Kebesaran Al- Quran


Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini dengan satu ayat Al Quran yang pendek yang ada hubungkait dengan bulan Ramadhan. Makna ayat Al Quran itu lebih kurang begini:
“Bulan Ramadhan bulan yang mana diturunkan padanya Al Quran untuk jadi petunjuk kepada manusia dan untuk menunjukkan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebenaran itu. Dan untuk membuktikan bahawa Al Quran adalah pemisah antara yang hak dengan yang batil.”
Dalam ayat ini baru kita tahu Ramadhan ini besar, agung dan di bulan agung ini Tuhan datangkan ibu ilmu iaitu Al Quran, ilmu yang tidak pernah disentuh lagi oleh manusia, belum ada manusia campur tangan samada yang sebelum mahu pun sesudah. Dia merupakan barang pure dari Tuhan untuk manusia. Tuhan tak kata untuk orang beriman sebab waktu Al Quran mula diturunkan mana ada orang beriman, sebab itu diseru untuk manusia yang belum beriman. Bila datangnya Al Quran manusia yang tak beriman terus jadi beriman.
Kalau begitu apa yang kita faham kedatangan setiap kali bulan Al Quran bermakna kedatangan ilmu dari Tuhan. Setiap kali Ramadhan datang, setiap kali pula umat Islam yang mungkin di bulan-bulan lain tak ada kesempatan untuk mengkaji ilmu Al Quran maka diperuntukkan satu bulan untuk mengkaji ilmu Al Quran. Oleh sebab itu Tuhan jadikan bulan Ramadhan bulan puasa. Bila berpuasa ikut sistem Tuhan, bukan sekadar tak makan tak minum tapi nafsu yang berpuasa, fikiran yang berpuasa, jiwa yang berpuasa, perasaan yang berpuasa. Orang itu saja yang boleh jadikan sebulan itu dia dapat ilmu Al Quran yang banyak, sebab puasa itu, seperti mana yang digambarkan tadi. Bukan tak makan, tak minum tapi boleh menerima ilmu wahyu, mudah boleh terima ilmu, mudah faham. Itu untungnya disuruh berpuasa.
Sebab jiwa yang bersih dari nafsu dan akal yang bersih dari nafsu sangat mudah memahami ilmu Al Quran, itulah hikmahnya digandingkan Al Quran dengan puasa. Jadi kalau puasa ikut sistem yang sebenar, kemudian kita belajar Al Quran, sembahyang sebulan Ramadhan ikut sistem yang sebenar, ertinya kita masuk belajar di universiti Tuhan yang ilmunya sangat banyak, itulah maksudnya. Tapi pelik setiap kali Ramadhan datang kita tak dapat ilmu Al Quran. Setiap kali Ramadhan datang, kita tak dapat ilmu wahyu. Inikan sudah melanggar sistem, sudah jauh dari apa yang dikehendaki oleh Tuhan seolah-olahnya bila Ramadhan fikir nak makan sedap, ini konsep Ramadhan sudah beralih. Yang baik sikit nakkan fadhilat yang banyak. Itu baik sikit tapi itu pun dah terseleweng. Padahal kedatangan Ramadhan nak canai hati supaya datang ilmu Al Quran, dikaji, di tadabbur, mudah difaham, mudah dihayati, mudah diamalkan.
Pernahkah kita rasa bila Ramadhan datang, itu yang kita target dan jadi cita-cita kita. Tak pernah. Jangan-jangan baru hari ini kita dengar. Padahal Ramadhan ertinya masuk universiti Tuhan nak terima ilmu dari 30 juz Al Quran, 6666 ayat dan 114 surah. Tuhan ada berkata maksudnya ilmu Tuhan itu sebanyak yang ada dalam Al Quran. Kalau ditulis dengan dakwat hingga kering dakwat seluruh dunia, datangkan dakwat sebanyak itu lagi, takkan habis ilmu Tuhan yang tersirat dalam Al Quran.

Kalau itulah yang digambarkan oleh Tuhan, tak terasa apa-apa pun Ramadhan kita? Tak rasa nak berhadapan dengan sesuatu yang besar? Padahal Tuhan berkata, kalau kering dakwat di dunia ini kemudian didatangkan dakwat sebanyak itu juga pun tak habis ilmu Tuhan. Kalau kita nak berhadapan dengan Ramadhan kita berfikir begini jadilah. Sebab ilmu Tuhan itu hebat tak mungkin ditarget semua, kalau sedikit jadilah, maksud sedikit di atas banyak. Kalau sedikit dari seribu atau sejuta itukan banyak. Kalau sedikit dari satu itu memanglah sedikit, ini tidak yang kita maksud sedikit dari sejuta itu nisbah tapi itu banyak. Tapi pernahkah kita berfikir begini?

Inilah generasi umat Islam. Bulan ilmu tak terasa nak berhadapan dengan ilmu, terasa nak berhadapan dengan lapar sahaja. Waktu lapar, makan banyak-banyak. Waktu Maghrib, terus rehat-rehat sekejap baru sembahyang. Kan dah jauh dari konsep puasa sebenar. Siapa ajar ini semua? Ini yang kita hairan.

Bulan Ramadhan bulan ilmu. Tapi 20 tahun berpuasa tak dapat ilmu. Baca juga Al-Quran, bertambahkah ilmu? Padahal Al-Quran itu kalau kita ambil kulit pun jadilah itupun kalau nisbah benda. Kalau ilmunya ibarat barang berketul tak larat nak bawa. Apa itu kulit? Seperti nak dapat ilmu Al-Quran bagaimana diturunkan? Malaikat bawa wahyu bagaimana bentuknya? Macamana ayat itu turun? Itu kulit. Ada ayat Mekah, ada ayat Madinah. Apa maksud ayat Mekah, apa maksud ayat Madinah ? Itu pun kulit. Ada yang turun dalam perjalanan, ada ketika bermukim. Itu semua ilmu kulit. Tak tahu tak apa, takkan nak makan kulit? Ilmu kulit pun kalau kita dapat sudah berapa banyak. Ada waktu ayat turun waktu malam ada siang, ada musim sejuk ada musim panas. Itu semua ilmu tentang kulit Al-Quran. Kalau kita belajar kulit itu pun dah banyak. Ada kala diturunkan waktu di kenderaan, adakala di rumah isterinya. Itu semua ilmu kulit. Kalau kita nak belajar ilmu Al-Quran itu aduh, kulit pun perlu juga, boleh dibakar. Sesetengah orang kulit-kulit kayu dijual, ada faedah. Ada faedah mengaji tentang kulit Al-Quran pun hebat. Itu belum mengkaji yang dalam Al-Quran.
Ilmu yang dalam kulit sikit tapi belum dalam betul ialah misalnya dikatakan Al-Quran itu petunjuk bagi manusia, dalam Al-Quran ada bukti yang Al-Quran itu petunjuk, ada hujah akal membuktikan kebenarannya. Itu kulit dalam, kulit nipis. Kalau ibarat ubi, tadi kulit luar yang ini kulit dalam, sedap dimakan. Tapi bukan itu yang dimaksudkan oleh Tuhan, lebih dari itu. Al-Quran ada ilmu yang mempunyai kekuatan mental, perasaan, fizikal. Lebih-lebih lagi kalau Tuhan anugerahkan kepada seseorang yang dia benar-benar mempunyai perasaan kekuatan fadhilat Al-Quran. Jadi untuk menggambarkan walaupun kita tak dapat isinya. Cuma untuk membuktikan kalau isinya didapati, hebatnya. Seolah-olah nak dapat isi tadi tak munasabah kena mengaji dari ayat ke ayat, lafaz ke lafaz. Saya cuma nak rasakan bersama supaya cara yang saya olah ini Insya Allah terasa Al-Quran luar biasa, ilmu yang agung, siapa yang miliki ilmu Al-Quran ertinya boleh memiliki ilmu dunia akhirat.
Memiliki ilmu tentang perkara yang ghaib dan yang lahir. Yang ghaib kalau Al-Quran tak cerita orang tak tahu tentang adanya Tuhan, adanya arasyh, kursi, sirotal mustakim. Sirotal mustakim kalau perah otak pun takkan terbongkar keberadaan itu semua.
Begitu juga tahu ilmu lahir, ilmu kehidupan yang ada hubungan dengan manusia. Al-Quran memberitahu ilmu yang ada hubungan dengan manusia, kita ambil yang besar. Kita mengaji Al-Quran sama ada di sekolah atau faham sedikit sebanyak bahasa Arab, waktu Ramadhan ambil peluang kaji-kaji, kita akan tahu ilmu manusia, bangsa-bangsa, watak manusia, psikologi, masyarakat, politik, kepimpinan, kebudayaan, pendidikan, sejarah dan ilmu yang besar-besar yang semua kita dengar ada dalam Al-Quran. Tentang ilmu perhubungan, padang pasir, sungai, perjuangan, tentang bagaimana nak buat kesatuan, bangunkan jemaah, semua ada dalam Al-Quran. Itu baru setakat kulit kedua.
Ilmu lapis ketiga dah masuk isi bukan pati (santan) itu untuk manusia luarbiasa. Kalau dapat santan cukup dah boleh makan, dah sampai peringkat boleh diguna pembinaan badan, cukup untuk bangunkan mental, roh, perasaan kita. Siapa dapat ilmu politik dan sebagainya dari Al-Quran itu sudah cukup orang kagum, orang hairan, orang tak jemu. Bila dengar ustaz itu bersyarah orang nak lagi, kita lapis ketiga pun tak dapat walaupun masuk universiti. Buktinya cuba awak cerita mengenai masyarakat manusia dirujuk pada Al-Quran, tak boleh. Cuba awak cerita sejarah dalam Al-Quran dan hubungkaitkan dengan sejarah akan datang (hari ini), tak boleh. Dia akan cerita seketul-seketul. Cerita Nabi Isa, Nuh, itu anak tadika pun boleh tahu. Kalau ditanya cuba cerita ilmu ekonomi dirujuk kepada Al-Quran dan Hadis. Cuba cerita ilmu perjuangan dirujuk kepada Al-Quran dan Hadis, watak-watak manusia hasil mempelajari Al-Quran dan Hadis. Kalau setakat itu pun dah agak pening apa yang kita dapat selama ini? Tak dapat apa-apa, Ramadhan datang habis begitu saja, tak dapat apa-apa. Hanya dapat lapar dan haus saja.
Jadi kalau kita boleh dapat ilmu tahap tiga ini, sebab dia sudah ada hubungan dengan kehidupan manusia di sudut apa pun, sebab Al-Quran itu untuk manusia. Kalau ada ustaz ada ilmu itu, orang buru, orang tak jemu dengar. Tapi hari ini bila orang Islam nak tahu ilmu, buka kitab orang putih walhal semuanya ada dalam Al-Quran. Kalaulah kita boleh dapat ilmu Al-Quran tahap 3 itu dah cukup hebat. Sebab ilmu itu untuk manusia, ada hubungan dengan manusia. Ertinya matlamat dah sampai, tapi ada yang lebih dari itu.
Selepas itu supaya terasa Al-Quran maha besarnya Tuhan. Oleh kerana Tuhan Maha Agung maka ilmuNya Maha Agung dan Maha Besar. Walaupun apa yang akan saya cakap ini tak mungkin kita dapat lagi. Hanya nak menyedarkan kita bahawa ada ilmu yang lebih dalam dari Al-Quran itu. Ilmu Al-Quran selain lapis 1, 2 dan 3 tadi, yang ketiga itu kerana dah susah ia bercampur ada yang tersurat ada yang tersirat. Yang tersurat mungkin boleh faham. Katalah kita baca satu ayat, yang tersurat ayat, yang lain tersirat. Itu susah. Separuh tersurat separuh tersirat. Yang tersurat agak mudah, yang tersirat susah. Kalau tak boleh faham yang tersurat banyaklah tempang macam orang kaki sebelah. Nak jalan betul kena pakai kaki kayu itu pun dah susah. Yang saya nak sebut lebih dari itu. Kebanyakannya tersirat. Kalau tak boleh faham tersurat tak boleh keluarkan apa maksud atau kehendak Al Qurandengan kata lain kehendak Tuhan. Kalau ada ulama diberikan ilmu itu Masya Allah yang ketiga itu sudah luar biasa.

Iklan