Lemahnya Akal


Akal manusia memang hebat. Dengan akal, meningkat darjat dan kemuliaan manusia. Kerana akal, manusia boleh mengatasi dan menguasai makhluk-makhluk lain yang tidak berakal. Dengan akal, manusia menguasai alam jamadat. Dengan akal, manusia menguasai alam nabatat. Dengan akal, manusia menguasai alam haiwanat. Dengan akal juga, manusia meneroka lautan yang luas dan dalam. Dengan akal, manusia mengeluarkan segala khazanah dari perut bumi. Dengan akal, manusia dapat meneroka angkasa lepas. Pendek kata, dengan akal, manusia menjadi raja di alam yang lahir ini. Semua ciptaan lahir ini seolah-olah tunduk kepada kehendak dan kemahuan akal manusia.

Tetapi di situ sahajalah terhentinya kehebatan akal. Di alam jin contohnya, manusia tidak mempunyai banyak pengaruh. Bangsa jin tidak berapa peduli sangat dengan manusia ini. Jin, jin punya hal, manusia, manusia punya hal. Baik tak baik, jin boleh khianat pada manusia. Akal manusia tidak dapat berperanan di alam jin. Alam jin bukan lagi alam lahir. Alam jin tidak masuk akal. Tidak logik.

Bagaimanakah akal dapat berperanan di alam yang tidak masuk akal? Lebih-lebih lagilah, akal tidak dapat berperanan di alam-alam yang lebih tinggi. Akal tidak dapat meneroka alam jabarut. Akal tidak dapat meneroka alam malakut. Akal tidak dapat meneroka alam lahut. Akal tidak dapat meneroka alam barzakh, alam Akhirat dan sebagainya. Bukan sahaja alam-alam ini tidak masuk akal, akal pun tidak dapat masuk ke dalam alam yang seperti ini. Kalau dalam alam-alam seperti ini pun akal tidak dapat masuk dan tidak boleh berperanan, apakah halnya pula dengan perkara yang bukan alam. Kerana segala alam itu adalah ciptaan. Dalam banyak alam yang dicipta pun, akal tidak dapat berperanan, inikan pula dalam hal yang bukan alam khususnya dalam hal ketuhanan.

Kerana Tuhan itu bukan alam. Alam itu ialah segala sesuatu selain Tuhan. Oleh itu, kalau manusia hidup semata-mata dengan akal, maka dia akan terpenjara dan tidak akan dapat keluar dari alam yang lahir ini. Dia tidak akan dapat terlepas dari hal-hal jamadat, hal-hal nabatat, hal-hal haiwanat dan hal-hal yang bersabit dengan kehidupan lahiriah manusia. Dia akan jadi banduan dunia. Kalau manusia hidup hanya dengan melibatkan hal dan keperluan lahiriah mereka semata-mata, maka tidak jauhlah darjat manusia itu dengan haiwan. Itulah sebenarnya konsep hidup haiwan. Memuaskan keperluan lahir semahu-mahunya. Apalah gunanya kalau manusia boleh menguasai haiwan kalau dia pun macam haiwan juga. Haiwan bukan makhluk yang bermusafir di dunia ini. Dunia ini permulaan dan terakhir baginya. Bagi manusia pula, dunia ini hanya buat sementara.

Perjalanan manusia lebih jauh. Manusia akan berhijrah lagi ke alam yang lebih tinggi dan lebih seni. Mahu pergi kena pergi, tak mahu pergi pun kena pergi. Sudah bersedia kena pergi, belum bersedia pun kena pergi. Dia macam satu pakej. Bila mula kena ikut sampai habis. Kalau selama ini hanya akal sahaja yang berperanan dalam hidup manusia dan justeru itu manusia terpenjara di alam dunia ini, bagaimanalah dia akan hidup di alam barzakh dan di alam Akhirat. Tidakkah dia akan terkejut bila melihat adanya alam yang lebih seni dan lebih luas dari alam dunia yang selama ini dikenalinya dan direbut-rebutkannya. Tidakkah dia akan jadi seperti katak di bawah tempurung. Bila datang maut atau bila terangkat tempurung, baru dia sedar akan adanya alam yang lebih besar dan lebih luas dari apa yang selama ini wujud di dalam tempurungnya.

Orang akal tak ubah seperti katak di bawah tempurung. Begitulah hakikat orang akal yang menjadi banduan dunia. Bila terlepas dari dunia, dia akan menjadi pelarian di alam Akhirat. Di alam Akhirat, akal tidak berguna. Akal tidak boleh berfungsi. Akal akan kaku dan beku. Kalau di dunia akal ligat berputar, di alam Akhirat, dia seperti tidak wujud.

Itulah sebabnya Islam melarang kita menjadi orang akal semata-mata iaitu orang yang hanya menggunakan akal dalam segala hal dan masalah, dan menggunakan ukuran dan nilai akal dalam semua perkara. Kalau tidak masuk akal, tolak. Kalau tidak logik, tidak mahu terima. Tidak mahu beriman dan percaya dengan perkara-perkara ghaib yang tidak masuk akal. Semuanya kena ditapis dengan akal. Wahyu pun hendak diakalkan. Ada wahyu yang sesuai, ada yang tidak. Ada yang positif dan ada yang negatif. Alam barzakh, alam Akhirat, jin dan malaikat, semua tidak boleh diterima sebab tidak masuk akal. Hatta Tuhan sendiri pun hendak ditapis dengan akal juga. Kalau tak logik, tak mahu akui bahawa Tuhan itu wujud. Cuba bayangkan. Allah yang cipta akal. Allah yang mengurniakan akal itu kepada manusia. Akal itu juga hendak digunakan untuk menafikan kewujudkan Allah. Inilah logik akal yang kita tidak tahu di mana logiknya.

“Manusia sering menganggap mampunyai akal mengendalikan dan menggunakan logik itu satu kelebihan. Sebenarnya ia satu kelemahan. Ia satu limitation. Ia mengecilkan skop akal. Ia menyempitkan pandangan akal. Logik hanya satu asas dari asas-asas ciptaan. Banyak lagi asas-asas ciptaan yang tidak logik. Oleh itu, akal hanya mampu meneroka sebahagian kecil dari rahsia dan ilmu ciptaan Tuhan. Satu persoalan yang perlu ditanya kepada orang akal, mestikah segala apa yang Allah cipta itu logik. Tak bolehkah Allah mencipta benda yang di luar logik.

Tidakkah kita sedar bahawa kalau semua ciptaan Tuhan itu terpaksa bersandar kepada logik, maka lemah sangatlah Tuhan. Takkanlah Tuhan pun tertakluk kepada logik walhal logik itu sendiri pun Tuhan yang cipta. Kalau Allah boleh mencipta benda yang logik, sudah tentu Allah akan mencipta juga benda atau perkara yang tidak logik sebab adalah sunnah Allah untuk mencipta sesuatu itu berpasang-pasang. Kalau ada yang logik, mesti ada yang tidak logik. Kalau tidak manusia akan kata Allah itu lemah. Allah boleh mencipta yang logik sahaja. Yang tak logik, tak boleh. Kalau apa yang Allah cipta itu logik, maka ia bolehlah dikendalikan oleh akal. Memang itu habuan akal.

Sebaliknya, kalau apa yang Allah cipta itu tidak logik, tidak bermakna perkara itu tidak wujud. Ia hanya bermakna bahawa akal bukan alat untuk mengendalikannya. Perkara yang seni, halus dan tidak logik tidak dapat diteroka oleh akal. Ia kenalah diserah kepada roh atau hati. Perkara yang tidak masuk akal boleh jadi boleh masuk hati.

Orang Islam mesti hidup roh dan hatinya. Barulah dia akan dapat faham dan yakin dengan perkara-perkara yang tersirat dan maknawi. Perkara-perkara yang ghaib dan tersembunyi dan di luar logik. Orang akal dinamakan juga orang dunia. Ini kerana orang yang menggunakan akal semata-mata tidak dapat meneroka alam lain selain alam dunia. Orang akal dikenali juga sebagai orang sekular. Kerana sekularisme bermaksud dunia untuk dunia atau dunia habis di dunia. Sekularisme tidak mengaitkan hal dunia dengan Akhirat. Fahaman sekularisme menafikan adanya Akhirat.

Ilmu orang akal sebenarnya cetek dan tidak sehebat mana. Hanya setakat ilmu lahiriah dan ilmu dunia sahaja. Ilmu orang rohani lebih seni, lebih tinggi dan lebih dalam. Ilmunya sampai kepada hakikat sesuatu perkara. Orang akal ibarat kanak-kanak. Mampu membina jambatan di antara dua benua, sudah melonjak-lonjak dengan kemegahan. Orang rohani mampu membina jambatan di antara dua alam tetapi tetap merendah diri, tawadhuk dan malu dengan Tuhan.

Hasil kerja orang akal juga tidak ke mana. Bina punya bina, bina punya bina, satu hari nanti akan runtuh musnah menjadi habuk. Itulah nilai akhir hasil kerja orang akal. Semuanya akan jadi habuk. Hasil kerja orang rohani kekal abadi sampai Akhirat. Tidak ada yang sia-sia. Segala nikmat dari kerja-kerja orang rohani dapat dirasai sampai ke Akhirat. Hasil kemajuan dan tamadun lahiriah orang akal rosak merosakkan, mudharat memudharatkan. Bolehlah hidup selesa sedikit tetapi rosak kemanusiaan, rosak keinsanan. Hati-hati manusia penuh dengan kejahatan dan kekejian. Manusia berkrisis, bergaduh, bunuh-membunuh. Jenayah berleluasa. Hilang ketenangan. Hilang kasih sayang. Hilang kebahagiaan. Orang rohani membina tamadun hati. Insan manusia terbina. Manusia berakhlak dan berkasih sayang. Hati-hati manusia berpaut dengan Tuhan. Manusia hidup tenang, aman dan damai. Bela-membela dan bantu-membantu. Di dunia lagi telah terasa keindahan syurga. Bukan itu sahaja. Akal orang rohani juga lebih hebat dari akal orang akal. Orang rohani tidak bermakna dia tidak berakal.

Malahan akalnya lebih terang, lebih tajam dan lebih memancar kerana rohaninya yang bercahaya. Bukankah ini pelik dan menghairankan. Orang yang mengaku dia orang akal tetapi akalnya tak seberapa kalau dibandingkan dengan akal orang rohani. Orang akal hanya mampu membina dunia. Tapi orang rohani mampu mengakhiratkan dunia. Ini jauh lebih rumit dan susah dari membina dunia semata-mata. Akal sebenarnya sangat berbahaya kepada manusia terutama kalau ia dilepas berperanan secara bebas tanpa kawalan. Akal yang tidak terkawal akan menafikan perkara ghaib termasuk Akhirat. Malahan di hujungnya nanti, dia akan menafikan Tuhan. Akan digantikannya Akhirat dengan dunia dan Tuhan itu dengan nature. Akal tidak tahu selain daripada itu. Oleh itu akal mesti ditundukkan. Ia mesti duduk di bawah hati. Akal mesti dikawal oleh hati. Akal mesti tunduk kepada hati. Barulah akal itu boleh menjadi alat untuk melaksanakan segala kehendak dan perintah hati. Bukan akal yang sepatutnya memerintah sebab dia bukan raja. Raja dalam diri manusia itu ialah hati. Akal bukan untuk mencipta perundangan, sistem, ideologi atau cara hidup bagi manusia. Itu semua telah ditetapkan oleh Allah di dalam Al Quran dan As Sunnah. Allah mengurniakan akal hanyasanya untuk melaksanakan segala suruhan dan hukum-hakam yang sudah Allah tetapkan. Akal hanyalah pelaksana. Kerja akal ialah untuk menterjemah segala suruhan Allah kepada realiti dalam kehidupan. Justeru itu, peranan roh dan hati mesti ditingkatkan. Roh yang lemah mesti dikuatkan. Jiwa yang mati mesti dihidupkan.

Hati yang buta mesti dicelikkan. Kalau rohani lemah, akal akan menuntut kebebasan. Akal yang bebas akhirnya akan dipengaruhi oleh nafsu. Gandingan akal dengan nafsu ini ibarat api yang menyemarak di hutan yang kering. Selagi ada hutan, selagi itulah dia akan membakar. Lebih tebal hutan, lebih semarak lagi apinya. Kuatkan rohani dengan memperbaiki diri. Bertaubatlah dari segala dosa dengan taubat nasuha. Bersihkan hati dari segala sifat mazmumah yang keji. Dari hasad dengki, tamak haloba, pemarah, bakhil, ego, sombong, angkuh, riyak dan sebagainya. Hiasilah hati dengan segala sifat mahmudah. Dengan sifat pemurah, pemaaf, rendah diri, tawadhuk, lapang dada dan sebagainya. Bersihkan fitrah kita hingga ia kembali kepada keadaan asal semulajadinya yang suci-murni.

Kekang nafsu amarah dan didiklah ia hingga ia dapat meningkat ke peringkat nafsu yang lebih tinggi, setidak-tidaknya ke peringkat mulhimah dan kalau boleh ke peringkat mutmainnah . Untuk itu semua, kita perlu kembali kepada Tuhan. Kita perlu menyembahnya. Kita perlu bersembahyang atau bersolat. Kerana dalam solat itu sedia tersusun, segala rukun untuk meningkatkan roh dan memperbaiki diri. Dalam solatlah kita belajar merasa bertuhan. Dalam solatlah kita belajar merasakan diri kita ini hamba. Solat adalah pintu masuk ke alam rohani .

Iklan