Mengapa Timbulnya Gejala Negatif Dalam Masyarakat?


Mengapa timbulnya gejala negatif di dalam masyarakat?

Ajaran Allah samada perintah yang disuruh dan perintah yang dilarang ada yang sesuai dengan fitrah dan ada yang tidak sesuai. Ada yang naluri manusia senang menerimanya dan ada yang tidak. Perintah Tuhan yang mana fitrah atau naluri senang menerimanya ini lebih laju dilakukan dan cepat diterima daripada perintah Tuhan yang naluri susah menerimanya.

Bagi orang yang beriman dan beragama, untuk menerima sesuatu yang fitrah menolaknya, mereka terpaksa bermujahadah. Perlu diingat perintah Tuhan yang mana fitrah susah menerimanya lebih selamat, mudah mendapat pahala dan mudah disayangi oleh Tuhan. Mungkin susah hendak mendapat khusyuk, mungkin lalai dan sebagainya kerana melakukannya atas keyakinan walaupun hati tidak mahu tetapi buat juga atas dasar perintah Tuhan, ini lebih selamat. Tetapi bagi perintah yang senang diterima oleh naluri, hasilnya banyak tetapi payah hendak mendapat pahala. Ambil perhatian daripada beberapa contoh berikut.

Perkara yang payah hendak dilakukan tetapi dilakukan juga dengan tercabar naluri terutama orang-orang yang baru dengan Tuhan, adakah mereka rasa seronok mengerjakan sembahyang? Mereka tidak seronok sebenarnya. Mendengarkan ayam panggang lebih menyeronokkan. Bagi Rasul-Rasul dan Nabi-Nabi dan orang yang dekat dengan Tuhan yang tidak ramai bilangannya tidak termasuk di dalam golongan ini. Kita hanya bercakap tentang orang awam. Bagi mereka ini, entahkan bila berpuasa pun terpaksa bermujahadah kerana fitrah dan naluri susah hendak menerima perintah itu tetapi atas dasar iman, mereka berpuasa juga.

Contoh seterusnya, hendak mengorbankan duit untuk perjuangan Islam. Adakah bila mendengar tentang mengorbankan duit atau harta untuk perjuangan Islam, rasa sedapnya sama dengan rasa hendak makan soto? Sebenarnya, ia dilakukan dalam keadaan terpaksa atau memaksa-maksakan diri. Contoh lain ialah ibadah haji yang mana kita terpaksa mengorbankan wang, tenaga, harta benda dan bersusah-payah mengerjakannya. Jadi, kalau bukan kerana Tuhan, tidak mungkin kita melakukannya. Begitu juga perintah Tuhan untuk kita memaafkan kesalahan orang. Rasanya bagai hendak tercabut nyawa untuk memaafkan orang. Apatah lagi kalau dengan perintah Tuhan untuk kita berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita, rasanya seperti mati hidup semula. Kiaskanlah dengan contoh-contoh lain berkaitan dengan perintah-perintah Tuhan yang tidak sesuai dengan naluri.

Perintah Tuhan yang boleh diterima oleh fitrah dan naluri memang kita rasa seronok untuk melakukannya tetapi kadang-kadang ada halangan dan cabaran, itu adalah masalah yang mendatang (aradhi). Namun kita memang sudah bersedia untuk melakukannya. Contohnya dalam kita hendak menuntut ilmu kerana hendak menjadi pandai. Itu adalah perintah Tuhan yang kita rasa suka untuk melakukannya. Cuma, bila ada cabaran, itu datangnya dari dalam. Sebenarnya memang kita hendak menjadi pandai atau orang alim, memang hendak membangun dan sebagainya. Begitu juga kalau hendakkan kemajuan, itu adalah fardhu kifayah. Semua orang hendak maju. Kita rasa terhibur untuk mengusahakan ini namun semasa hendak melaksanakannya, ada bermacam-macam cabaran. Itu soal lain. Di dalam hati sudah merasakan seronok untuk melakukan perintah-perintah itu seperti hendak pandai, maju dan membangun.

Contoh lain ialah soal kahwin. Perintah berkahwin itu sunat. Bila terdesak hendak berkahwin, itu menjadi wajib. Jadi kalau hendak berkahwin, perlu berusaha mencari pasangan. Perintah ini sesuai dengan fitrah. Jadi kita memang seronok untuk berkahwin.

Contoh lain ialah hendaklah kita bermusafir atau mengembara. Allah berfirman dengan maksudnya:

Hendaklah mengembara di bumi Tuhan

Mengembara itu sunat. Dapat ilmu dan pengalaman. Kalau tidak boleh pergi mengembara kerana tidak ada duit, itu soal lain. Tetapi bila mendengar tentang pergi mengembara, memang sangat terdorong untuk melakukannya.

Sekali lagi diulangi bahawa perintah Tuhan ini ada dua bahagian iaitu suruhan dan larangan yang mana ada yang naluri susah menerimanya dan ada pula yang naluri senang menerimanya.

Oleh kerana contoh yang pertama tadi berlawan dengan fitrah, hanya orang yang takutkan Tuhan sahaja boleh melakukannya. Tetapi yang sesuai dengan fitrah ini sangat laju dan cepat serta berkembang. Rupanya, perkara-perkara yang payah diterima oleh fitrah ini lebih selamat dilakukan sebab seperti yang dikatakan tadi, kalau ianya dilakukan, itu betul-betul kerana Tuhan. Betul-betul hasil mujahadah. Benar kerana Tuhan. Sedangkan kalau ditanya kepada fitrah seseorang itu, perkara yang dilakukan itu ternyata berat baginya. Contohnya kalau hendak mengerjakan sembahyang subuh, adakah itu senang dilakukan? Begitu juga dengan puasa. Tetapi inilah yang lebih selamat untuk mendapatkan keredhoan Tuhan, cinta Tuhan dan pahala dari Tuhan serta keampunan dari Tuhan.

Tetapi perkara yang kedua iaitu perkara-perkara yang diterima dan sesuai dengan fitrah banyak dilakukan atau dilahirkan. Tetapi pahalanya mungkin sedikit atau tidak dapat langsung. Lahirnya banyak tetapi tidak mendapat keredhoaan Tuhan. Lahirnya pesat, maju dan laju tetapi mungkin tidak mendapat kasih sayang Tuhan. Sebab kita pun tidak tahu apa yang kita buat itu kerana Allah atau kerana hati atau kerana fitrah kita atau mungkin kerana kekuatan biologi. Itu yang menyebabkan kita payah hendak mendapat pahala. Kita mendapat pahala kerana Allah, bukan kerana tuntutan fitrah. Keredhoan Tuhan itu kita akan dapat kalau apa yang kita buat itu kerana Allah bukan kerana seronok melakukannya. Bukan juga kerana hendak maju, untuk dapat untung atau kerana gah. Lebih-lebih lagi kita berbuat supaya bila kita maju nanti tidak payah lagi bersandar dengan orang lain. Itu tuntutan fitrah, bukan untuk Allah.

Di sinilah kita selalu tertipu. Fitrah dan naluri menipu kita. Kemajuan yang kita dapat juga menipu kita. Tidak dapat pahala. Tidak dapat redho dan kasih Tuhan. Sebab apa yang kita buat itu lebih disebabkan keinginan kita daripada kerana Allah. Tetapi perkara ini tidak pernah orang membahaskannya. Tidak tahu mengapa begitu. Mungkin ada orang yang tahu tentang perkara ini tetapi takut kerana ianya perkara sensitif.

Cuba kita lihat, kerana tuntutan belajar dan tuntutan mencari ilmu itu sesuai dengan fitrah, maka ulama berkempen tentangnya. Begitu juga dengan pemimpin, orang cerdik pandai, orang besar malah orang kampung ikut berkempen bahawa kita kena mencari ilmu, mesti belajar dan menjadi pandai serta menjadi bangsa yang pandai.

Tuhan pula berkata: Iqra. Itu lebih kuat. Tetapi pernahkah orang berkempen tentang sembahyang dan puasa? Begitu juga dengan kempen supaya orang bersedekah, maafkan orang atau berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita? Itu tidak berlaku. Kerana hati tidak boleh terima. Tetapi kalau yang sesuai dengan hati, mereka benar-benar berkempen seperti contoh-contoh yang disebutkan tadi. Mereka berkempen supaya kita menjadi bangsa yang berilmu dan maju. Bahawa kita mesti berdiri di atas kaki sendiri.

Mereka katakan bahawa Tuhan menganjurkan supaya kita belajar sepertimana dalam firman-Nya; Iqra. Maksudnya Tuhan menyuruh kita baca iaitu belajar mencari ilmu. Tetapi mereka lupa bahawa Tuhan suruh baca dengan nama-Nya . Yang mereka kempenkan tidak ada dengan nama Tuhan. Itu mereka tutup. Mereka hanya kempen tentang mencari ilmu sahaja. Kempenkan tentang maju sahaja. Tetapi atas nama siapa? Mereka tutup atas nama Tuhan. Yang mereka lakukan adalah atas nama negara maka tidak mendapat pahala. Mereka lakukan atas nama bangsa, itu tidak mendapat keredhoan Tuhan. Yang Tuhan suruh ialah Hendaklah kamu belajar, hendaklah kamu maju dan hendaklah kamu mengembara atas nama Tuhan. Tetapi ini semua ditutup. Mengapa ini terjadi? Ramai orang tidak sedar. Padahal jelas bila Tuhan berfirman yang bermaksud:

`Bacalah atas nama Tuhanmu`

Maksudnya, carilah ilmu (Iqra) tetapi jangan atas nama bangsa, fitrah, naluri, negara atau jemaah tetapi atas nama Tuhanmu. Iqra itu sebagai contoh. Yang lain itu boleh dikiaskan. Kalau kita belajar atas nama Tuhan, apa pun yang kita buat selepas habis belajar seperti contohnya membangunkan ekonomi, kebudayaan, jemaah atau perjuangan, semua itu adalah kerana Allah.

Sebab itu, perkara yang kedua ini (yang sesuai dengan fitrah), itu juga disuruh Tuhan dan begitu juga dengan hati kecil, maka kita sangat berkehendak ke arah itu. Kita tidak fikirkan lagi bagaimana hendak menjadi pandai, maju, membangun dan lain-lain lagi. Yang penting Tuhan suruh. Tetapi atas nama Tuhan, kita tutup. Maksudnya atas nama Tuhan itu tidak digunapakai. Sebab kalau kita buat atas nama Tuhan, kita tidak boleh melanggar perintah Tuhan. Maksudnya, kalau dibuat atas nama Tuhan, nanti kita tidak boleh menipu, berbohong atau curi tulang dan sebagainya apabila melakukannya. Jadi, tutup atas nama Tuhan tetapi itu hanya diambil sebagai dorongan saja. Begitulah jahatnya manusia.

Padahal ayat itu jelas mengatakan bahawa belajar mesti atas nama Tuhan. Belajar atas dasar takutkan Tuhan. Belajar atas dasar cintakan Tuhan. Belajar untuk mendapat keredhoan Tuhan. Belajar untuk mendapat pahala dari Tuhan. Tidak boleh atas dasar lain. Begitulah juga kalau hendak maju dan membangun, mesti atas nama Tuhan, kerana takutkan Tuhan dan cintakan Tuhan dan untuk mendapat keredhoan Tuhan.

Sama seperti perintah yang pertama juga iaitu suruhan dan larangan yang naluri susah menerimanya, di mana kalau perintah pertama itu ada syarat, rukun, sah dan batal, yang kedua ini juga sama. Bagi perintah yang fitrah tidak senang menerimanya akan terbatal jika dilakukan dengan tidak mengikut syarat dan rukunnya. Maka bagi perkara yang kedua ini, ia juga terbatal kalau dilakukan dengan tidak mengikut syarat dan rukunnya.

Tetapi oleh kerana yang kedua (suruhan dan larangan yang boleh diterima fitrah) ini seronok dan seolah-olah kita sangat mahu melakukannya maka kita lakukan tanpa memikirkan lagi untuk melakukannya atas nama Tuhan. Suruhan atas nama Tuhan itu ditutup-tutup. Melakukan suruhan atas nama Tuhan tidak dikempenkan atau dipromosikan. Yang dikempenkan ialah kita mesti buat dan kita mesti lakukan. Akhirnya, kita belajar atas nama fitrah tetapi bukan atas nama Tuhan. Kita maju dan membangun atas nama fitrah, bukan atas nama Tuhan. Itu semua tidak mengapa dan boleh diteruskan.

Tetapi hakikatnya, dicelah-celah menjadi pandai dan maju misalnya, banyak bergaduh dan berkrisis sesama sendiri. Kita membangun tetapi saling jatuh-menjatuhkan. Tuhan sudah marah kerana kita buat bukan kerana-Nya tetapi kerana fitrah diri sendiri. Maka tanggunglah diri sendiri. Inilah yang sedang berlaku di seluruh dunia Islam. Maju dan membangun tetapi berpecah-belah dan hancur kasih sayang serta banyak jenayah berlaku. Murid sesama murid bergaduh malah guru dengan murid juga bergaduh. Tuhan biarkan. Kalau kita hendak maju, kita boleh maju. Kerana kita maju bukan dengan cara yang Tuhan kehendaki maka Tuhan lahirkan kesan-kesan sampingan dari kemajuan itu (side effect) yang akan menyusahkan kita. Sehingga akhirnya segala kemajuan dan kepandaian itu tidak memberi erti apa-apa.

Sepatutnya perkara yang kedua juga diterima sebagai rahmat Tuhan. Tuhan menyuruhnya dan hati kita pun menerima dan menyuruh ke arah itu. Tuhan pun suka dan hati pun suka. Bukankah itu satu rahmat? Itu adalah kasih sayang Tuhan. Tetapi kenapa tidak dibuat atas nama Tuhan? Malah melakukan atas nama Tuhan itu ditutup dan disorok. Perintah untuk melakukan atas dasar cintakan Tuhan itu disorok. Jenis apakah manusia ini? Padahal dengan rahmat dan kasih sayang Tuhan di mana Tuhan menyuruh kita melakukan semua perintah itu atas nama Tuhan. Sepatutnya kita berterima kasih dengan Tuhan. Sebab apa yang Tuhan perintahkan itu, hati kita juga menerimanya, gembira dan diperlukan. Tetapi sebaliknya, kita melakukannya bukan atas nama Tuhan. Patutlah dunia ini sudah menjadi neraka sebelum neraka. Kemajuan yang dirasakan seperti syurga tetapi penderitaannya adalah seperti masuk neraka sebelum neraka. Ini semua kerana Tuhan marah. Kita membuat kemajuan bukan atas nama-Nya lagi tetapi atas diri kita.

Ramai orang tidak menyedari perkara ini. Ulama juga tidak menyedarinya. Sebenarnya sama saja di antara perintah pertama dan kedua. Cuma yang pertama, perintahnya berat sebab tidak sesuai dengan hati sedangkan perintah yang kedua itu sesuai dengan hati. Tetapi di sisi Tuhan, kalau hendak menerima atau menolaknya, semua itu mesti bersyarat. Contohnya, sembahyang ada syarat sah, rukun dan batalnya. Maka kita mesti menjaga semua syarat-syaratnya. Sebab kita betul-betul buat kerana Allah. Niat pun sudah betul. Begitu juga dengan perintah kedua ini yang sebenarnya sama kerana kalau tidak menepati syarat dan rukunnya, tetap akan tertolak. Tetapi oleh kerana kehendaknya itu kuat, Tuhan hendak dan kita pun hendak melakukan perkara yang sama, hingga tidak sabar-sabar maka kita lakukan tanpa memikirkan syarat sah dan rukunnya. Sepatutnya kita malu dengan Tuhan. Tuhan sudah permudahkan kita dengan memberikan perintah yang sesuai dengan hati kita. Sepatutnya kita berterima kasih dengan Tuhan dan mengatakan bahawa perintah yang disuruh-Nya, itulah juga yang kita mahukan. Dan itulah yang kita perlukan. Tetapi kita tutup-tutup atas nama Tuhan. Kita hanya melakukan atas dasar tuntutan fitrah. Contohnya hendak menjadi pandai, maju dan sebagainya tetapi kita lakukan bukan atas dasar kerana Allah.

Perkara-perkara ini hendaklah dibetulkan. Kalau tidak, apalah ertinya kita maju tetapi tidak mendapat keredhoan Tuhan dan tidak mendapat pahala. Bahkan bukan itu sahaja, Tuhan mendera kita dengan banyaknya jenayah yang berlaku, pecah ukhwah dan hilang kasih sayang. Seolah-olah kita sanggup membeli kemajuan dan pembangunan ini dengan jenayah, peperangan dan sebagainya kerana kita perlu maju dan membangun. Maksudnya, tidak mengapa kalau jenayah banyak berlaku, hilang kasih sayang dan pecah ukhwah asalkan kita dapat maju dan membangun. Begitulah kalau kita berbuat tidak atas dasar perintah Tuhan tetapi ada dasar kehendak hati.

SEKIAN

Iklan