Kuliah Tafsir – Membersihkan Nafsu


MEMBERSIHKAN NAFSU

Kalau kita lihat orang Melayu ini secara umumnya, kalau lihat atas dasar Islamnya, banyak tempangnya. Kalau ada yang sedikit kemas adalah disudut ibadah asas. Itupun di segi penghayatan mungkin lemah sebab kalau tidak lemah tentulah sembahyang dan ibadah itu sudah buahkan akhlak yang mulia.
Kalau di masjid tempat sembahyang pun bergaduh, ertinya ibadah itu tidak ada buah. Yang sembahyang itu hanya badannya, bukan hatinya dan akalnya. Fikirlah, tempat sembahyang jadi tempat bergaduh dan jadi pasar. Lagilah kalau nak sebut Islam yang global.Padahal ayat-ayat Quran dan hadis masih dibaca secara global oleh ulama-ulama tetapi huraiannya tidak global. Penghayatannya lagilah tidak global. Maka buahnya pun jadi tidak global. Kenapa? Kerana ayat Quran dan Hadis digunakan dengan niat-niat tertentu oleh kelompok tertentu.

Cuba kita gambarkan sedikit. Katalah orang politik A baca ayat Quran, itu peluru untuk tembak orang politik B. Kalau orang politik B baca pula, itu untuk counter orang politik A. Mereka baca bukan untuk Tuhan. Sesetengah sebab hendak tunjuk pandai, dia plan siap-siap. “Kalau aku baca ayat Quran ini, nanti orang kagum.” Ada orang gunakan Quran dan hadis untuk tawan hati sesetengah pemimpin. Kan dah tak betul niat. Padahal sepatutnya baca Quran dan Hadis untuk Tuhan. Sebab itu Quran dan Hadis dibaca secara global tetapi tidak mampu beri kefahaman, penghayatan dan hasil yang global. Ini semua berpunca daripada nafsu. Padahal kalau dibaca satu ayat pendek sahaja, kalau pemimpin, ulama, ustaz-ustaz dan para mubaligh membaca dari hatinya, kerana Tuhan, kerana keredhaan Tuhan, agar dunia ini selamat, itu sudah cukup untuk memberi hasil yang global.

Sekarang kita nak tafsir ayat yang pendek sahaja.

Terjemahannya:
“Sesungguhnya mendapat kejayaanlah orang yang membersihkan nafsunya( daripada mazmumah dan sifat-sifat jahat) dan gagallah, kecewalah orang yang mengotorkan nafsunya.” (Asy Syams: 9-10)

Ayat ini kalau dibaca dengan ikhlas untuk Tuhan, betul-betul dihayati dan disampaikan kepada umat, sangat besarlah kejayaannya.

Manusia itu ada fizikal, akal, roh dan nafsu. Tuhan jadikan manusia tabiat semulajadinya sudah ada benih-benih, sifat-sifat dan perangai malaikat, haiwan dan syaitan. Disinilah dikatakan keadilan Tuhan. Ketiga-tiga sifat telah ada. Cuma Tuhan memberitahu, yang benih malaikat hendak disuburkan, yang sifat syaitan hendak dibuang, yang sifat haiwan bukan dibuang tetapi didisiplinkan. Tuhan sudah memberitahu.

Pemberitahuan Tuhan itulah lambang keadilan. Seolah-olah Tuhan berkata, “Kalau engkau hendak jadi orang baik boleh, nak jadi orang jahat boleh, nak jadi malaikat boleh, nak jadi haiwan boleh, nak jadi syaitan pun boleh.” Cuma yang tak boleh ubah muka sahaja.

Yang memilih untuk menentukan hendak jadi malaikat, haiwan atau syaitan ialah nafsu. Sebab itu nafsu jangan dibunuh, cuma didisiplinkan, diarah-arah, dididik. Hendak jadi malaikat, haiwan atau syaitan pun dia yang berkehendak. Kalau nafsu dibunuh, manusia tidak akan ada kehendak.

Semasa dia berkehendak menjadi malaikat, benih-benih sifat malaikat pun Tuhan sudah tanam seperti rasa malu, kasih sayang, bertimbang rasa, rendah diri, belas kasihan. Ini benih-benih sifat malaikat. Rasa bertuhan itulah benih malaikat.

Manakala benih syaitan antaranya ialah sombong, tamak, pemarah, hasad dengki, bakhil, buruk sangka dan macam-macam lagi sifat yang negatif.
Kalau benih binatang pula seperti banyak makan, tidur, keinginan seks, bergaduh, pentingkan diri.

Terpulang pada kita hendak jadi malaikat, haiwan atau syaitan. Ada kala jadi malaikat, ada waktu jadi syaitan atau boleh jadi kadang-kadang macam malaikat tapi sebenarnya perangai syaitan.

Ada orang yang menjadi malaikat, lepas sahaja wirid dia tipu orang, rasuah, curi duit bank. Begitulah watak semulajadi yang Tuhan lakukan bagi manusia ini. Terpulanglah pada manusia memilih sama ada untuk menyuburkan benih malaikat, syaitan atau haiwan.

Apa yang kita dapat ambil intipati dari ayat ini ialah, kalau semua golongan sama ada ulama, pemimpin, orang kaya, guru-guru, mubaligh dan orang biasa boleh bersihkan nafsunya daripada sifat negatif maka akan datanglah kasih sayang, pemurah, memberi maaf, bekerjasama, perikemanusiaan yang tinggi. Hasilnya lahirlah pemimpin yang adil, benar-benar bertanggung jawab pada rakyat, ulama yang benar-benar menjadi obor pada masyarakat sama ada golongan atas atau bawah, orang kaya menjadi bank, membantu orang miskin.Bahkan bila kerajaan susah, dia beri duit pada kerajaan.

Kalau dia guru, nafsunya dibersihkan, dia jadi guru yang juga ayah, mak dan kawan kepada murid-muridnya hingga murid-murid dianggap anaknya. Marah dan kasihnya macam mak ayah terhadap anak. Anak murid pula, sampai mati pun akan sebut gurunya. Dia tidak akan lawan guru. Kisah-kisah murid lawan guru ini kerana salah gurunya yakni kerana nafsu gurunya. Pada guru yang sudah bersihkan nafsunya, dialah kawan, dia pemimpin, dia ayah dan ibu kepada murid-murid. Kalau dia marah adalah atas dasar ayah kepada anak.

Kalau ditakdirkan Tuhan, seseorang itu miskin pula, dia akan sabar, tidak akan mencuri, tidak hasad dengki dan tidak timbul penyakit masyarakat.

Satu ayat sahaja, kalau diterima akan menjadikan pemimpinnya adil, bertanggung jawab, berwatak guru dan adakalanya macam mak ayah. Rakyat pula taat setia dan sanggup mati kerana pemimpin. Orang kaya jadi bank, guru-guru macam mak ayah yang beri kasih sayang dan murid jatuh hati padanya. Dunia menjadi syurga sebelum syurga di akhirat.

Cuba bayangkan betapa indahnya kalau dalam sebuah rumah tangga, ibu bapa berakhlak mulia dan berperanan mendidik anak-anak, dan dapat pula menjadi contoh. Di sekolah, guru-guru bagaikan mak ayah, mendidik murid bagaikan anak sendiri, penuh dengan kasih sayang dan suri teladan. Di kampung-kampung, ketua kampung berperanan sebagai pendidik, di mukim dan daerah penghulu dan pegawai daerah juga berperanan sebagai pendidik dan menjadi suri teladan, begitulah seterusnya di dalam masyarakat umum di mana ketua negara, menteri-menteri dan wakil rakyat bersifat mendidik dan menjadi suri teladan kepada rakyat. Masyarakat begini siapa yang tak nak? Masyarakat yang berkasih sayang, yang ada rasa bersama dan bekerjasama. Mana kita nak cari ? Yang kita lihat hari ini, sebab nafsu manusia sudah jahat, ada yang sudah jadi harimau dan singa, ada yang sudah jadi ular dan beruang.

Dengan ayat yang pendek itu sudah cukup untuk membawa perubahan. Kalau dibaca dengan ikhlas dan dihayati, masyarakat akan jadi syurga. Untuk membersihkan nafsu, kita mesti merujuk kepada Allah kerana Dialah yang tahu selok-belok kejadian manusia. Dia yang menciptakan manusia, sudah pasti Dia apa sahaja masalah yang menimpa manusia, Dia ada cara untuk menyelesaikannya.

Ampun maaf

SEKIAN

Iklan