok lusa orang lain pula terkejut mendengar berita kematian kita kerana tercekik ikan puyu, atau jatuh katil, atau dilanggar lori, atau kita langgar lori dan sebagainya.

Tuhan berbuat tidak mengira siapa. Di sisi Tuhan seluruh makhluk itu sama sahaja. Hidup di dunia ini sementara sahaja bahkan amat sekejap. Akhirat yang kekal abadi. Bandingan Akhirat dengan dunia dari segi masa ialah sehari di Akhirat sama dengan seribu tahun di dunia. Ertinya dinisbahkan Akhirat, kehidupan kita ini hanyalah sekitar satu jam sahaja.

Apa sahaja yang Tuhan lakukan ke atas makhluk-Nya kita tidak berhak mempersoalkannya lebih-lebih lagi tiada hak untuk memprotesnya. Tuhan punya kuasa mutlak, terpulang kepada Tuhan untuk berbuat apa sahaja. Hamba hendaklah merasai diri itu adalah hamba dengan serbaserbi kekurangan, kedhaifan, lalai, leka dan banyak menderhakai Tuhan. Sekaligus hendaklah merasai bertuhan, iaitu rasa-rasa yang selayaknya bagi Tuhan. Jangan sekali kali menyalahkan Tuhan atau buruk sangka terhadap Tuhan. Dan jangan mengistimewakan diri sendiri. Ketika gagal dikatakan takdir Tuhan, ketika berjaya dianggap diri pandai, istimewa, luar biasa. Ini sangat tidak beradab dengan Tuhan. Hakikatnya kedua-dua keadaan itu dari Tuhan. Namun sebagai hamba yang wajib beradab dengan Tuhan, maka ketika gagal dirasakan kesalahan dan dosa diri, ketika berjaya anggaplah sebagai anugerah Tuhan.

Lima situasi kehidupan inilah di antara maksud hidup bersama Tuhan. Penjelasan ringkas ini sudah memadai untuk memahamkan kita bagaimana untuk meletakkan diri sebagai hamba kepada yang Maha Pencipta. Di situlah nanti bakal menemui rahsia kebahagiaan yang sebenar. Menjadikan hidup penuh ceria, optimis, tenang dan senang. Tidak ada rasa keluh kesah, gelisah, putus asa dan kecewa.

Iklan