Mengapa Masyarakat Islam Tidak Dilihat Indah?


Islam adalah agama aqidah, agama ibadah, akhlak dan peraturan serta
undang-undang hidup di dalam semua aspek kehidupan daripada persoalan kekeluargaan, masyarakat, ekonomi, kebudayaan, pendidikan, perhubungan, kenegaraan, ketenteraan, hinggalah alam sejagat.

Jika sekiranya Islam itu dapat difahami, dihayati dan diamalkan
keseluruhannya, akan dapat dilihat bahawa penganut-penganutnya manusia yang beraqidah, beribadah, berakhlak, berdisiplin, cergas, aktif dan berhubung satu sama lain, dari sini lahirlah manusia yang berukhuwah, berpadu, maju, aman damai, bahagia dan harmoni.

Tapi pada hari ini kita lihat umat Islam dan masyarakat umum amat kusut
sekali, haru-biru, huru-hara, kelam-kabut, tidak berakhlak dan tidak
berdisiplin. Umat Islam tidak sehaluan, tidak sependapat dan tidak satu
fikiran, masing-masing ada tujuan-tujuan yang tersendiri, tidak seia-sekata, dan tidak serentak, tidak menuju satu matlamat yang menjadi cita-cita Islam, bersimpang-siur satu sama lain, tidak satu barisan yang tersusun rapi, seperti satu bangunan yang tersusun rapi dan indah, bercelaru, satu ke hulu, satu ke hilir, satu ke darat, satu ke baruh, satu ke lurah, satu ke bukit, satu timur, satu ke barat. Akhirnya eksiden dan berembuk sesama sendiri, akhirnya umat Islam yang rugi.

Ada yang kaya berpoya-poya, sombong, membuang masa dan pembaziran, hidup sendiri-sendiri.Ada yang miskin tidak sabar, merungut sana, merungut sini, mengeluh di sana, mengeluh di sini, kelihatan resah gelisah.Yang berilmu memikir diri, mencari harta dengan ilmunya, bergaul dengan mayarakat hanya di majlis-majlis rasmi, hidup juga bersendiri.

Pemuda-pemudinya hidup tidak tentu hala, tidak tahu matlamat, berkumpul membuang masa, bohsia, bohjan, melepak-lepak, sakit mata melihatnya.Para pemerintah dan penguasa menggertak-gertak, membentak-bentak, mengugut-ugut dan menakutkan seolah-olah tenggelam punca, tidak tahu bagaimana hendak mendidik rakyatnya.

Di dalam keluarga masing-masing hendak lari keluar terutama anak-anak, gelisah sahaja, panas punggung duduk di rumah kerana di rumah tiada
ketenangan dan tiada kebahagiaan.

Begitulah gambaran masyarakat Islam seluruh dunia begitu kusut dan
menyakitkan mata memandang. Kalau kita hendak membuat perbandingan sepertilah kain buruk yang luntur warnanya, berculang-caling, bertompok-tompok, ada hitam ada kelabu, ada merah, ada biru, ada kuning, dan lain-lain warna kerana ditimpa berbagai-bagai hal yang keadaannya begitu comot sekali, sakit mata memandang, perasaan hati terasa jijik.Atau dengan gambaran yang lain sebagai perbandingan, macam kita melihat di satu lembah yang busuk, becak, berlumpur, penuh sampah sarap yang berbagai-bagai warnanya, baunya busuk, sangat jelik dilihat, hati liar dibuatnya.

Begitulah gambaran masyarakat umat Islam seluruh dunia.
Mengapa terjadi demikian? Mengapa gambaran masyarakat Islam begitu buruk? Mengapa Islam itu begitu cantik tapi penganutnya tidak cantik? Mengapa Islam yang indah itu sedangkan penganut-penganutnya sudah tidak indah lagi?

Terjadinya yang demikian itu adalah seperti berikut:

1. Setengah umat Islam seluruh dunia, Islamnya tinggal akidah
semata-mata, ibadah pun sudah tidak dibuat lagi. Apatah lagi selain ibadah, lebih-lebih lagi tidak mencerminkan ajaran Islam. Hiduplah cara mana mahu hidup. Buatlah apa yang terasa. Ikutlah siapa yang hendak diikut. Kadang-kadang dia pun tidak tahu apakah dia seorang muslim atau tidak, cuma dia dengar-dengar bahawa dia adalah keturunan umat Islam. Maka dia pun mengaku orang Islam. Apa itu Islam, dia tidak tahu. Golongan ini masih ramai.

2. Ada segolongan umat Islam, agamanya hanya setakat akidah dan ibadah sahaja. Itupun ibadahnya tidak mengikut ilmunya yang tepat dan beribadah pun tidak konsisten. Kadang-kadang buat, kadang-kadang tidak. Rasa hendak buat, dia beribadah. Rasa tidak mahu, berhenti dahulu. Atau waktu terpaksa beribadah kerana ada majlis rasmi di masjid. Kenalah bersembahyang selepas itu rehat pula. Kemudian apabila terasa hendak beribadah, buat pula. Kemudian, di aspek-aspek yang lain, jangan cerita, buatlah apa sahaja mahu, ia tidak ada kena mengena lagi dengan Islam. Islam memang tidak ada hubung kait lagi dengan persoalan kehidupan. Golongan ini juga ramai.

3. Ada golongan pula di kalangan umat Islam dia beraqidah dan ibadahnya tetap dibuat, tidak pernah tinggal. Tapi di sudut-sudut lain dia tidak ambil kira sangat, seperti di aspek makan, minum, pakaian, tempat tinggal, tempat kerja ikut Islamkah atau tidak, dia tidak ambil pusing sangat. Jatuh kepada haram atau halal dia tidak ambil kira, akhlak juga tidak dijaga. Kalaupun ada yang sesuai dengan ajaran Islam bukan pula dirancang tapi hanya secara kebetulan sahaja. Kerana yang dia jaga sangat ialah akidah dan ibadah sahaja, yang lain tidak dijaga. Golongan ini agak ramai.

4. Satu golongan pula, akidahnya bagus, ibadahnya agak bagus, memang
dia jaga. Makan, minum, pakaian, tempat tinggal dijaga jangan sampai
melanggar ajaran Islam. Tapi di sudut-sudut lain pula terabai, dia tidak ambil kira sangat seperti tidak ambil kira tempat bekerja walaupun melanggar perintah Islam seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan. Begitu juga akhlaknya tidak dijaga, boleh sahaja mengumpat, mengata, menghina, hasad, pemarah, sombong, riyak, tamak, bakhil, memfitnah, mengadu domba dan lain-lain lagi. Golongan ini juga agak ramai.

5. Ada golongan akidahnya dijaga, ibadah tidak dicuaikan, akhlak boleh
tahan dengan orang luar, tapi dengan anak isteri cuai, di dalam keluarga
tidak ada pendidikan formal atau tidak formal, dengan anak isteri boleh buat lebih kurang, tidak ada perbincangan, tidak ada usrah, tidak ada pengajian, tidak ada mesyuarat sesama keluarga. Dengan anak isteri marah-marah sahaja, didikannya hanya setakat kalau anak isteri buat salah dia marah-marah. Dia anggap itulah didikan. Padahal itu adalah hukuman, bukan didikan. Suasana Islam tidak ada di dalam rumahtangga, hubungan renggang di antara keluarga. Padahal Islam itu selain bermula dari diri, ia juga bermula dari rumahtangga. Golongan ini juga agak ramai dan merata berlaku.

6. Ada golongan sangat menghayati Islam. Akidahnya dijaga, ibadahnya
istiqamah dan bersungguh-sungguh. Halal haram di dalam semua hal sangat diambil berat. Akhlaknya dengan Tuhan atau dengan manusia sentiasa diambil berat. Kalau dia melakukan kesalahan atau tertinggal amalan yang pernah dibuat walaupun sunat, dia sangat menyesal, dia akan tampung dengan kebaikan, seperti ditampung dengan sembahyang sunat atau sedekah, atau dia menolong orang dengan tenaga dan lain-lain. Dengan anak isteri berjalan syariat Islam, sembahyang berjemaah bersama, ada program membaca Al Quran, ada jadual kuliah dan perbincangan, ibu dan ayah menjadi suri teladan, berkasih sayang sesama keluarga, bekerjasama di antara satu sama lain.

Golongan ini sudah tidak ramai lagi. Mereka ini sudah dianggap orang
ganjil dan pelik oleh masyarakat.

7. Golongan ini selain bersikap seperti golongan yang keenam, mereka
sibuk memperjuangkan Islam itu melalui ceramah-ceramah, nasihat-nasihat, tulisan-tulisan, membuat kebaikan di tengah masyarakat seperti selalu bersedekah, sering menolong orang susah dengan berbagai-bagai cara, suka berkhidmat dengan masyarakat, pantang mendengar orang susah, mesti ditolongnya iaitu menyedarkan masyarakat kepada Islam secara bilhal atau secara sikap agar orang ramai faham bahawa Islam itu begitu caranya. Golongan ini lebih-lebih lagi terlalu sedikit. Macam antah dalam beras, macam mencari gagak putih.

Kalau secara rambang atau secara umum umat Islam seluruh dunia telah
terbahagi kepada tujuh golongan. Belum kita perinci dan detailkan lagi.
Bagaimanalah umat Islam hendak berkasih sayang? Manalah boleh bersatu padu? Senangkah hendak bertolong bantu? Mudahkah hendak seia-sekata? Mudahkah hendak berjuang di dalam satu barisan yang tersusun, menuju satu haluan?

Kalau umat Islam seluruh dunia di dalam memahami, menghayati,
mengamalkan dan memperjuangkan, sudah tidak sama dan sudah tidak seirama lagi, bolehkah umat Islam menjadi kuat dan berdaulat? Bolehkah lahir satu umat yang berakhlak dan berwibawa hingga dihormati oleh bangsa-bangsa di dunia?

Kalau kehidupan umat Islam sudah begitu kusut seperti yang telah kita
paparkan sebelum ini, untuk memulihkan semula hendak bermula dari mana? Bermula dari duit? Bermula dari hiburan? Bermula dari politik? Bermula dari ilmu?

Berjuang memulihkan semula masyarakat Islam yang begitu haru-biru itu mesti bermula daripada iman dan ilmu. Iman dan ilmu mesti dari didikan.Dari didikan baru datang penghayatan. Dari penghayatan baru datang cinta kepada Allah, Rasul dan agama-Nya, atau baru datang takut kepada Allah Taala. Dari takut itu mereka melaksanakan. Dari melaksanakan lahir bangsa yang bertaqwa.

Setelah bertaqwa barulah datang bantuan dan pembelaan dari Allah Taala. Setelah Allah Taala bela, barulah datang kekuatan dan kedaulatan dan seterusnya kejayaan yang diredhai-Nya.
Tapi hendak melahirkan proses itu atau metodologi untuk ditempuh hingga sampai ke matlamatnya, mesti ada figure atau pemimpin yang beriman, berilmu, bertaqwa, berakhlak mulia, yang dihormati dan disegani, disayangi dan dipatuhi. Kalau nilai peribadi pemimpin itu sama dengan nilai peribadi rakyat umum atau lebih rendah lagi, siapakah yang boleh terima? Siapakah yang boleh hormat? Siapakah yang akan sayangi? Siapakah yang akan patuhi?

Kita semua boleh memberi jawapan. Sudah tentu perjuangan umat Islam
tidak sampai ke mana.Tapi kalau hendak memperjuangkan di dalam satu aspek sahaja seperti membangun dan maju mungkin boleh. Tapi iman? Taqwa? Akhlak? Ketaatan? Kasih sayang? Bagaimana?
Cukupkah maju sahaja? Orang Barat dan Amerika sudah maju, tapi apa
telah jadi masyarakat mereka? Semua kita tahu tidak payah saya memberi jawapan. Lihatlah, bolehkah dibanggakan kemajuan hingga bekas Presiden Amerika sendiri terlibat dengan skandal seks sepertimana Bill Clinton semasa beliau berkuasa. Apakah umat Islam mahu mengejar seperti orang Barat dan Amerika lakukan. Kita jawablah sendiri-sendiri.

SEKIAN

Iklan