“Jati Diri”


Jati diri ini adalah istilah baru. Dahulu,istilah ini tidak ada digunakan. Ramai orang merasakan mereka faham apa maksud jati diri tetapi kalau diminta untuk menerangkannya, mereka kurang yakin. Ramai orang keliru dengan istilah jati diri ini. Di zaman sebelum dan sejurus selepas merdeka (1957), para remaja lebih terpelihara dan tidak terlalu terdedah kepada pengaruh-pengaruh negatif yang merosakkan. Pengaruh negatif ketika itu tidaklah terlalu berleluasa seperti sekarang ini. Para remaja masih kuat berpegang kepada adat resam ketimuran dan ajaran agama. Mereka sedikit sebanyak masih mempunyai jati diri.

Dua puluh hingga tiga puluh tahun kebelakangan ini lain pula ceritanya. Dengan konsep langit terbuka dan dunia tanpa sempadan(borderless world) pengaruh negatif datang bertali arus dan jati diri para remaja merosot dengan teruknya. Mereka hilang ketahanan jiwa. Mereka mudah terpengaruh dan terjebak dengan segala macam kerosakan, maksiat dan budaya kuning. Mereka mudah hanyut mengikut arus. Mereka tidak ada pegangan dan pendirian.

Mereka tidak mampu menangkis pengaruh yang jahat dan merosakkan. Mereka sukar membezakan yang baik dengan yang buruk. Selalu sahaja mereka terpengaruh dan terjebak dengan yang jahat dan buruk. Pandangan mereka tidak jauh. Mereka hanya nampak apa yang di hadapan mata. Itulah yang mereka gila-gilakan dan besar-besarkan walaupun perkara itu akan memusnahkan kehidupan mereka jangka panjang. Penglibatan remaja dengan maksiat, gejala sosial dan dadah yang berlaku di Malaysia hari ini ada pertalian rapat dengan kemerosotan dan kelemahan jati diri para remaja.

Jati diri orang akal
Maksud jati diri ini terpulang kepada fahaman orang yang menyebutnya. Bagi orang akal, jati diri ini ialah keteguhan, ketahanan dan kekuatan fizikal dan mental. Bagi orang akal, jati diri ialah fizikal dan mental yang tahan dan lasak. Kedua-dua kekuatan ini dikatakan perlu untuk mencapai segala cita-cita dalam hidup yang mencakupi berbagai bidang. Hendak keliling dunia dengan bot layar, hendak panjat gunung Everest atau hendak berenang melintasi Selat Inggeris, ini semuanya perlukan jati diri yang teguh dan padu.

Begitu juga untuk berjaya dalam pelajaran, dalam perniagaan, dalam perusahaan, dalam kepimpinan, dalam kerjaya dan sebagainya, semuanya memerlukan jati diri. Iaitu ketahanan, keteguhan dan kelasakan fizikal dan mental untuk menuju kepada sesuatu pencapaian dan kejayaan.Sebab itu cara orang akal membina jati diri ialah dengan melatih fizikal dan mental di kem-kem latihan jati diri supaya kedua-duanya menjadi teguh dan kuat. Ini kata mereka akan meningkatkan kemampuan dan ketahanan fizikal dan mental seseorang.

Jati diri bagi orang akal hanya bertujuan untuk mencapai kepentingan dan kejayaan duniawi semata-mata. Kadang-kadang dalam hendak mencapai jati diri ini berbagai kegiatan yang melalaikan dan maksiat dilakukan termasuk berpesta-pesta, camp-fire, pergaulan bebas lelaki perempuan dan sebagainya. Sembahyang tidak dititik beratkan. Soal iman, soal akhlak dan kemurnian hati tidak diambil kira.

Hasilnya, remaja dan muda-mudi mungkin bertambah kuat membuat kerja-kerja lahir tetapi akhlak dan keperibadian mereka rosak. Mereka semakin jauh dari agama dan semakin jauh dari Tuhan. Jiwa mereka lemah dan mudah jinak dan terpengaruh dengan maksiat dan kemungkaran.
Jati diri orang agama
Jati diri bagi orang agama atau orang rohani lain pula maksudnya.Jati itu pada bahasa membawa maksud murni. Dalam konteks ini, ia juga membawa maksud keteguhan seperti kayu jati yang kuat dan teguh hingga boleh diukir tanpa ia patah.Kayunya pun tahan lama, tidak lapuk dan tidak dimakan anaianai atau bubuk. Perabot yang diperbuat dari kayu jati tahan dan boleh digunakan turun temurun.

Diri itu bukan pula fizikal atau mental (akal) manusia sahaja. Ia adalah hakikat diri manusia itu sendiri iaitu hatinya atau jiwanya atau rohnya. Yang dikatakan diri manusia itu ialah hatinya. Oleh itu, bagi orang agama, jati diri itu ber maksud keteguhan atau ketahanan hati atau keteguhan jiwa. Inilah maksud jati diri yang sebenarnya.

Oleh itu, jati diri yang sebenarnya seperti yang difahami oleh orang agama bukan sahaja setakat kekuatan fizikal dan mental. Ia termasuk juga keteguhan hati, roh atau jiwa. Jati diri bagi orang agama bertujuan untuk meneguh dan menguatkan jiwa supaya tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang melalai dan merosakkan. Ia bertujuan untuk mencapai kemurnian hati demi untuk menempah kejayaan dan keselamatan di dunia dan di Akhirat. Orang yang mempunyai jati diri ialah orang yang kuat rasa bertuhan dan kuat berpegang kepada agama. Dia tegas dan berprinsip. Sentiasa di atas jalan yang benar dan lurus. Dia tidak mudah terpengaruh dengan keadaan dan suasana yang rosak.

Menguatkan fizikal itu mudah. Menguatkan mental lebih rumit sedikit tetapi boleh juga dikira mudah. Tetapi menguatkan hati atau jiwa itu amat sulit dan amat rumit. Tidak semua orang faham akan tuntutan-tuntutan dan liku-likunya, jauh sekali mampu melaksanakannya. Ia perkara yang halus dan seni yang melibatkan soal roh dan hati. Ia bidang yang khusus untuk orang yang khusus. Bukan semua orang boleh memahami dan melakukannya.

a. Menguatkan fizikal
Dalam menguatkan fizikal, cukuplah dengan menjaga beberapa perkara yang melibatkan hal fizikal. Makan minum contohnya kenalah secara sederhana dan pada waktunya. Jangan makan terlalu banyak dan jangan terlalu sedikit.Makanlah makanan yang berkhasiat. Kunyah makanan sampai lumat sebelum ditelan.Kerehatan kena dijaga. Tidur biar cukup. Jangan terlalu banyak tidur. Jangan pula terlalu kurang. Tidurlah di waktu qailullah (lebih kurang satu jam sebelum Zuhur) dan selepas waktu Isyak di waktu malam. Jangan tidur selepas waktu Asar dan Subuh dan di waktu selepas makan. Ia merugi dan memudaratkan.

Kebersihan lahir perlu dijaga dari najis, kekotoran dan fudhul (hasil rembesan badan yang kotor) seperti peluh, daki, tahi gigi, tahi hidung, tahi telinga, tahi kuku dengan istinja, mandi, berus gigi, potong kuku dan sebagainya. Jaga kebersihan rumah dan persekitaran. Buat latihan fizikal dan beriadhah terutama dengan cara yang digalakkan oleh Islam seperti bertani, mengembara, menunggang kuda, berenang, memanah dan lain-lain lagi.

b. Menguatkan mental
Dalam menguatkan mental pula cukup dengan belajar ilmu dan menimba pengalaman. Ilmu termasuklah ilmu fardhu ain, ilmu fardhu kifayah dan ilmu yang harus. Ini boleh dilakukan dengan belajar, membaca dan bermuzakarah. Kita boleh menimba pengalaman dalam berbagai bidang hidup seperti masyarakat, iklim, ekonomi, kebudayaan, adat istiadat dan sebagainya dengan mengembara, membuat kajian, melihat, memerhati dan meneliti segala kejadian di sekeliling kita dan berkongsi pengalaman dengan orang lain dengan mendengar dan membaca.

c. Menguatkan jiwa
Usaha untuk menguatkan jiwa, hati atau roh adalah lebih rumit. Ia dibangunkan dengan ilmu, iman dan taqwa. Dengan menguatkan aqidah dan pegangan kepada Tuhan. Dengan membina jiwa tauhid. Ia bukan setakat percaya pada Tuhan tetapi mesti ada rasa cinta dan takut pada Tuhan. Mengetahui bahawa Tuhan ada peranan dalam hidup. Merasakan bahawa diri itu hamba dan menanam segala sifat-sifat hamba di dalam hati. Mengamalkan dan menghayati syariat hingga ia benarbenar berkesan di jiwa.

Jati diri yang sebenar adalah ketahanan hati bukan kekuatan fizikal ataupun kekuatan mental semata-mata. Jati diri adalah kekuatan jiwa dan keteguhan hati. Ia adalah ukuran kekuatan seseorang manusia. Tanpa jati diri bererti tidak ada ketahanan jiwa. Jiwa jadi rapuh, reput dan lemah. Jiwa akan diserang dan dihinggapi oleh berbagai-bagai penyakit. Sifat-sifat dan pengaruh yang negatif mudah masuk ke dalam hati dan merosakkannya. Jiwa tidak ada pertahanan dan terdedah kepada bahaya.

Akhirnya, manusia hanyut dari hak dan kebenaran dan terperangkap dalam kelalaian dan kebatilan. Mereka tersasar dari jalan yang lurus. Mereka menjadi renggang dengan agama dan renggang dengan Tuhan. Inilah titik tolak bagi kemusnahan dan kehancuran hidup manusia. Menguatkan jiwa manusia bukan kerja semua orang. Tidak semua orang mampu melakukannya. Orang yang hendak melakukannya mestilah terlebih dahulu mempunyai jiwa yang kuat dan kuat pula hubungan dan pautan hatinya dengan Tuhan.
Jati Diri Dan Kekuatan Sesuatu Bangsa
Sesuatu bangsa itu tidak akan jadi kuat kalau jiwa bangsa itu kosong. Untuk sesuatu bangsa itu menjadi kuat, mesti ada perkara yang dijiwai atau yang dijadikan aqidah dan pegangan.Bagi bangsa yang bukan Islam, mereka menjiwai dan berpegang kepada ideologi atau kepada kegagahan dan kemuliaan bangsa mereka. Bagi orang Islam, kita berpegang dan menjiwai Tuhan dan kebenaran.

Jika Tuhan dan kebenaran dijiwai sungguh-sungguh serta dijadikan pegangan dan aqidah, maka ia akan menjadi satu sumber tenaga, pendorong dan juga satu ikatan perpaduan yang kuat Banyak bangsa telah menjadi kuat kerana menjiwai keturunan dan kemuliaan bangsa mereka. Mereka merasakan bahawa bangsa mereka adalah lebih baik dan lebih mulia daripada bangsa-bangsa lain di dunia hingga ini menjadi satu aqidah dan pegangan bagi mereka. Atas keyakinan ini, bangsa tersebut berjuang membangunkan bangsa mereka dan berusaha menundukkan bangsa-bangsa lain dan menakluk mereka dengan berbagai-bagai cara. Mereka tidak rela duduk di bawah bangsa-bangsa lain. Mereka mahu tawan dunia dan menjadi tuan di dunia ini.

Contoh yang paling ketara ialah bangsa Jerman dan Yahudi.Hanya cara mereka berjuang tidak sama. Bangsa Jerman menggunakan kekerasan dan kuasa tentera. Bangsa Yahudi menggunakan akal dan menakluk bangsa lain secara halus, lembut dan perlahan-lahan. Mereka menawan dan menakluk fikiran bangsa-bangsa lain sehingga mereka itu jadi rosak, lemah dan tidak bermaya. Mereka terpaksa bergantung kepada bangsa Yahudi atau sistem-sistem yang dilagang oleh Yahudi.

Ada bangsa menjadi kuat kerana ideologi seperti demokrasi,komunisma, sosialisma dan lain-lain hingga ia menjadi aqidah dan pegangan mereka. Negara Cina contohnya yang mempunyai banyak suku kaum dan bangsa-bangsa yang berbeza adat resam dan bahasa boleh bersatu dan menjadi kuat disebabkan ideologi komunisma yang mereka hayati. Agama adalah perkara yang paling ampuh untuk menjadikan sesuatu bangsa itu kuat terutama agama Islam sekiranya ia benar-benar dihayati dan diperjuangkan. Ini kerana Islam membawa kebenaran dan menguatkan hubungan kita dengan Tuhan. Apa sahaja yang diperjuangkan atas namakebenaran dan untuk Tuhan, maka Tuhan akan memberi kekuatan yang luar biasa. Tuhan akan mendatangkan berbagai-bagai bantuan dan pertolongan yang tidak diduga.Kalau Islam dihayati, jiwa umat Islam akan terbina dengan sendirinya. Pembinaan jiwa inilah yang akan menghasilkan jati diri.
Kenapa Jati Diri Rosak
Dua puluh ke tiga puluh tahun kebelakangan ini, kurang usaha dibuat untuk menguatkan jati diri para remaja. Remaja hanya diajar, diajak dan digalakkan mengejar dunia. Selepas dunia,dunia. Selepas dunia, dunia lagi. Soal ketuhanan, soal iman dan taqwa, soal aqidah, soal ketauhidan dan soal Akhirat diambil ringan dan tidak dipedulikan. Hasilnya, para remaja terumbang-ambing dalam arus kehidupan seperti perahu yang tidak ditambat. Setelah sekian lama, mereka hanyut mengikut ombak yang pasang surut tanpa matlamat dan tujuan. Mereka hilang jati diri dan menjadi lemah.

Pada waktu yang sama, mereka diasak oleh berbagai-bagai pengaruh, budaya dan gejala yang merosakkan. Pemimpin banyak membuat retorik hendak majukan bangsa Melayu supaya jadi kuat, berdaulat dan disegani oleh bangsa asing di dunia. Itu hanya propaganda untuk mencari nama. Tidak ada pun usaha konkrit yang mendorong ke arah itu. Kalau ada pun, ia bermusim-musim dan sekali sekala seperti melepas batuk di tangga.

Namun perkara yang membunuh jiwa dan yang mengajak muda-mudi berlalai-lalai dan berfoya-foya banyak dan tidak henti-henti berlaku. Ia bukan setakat dibiarkan malah seolah-olah digalakkan. Lihat sahajalah media massa. Baik surat khabar, TV, drama, teater dan nyanyian, semuanya menyajikan perkara yang melalaikan. Drama hanya memaparkan kisah cinta, kemudian kecewa dan timbul krisis rumah tangga. Nyanyian-nyanyian, senikatanya hanya berkenan teruna dan dara. Tidak ada senikata patriotik atau yang membangunkan jiwa. Lawak jenaka hanya gelak ketawa, terbahak-bahak macam orang gila. Hati dan jiwa lalai dibuatnya atau hati terus jadi buta.

Para penyajak yang tersohor bersajak hanya untuk berseronok- seronok dan melayan perasaan sendiri. Kata-kata dalam sajak, bahasanya kabur. Bahasanya bombastik, payah hendak difaham seolah-olah sudah menjadi syarat sajak yang sukar difaham itu adalah kriteria bagi sajak yang bermutu. Kalau orang tidak faham tentu ia tidak jadi ilmu. Kalau orang tidak faham, apakah yang hendak dihayati oleh jiwa. Isi-isinya pula hanya memuja alam, bukan memuja Tuhan. Maka jadilah kata-kata dalam sajak itu sia-sia belaka seperti angin yang berlalu. Novel-novel dan cerpen-cerpen pun berkisar tentang kisah cinta, kecewa, merajuk dan bergaduh. Pemuda pemudinya berlepak-lepak membuang masa dan berkhayal sahaja.

Cerita-cerita yang membawa kesedaran dan keinsafan kurang ada. Rasa cinta Tuhan, takutkan Tuhan, cintakan agama dan bangsa tenggelam di tengah-tengah kekarutan dan kelalaian. Itu belum lagi dikira gejala masyarakat, jenayah, dadah dan rasuah yang meruntuhkan agama dan bangsa atau pengaruh filem lucah dan separuh lucah sama ada yang ada permit atau yang tidak ada permit. Melalui TV sama ada TV kerajaan mahupun swasta. Melalui edaran DVD dan VCD haram. Atau buku-buku dan majalah lucah dan separuh lucah yang ligat beredar di tengah masyarakat. Pengaruh muzik rock dan metal dan cabang-cabangnya seperti Speed Metal, Death Metal, Trash Metal, Doom Metal, Heavy Metal, Black Metal dan sebagainya.

Pengaruh budaya kuning seperti hippies, flower people, punk, skinhead dan lain-lain lagi. Disko berlambak di mana-mana. Kedai video game macam cendawan selepas hujan. Tidak cukup dengan itu, diadakan pula temasya sukan, bola sepak dan olahraga yang semuanya sangat melalaikan dan melemahkan lagi jati diri para remaja yang sudah pun lemah.

Pementasan dan rancangan muzik rock dan pop di TV tidak henti-henti. Kadang-kadang lebih kerap dari khutbah Jumaat di masjid. Ada Akademi Fantasia, Audition, Who Will Win, Malaysia Idol dan macam-macam lagi. Tidak cukup dengan artis-artis tempatan, dijemput pula artis-artis terkenal dari luar negara. Ini semuanya dengan restu dan izin pihak berkuasa. Tidak ada usaha untuk mengawal atau melarang. Semua orang bebas untuk memuaskan nafsu masing-masing. Semua orang bebas untuk menjahanamkan dan merosakkan jiwa dan agama orang lain. Yang sepatutnya mengawal dan melarang ikut sama berseronok. Pemimpin diam. Ulama pun diam
Hiburan Dan Berlalai-Lalai Kerosakannya Makan Dalam

Kalau seseorang itu memakan racun, jelas bahwa orang itu sedang melakukan sesuatu yang berbahaya dan yang akan memudharatkan dirinya. Memakan racun bukanlah satu kerja yang waras. Orang yang siuman tidak akan memakan racun. Kalau dia makan racun di hadapan ahli keluarganya atau di hadapan orang lain, mereka akan menghalang dan menegahnya. Kalau dia berkeras juga hendak makan racun itu,mereka akan merampas racun itu darinya.Akan tetapi, kalau orang yang sama memakan lemak, minyak dengan banyak dan gula tanpa had, tidak ada siapa yang akan menghalangnya. Sedangkan memakan bendabenda seperti itu boleh menjejaskan kesihatannya dan mendatangkan penyakit. Disebabkan mudharatnya tidak begitu ketara dan kesannya tidak berlaku secara serta merta seperti memakan racun, maka orang ambil ringan dan menganggapnya sebagai perkara biasa.

Begitulah juga keadaannya dengan maksiat. Ada maksiat yang seperti racun. Mudharatnya segera nampak. Ini termasuklah maksiat seperti mencuri, merompak, meragut, membunuh, berzina, berjudi dan sebagainya. Tidak mudah maksiat seperti ini dilakukan di hadapan orang ramai. Orang akan menegah dan menghalang. Orang akan bertindak untuk menumpaskan orang yang melakukan maksiat seperti ini.Ada pula maksiat yang seperti lemak, minyak dan gula.Sekali pandang, ia tidak nampak macam maksiat. Orang pun tidak menganggapnya sebagai maksiat. Maka seluruh manusia bergelumang di dalamnya. Dari pihak atasan hinggalah ke peringkat bawahan. Dari pemimpin hinggalah kepada rakyat jelata. Dari guru hinggalah kepada murid. Namun mudharatnya makan dalam. Sedikit demi sedikit ia merosakkan. Sedikit demi sedikit ia melemahkan. Lama kelamaan seluruh masyarakat jatuh sakit.

Maksiat yang tidak dianggap sebagai maksiat ini ialah kegiatan berhibur dan berlalai-lalai. Ini termasuk tayangan filem, tari menari, muzik, nyayian, sukan dan olah raga. Ramai orang tidak dapat menerima bahawa filem, tarian, muzik, nyanyian dan sukan ini adalah maksiat seperti mana juga ramai orang tidak dapat menerima bahawa lemak, minyak dan gula itu adalah racun kerana telah terbiasa dengannya. Kalau tidak ada lemak, minyak dan gula, makan tak sedap.

Namun, siapakah yang boleh menolak hakikat bahawa semua itu melalaikan. Ia tidak menghasilkan apa-apa kebaikan. Ia mudharat dalam jangka panjang. Mudharatnya halus tetapi makan dalam. Peminat-peminat hiburan di seluruh Negara terdiri dari berbagai peringkat umur dan berbagai tahap pendidikan. Mereka mempunyai berbagai tahap akhlak dan moral. Mereka asyik dengan filem, muzik, nyayian dan sukan. Mereka dibuai dan dilalaikan dengan hiburan-hiburan seperti ini. Lama kelamaan, watak, saikologi dan minat mereka ini akan terpengaruh dan akan cenderong semata-mata kepada segala apa yang berbentuk hiburan. Hiburan menjadi tunjang utama dalam hidup mereka. Apa-apa pun berhibur. Lapanglapang sedikit berhibur. Sudah tidak ada perkara yang serius dalam hidup mereka lagi. Hidup mereka tidak ada lain melainkan untuk berhibur dan berlalai-lalai.

Masyarakat atau bangsa yang mempunyai saikologi seperti ini susah hendak dididik supaya menjadi satu bangsa yang kuat, berwibawa, membangun dan berkemajuan. Jauh sekalilah untuk menjadi satu bangsa yang boleh mendukung, menguatkan dan memperjuangkan agama. Bangsa yang asyik dengan berhibur ialah bangsa yang lemah jiwa, tidak ada pendirian, suka meniru orang, tidak ada jati diri, suka berpoya-poya dan berjiwa hamba. Bangsa yang gila dengan berhibur ialah bangsa yang tidak tahu apa erti pengorbanan dan apa erti tanggungjawab untuk memartabatkan bangsa dan agama.

Lebih teruk lagi, bangsa yang terkena sindrom berhibur ini sangat terdedah kepada pengaruh-pengaruh liar dan jahat. Mereka jinak dengan maksiat dan kemungkaran. Mereka mudah terlibat dengan rokok, tembakau dan arak. Ini pula membawa kepada penyalah gunaan dan penagihan dadah. Mereka terjebak dengan pergaulan bebas, seks bebas, bohsia, bohjan dan seribu satu macam salah laku yang lain. Tidak ada apa-apa kekuatan dalam jiwa dan diri mereka untuk menolak pengaruh-pengaruh liar dan jahat ini. Malahan, apa yang ada dalam diri mereka hanyalah dorongan dan kecenderungan untuk berbuat apa sahaja asalkan dapat berhibur dan berlalailalai.

Tidak ada siapa yang dapat mereka contohi dan dapat dijadikan role model dalam hidup mereka kecualilah para-para artis dan jaguh-jaguh sukan. Mereka inilah yang menjadi idola dan pujaan mereka. Mereka inilah yang cuba mereka tiru. Apakah hasilnya? Apakah yang akan terjadi kepada orang yang meniru para artis dan ahli-ahli sukan? Mereka ini membawa obor. Tetapi obor kelalaian, kekarutan dan kealpaan. Mereka bukan contoh akhlak yang baik, mereka bukan contoh pejuang agama dan bangsa.

Akhirnya para remaja ini memenuhi disko, premis video game dan pusat-pusat karaoke. Mereka berfoya-foya dan melepak-lepak. Dalam benak dan fikiran mereka tidak lain melainkan artis, lagu, muzik, sukan, pelakon dan isu-isu yang bersangkut-paut dengan dunia hiburan. Bahan bacaan mereka ialah majalah hiburan, hiburan, hiburan. Mereka jadi orang-orang lalai.

Mereka terlalu asing dengan persoalan iman, persoalan taqwa, ibadah dan akhlak. Mereka jauh dari Al Quran. Yang mereka tahu hanyalah melalak sana, melalak sini. Masyarakat hendak jahanam ke, negara hendak kena gadai ke, mereka tidak ambil peduli.

Inilah kesan dari budaya hiburan. Maksiat yang makan dalam. Kita sibuk dan kita marah para remaja kerana tidak berdisiplin, tidak ada tujuan hidup, pemalas, tidak ada cita-cita dan tidak berkemajuan. Walhal kitalah yang telah merosakkan mereka itu. Kita tidak henti-henti menyogok mereka dengan hiburan dan kelalaian dan dengan kekarutan dan kealpaan yang selama ini kita anggap bukan maksiat dan tidak mudharat. Kita tidak ambil berat tentang didikan agama dan akhlak, tentang budi pekerti dan tatasusila dan tentang Tuhan dan Akhirat.Kita kena kembali kepada falsafah berhibur dalam Islam.

Dalam Islam, behibur ada yang menyentuh akal, ada yang menyentuh hati dan ada yang menyentuh nafsu. Sama ada melalui seni kata, tingkah laku dan pakaian para artis, muzik dan nyanyiannya, suasana dan sebagainya. Hiburan yang menyentuh akal akan menambah ilmu dan pengalaman. Hiburan yang menyentuh hati akan mendatangkan kesedaran dan keinsafan. Tetapi hiburan yang menyentuh nafsu akan menyuburkan nafsu. Dia akan terdorong untuk membuat maksiat dan kemungkaran.
Kesan Dari Rosaknya Jati Diri Remaja
Manalah jati diri muda-mudi tidak rosak. Mereka tidak hentihenti disogok dan ditekan dengan kekarutan dan kelalaian. Tidak ada usaha untuk menginsaf dan menyedarkan mereka. Tuhan tidak disebut. Akhirat tidak disebut. Mati pula pantang disebut. Muda-mudi tidak tahan dengan asakan-asakan kekarutan ini. Mereka lemah. Mereka kecundang. Mereka jadi mangsa. Mereka hilang jati diri. Oleh itu mereka mudah terlibat dengan dadah, bohsia dan bohjan, budaya lepak, sumbang mahram, zina, rogol dan dengan berbagai-bagai maksiat lagi.

Apakah daya mereka untuk bertahan. Tuhan mereka tidak kenal. Tuhan mereka tidak takut. Akhirat mereka tidak tahu. Iman lemah. Aqidah lemah. Bukan sahaja mereka tidak berjiwa tauhid malahan jiwa mereka sebenarnya sakit. Remaja yang rosak jati diri ini adalah hasil usaha masyarakat, hasil usaha pemimpin dan hasil usaha negara. Kitalah yang telah mencipta dan membentuk mereka itu. Kitalah yang telah memberi mereka racun. Kitalah yang telah merosakkan dan mengkhianati mereka itu. Mereka jadi rosak di hadapan mata kita.

Kesannya Dari Rosaknya Jati Diri Pemimpin
Rosaknya jati diri para remaja dan muda-mudi bermula dari rosaknya jati diri para ibu bapa, pemimpin masyarakat, tunggak dan tiang-tiang seri masyarakat, para cerdik pandai, para ulama dan pemimpin negara sendiri. Mungkin bentuk rosaknya tidak sama tetapi tetap rosak. Disebabkan kerosakan jati diri di kalangan pemimpin inilah maka jati diri para remaja dan muda-mudi ikut jadi rosak.

Tidak adanya jati diri bukan setakat tidak mampu menahan dan melawan godaan dan pengaruh-pengaruh negatif yang karut, melalaikan dan merosakkan seperti dadah, gejala social dan sebagainya. Ini mungkin berlaku di kalangan muda-mudi dan para remaja. Namun dadah dan gejala sosial ialah masalah yang kecil dan setempat. Rosaknya jati diri di kalangan para pemimpin boleh mengakibatkan perkara yang lebih dahsyat dan lebih serius lagi. Rakyat boleh rosak. Negara boleh musnah.

Kalau tidak ada jati diri, yang baik atau yang buruk yang datang, semuanya akan jadi rosak. Datang yang baik rosak, datang yang buruk pun, jiwa jadi rosak. Di kalangan pemimpin, kalau tidak ada jati diri, dapat pangkat atau dapat ilmu, jadi sombong. Bila ada harta dan kaya, dia jadi megah dan bakhil. Untuk mendapat untung peribadi, dia sanggup langgar perintah agama. Kalau tidak dapat apa yang dia cita-citakan, dia tidak redha. Apabila disogok, dia menerima rasuah. Apabila orang lain senang, dia hasad dengki. Bila dia dicabar, dia melenting dan marah. Apabila ada kuasa dia pentingkan diri dan berlaku zalim. Bila diberi amanah, dia khianat. Hidup mementingkan diri sendiri jadi budaya. Cinta dunia pun menguasai jiwa. Kerana cinta dunia, sanggup jual agama, sanggup jual negara.

Justeru itu, tugas pemimpin terabai. Tanggung jawab tidak dilaksanakan. Masyarakat tidak dididik, tidak dipimpin dan tidak dibela. Rakyat dibiarkan rosak. Negara dibiarkan rosak.Para remaja dan muda-mudi terpinggir. Yang ada hanyalah jaga kepentingan, jaga pengaruh, kekalkan kuasa dan jawatan. Tidak wujud perpaduan. Tidak ada kesatuan. Tidak ada kasih sayang dan belas kasihan. Setiap pemimpin berebut-rebut hendak meninggikan pucuknya sendiri macam pokok balak di dalam hutan. Kalau ada pun pembelaan, hanya untuk kroni atau pihak yang boleh menguatkan kedudukan politiknya.

Majoriti rakyat yang lain langsung tidak diambil peduli terutama para remaja dan muda-mudi. Yang ada hanya kepentingan diri dan cinta dunia. Bagaimanalah negara boleh bersatu. Bagaimanalah negara hendak kuat. Bagaimanalah rakyat hendak taat dan memberi hati kepada pemimpin.Bila pemimpin hilang jati diri, rakyat ikut hilang jati diri.Bila pemimpin lemah jiwa, rakyat juga akan lemah jiwa. Bila pemimpin rosak, rakyat akan ikut rosak. Hanya rosak pemimpin tidak sama bentuknya dengan rosak rakyat. Rosak pemimpin cara pemimpin. Tenggelam dengan kuasa, harta, pengaruh dan kekayaan dunia. Rosak rakyat cara rakyat. Hidup nafsi-nafsi, hilang budi pekerti, akhlak dan tatasusila. Rosak remaja dan muda-mudi dengan dadah dan segala macam jenayah, gejala sosial dan penyakit masyarakat.

Remaja yang hilang jati diri dan terlibat dengan dadah,memang mereka rosak tetapi mereka tidak banyak melibatkan orang lain. Tetapi pemimpin yang hilang jati diri, yang sombong, yang megah, bakhil, memakan rasuah, hasad dengki, zalim, pemarah, khianat dan penting diri, mereka ini mengharu-birukan masyarakat, memecah-belahkan masyarakat dan memporak-perandakan masyarakat. Hilang perpaduan, hilang kesatuan dan hilang kasih sayang. Khazanah Negara musnah dan rakyat terbiar tanpa dibela.
Jalan Keluar
Jati diri yang rosak ini perlu dipulihkan sama ada ianya dikalangan para pemimpin, rakyat biasa ataupun para remaja dan muda-mudi.

Benih yang baik perlu ditanam di hati-hati angguta masyarakat.Apakah benih yang baik itu? Iaitu cintakan Akhirat.Orang yang cintakan Akhirat sentiasa terdorong untuk berbakti dan membuat kebaikan. Mereka tidak akan berebut-rebut dan mengejar dunia. Mereka lebih cenderung untuk membuat kabajikan demi kebahagiaan mereka di Akhirat. Mereka sentiasa menjauhkan diri mereka dari maksiat dan kemungkaran.Mereka tidak akan membuang masa untuk berlalai-lalai,berfoya-foya dan membuat perkara-perkara yang sia-sia.

Dihati mereka tertanam rasa cinta dan takut kepada Tuhan.Benih yang jahat pula perlu dibuang dari hati-hati anggota masyarakat. Apakah benih yang jahat itu? Iaitu sifat cinta dunia. Cinta dunia ialah ibu segala kesalahan dan maksiat.Orang yang ada cinta dunia dihati mereka tidak ada cita-cita lain selain untuk merebut dan mengejar dunia, untuk berfoyafoya,berlalai-lalai dan berhibur-hibur. Mereka ingin tenggelam dalam nikmat dunia. Akhirnya dunia akan memperhambakan mereka dan jadilah mereka itu hamba dunia.

Cara menanam benih baik ini ialah dengan membawa masyarakat kepada Tuhan. Kenalkan mereka kepada Tuhan.Tanamkan rasa cinta dan takut kepada Tuhan di hati-hati mereka. Bawa hati-hati mereka untuk mencintai Akhirat. Ajar mereka supaya tidak merebut dunia tetapi menggunakan dunia ini untuk mendapat Akhirat.

Kalau benih baik iaitu cintakan Akhirat dapat ditanam dihati anggota masyarakat dan benih jahat iaitu cinta dunia dapat dibuang dan disingkirkan dari hati mereka, maka jalan untuk membina jati diri mereka akan menjadi mudah.Masyarakat mesti dibangunkan dengan ilmu agama, iman dan taqwa. Tidak ada ketiga-tiga ini, maka tidak ada jati diri. Jiwa-jiwa mesti dibangunkan dengan rasa cinta dan takut pada Tuhan. Syariat mesti diamalkan dan dihayati hingga berkesan pada jiwa.

Para pemimpin dan tunggak masyarakat perlu bermuhasabah dan perbaiki diri. Mereka mesti insaf. Mereka mesti berusaha menghilangkan sifat-sifat mazmumah, pentingkan diri dan cinta dunia dari hati-hati mereka. Kalau para pemimpin tidak membina jati diri, mereka rosak dan rakyat akan ikut rosak. Para pemimpin mesti bertanggungjawab dan laksanakan tugas untuk mendidik rakyat. Beri mereka ilmu, panduan,tunjuk ajar dan kasih sayang. Bela mereka dan lindungi mereka. Ubah suasana masyarakat supaya tidak wujud lagi segala macam pancaroba, kelalaian dan kekarutan.

Ubah budaya hidup masyarakat. Kita mesti berusaha memberhentikan dan membuang segala budaya dan cara hidup yang melalaikan dan merosakkan. Kita mesti sedikit demi sedikit merombak media massa, baik TV, radio, akhbar, majalah, drama, teater, muzik dan nyanyian. Buang pengaruh yang negatif, jahat dan merosakkan. Kekalkan dan tambah pengaruh yang positif dan membina dan yang membawa kepada nilai-nilai murni seperti cinta Tuhan, cinta Rasul, akhlak mulia, cinta negara, cinta agama, bela membela, bertolong bantu, kasih sayang dan sebagainya.

Melalui pendidikan, memahamkan masyarakat dan penguatkuasaan undang-undang. Kita mesti berusaha secara beransur-ansur mengharam dan menghapuskan filem, DVD,VCD, buku dan majalah lucah dan separuh lucah. Sekat program dan budaya barat seperti rock, pop dan metal dan pengaruh skinhead dan punk yang berleluasa di kalangan mudamudi.

Bawa mereka kepada hidup secara beragama. Tukar segala hiburan kepada bentuk yang diterima oleh agama yang menyedarkan muda-mudi kepada Tuhan dan kepada tanggung jawab mereka kepada ibu bapa, masyarakat dan negara.Secara perlahan-lahan dan penuh bijaksana, kita mesti berusaha untuk menutup segala disko, premis video-game dan apa sahaja kegiatan yang boleh merosakkan jati diri rakyat.Wujudkan satu kesedaran. Hidupkan satu keazaman. Mulakan satu pergerakan dan revolusi Membina Jati Diri di seluruh negara yang melibatkan pemimpin dan rakyat. Gunakan segala jentera kerajaan yang ada melalui pendidikan, kepolisian, penerangan, media massa dan budaya. Libatkan semua pihak termasuk NGO, Jawatan Kuasa Kampung, perbadanan dan pertubuhan bebas, pejabat-pejabat daerah, wakil-wakil rakyat dan lain-lain lagi.

Iklan