Mengapa Timbulnya Gejala Negatif Di Dlm Masyarakat


Dengan Menyebut Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
(Bahagian 1)

Ajaran Allah samada perintah yang disuruh dan perintah yang dilarang ada yang sesuai dengan fitrah dan ada yang tidak sesuai. Ada yang naluri manusia senang menerimanya dan ada yang tidak. Perintah Tuhan yang mana fitrah atau naluri senang menerimanya ini lebih laju dilakukan dan cepat diterima daripada perintah Tuhan yang naluri susah menerimanya.

Bagi orang yang beriman dan beragama, untuk menerima sesuatu yang fitrah menolaknya, mereka terpaksa bermujahadah. Perlu diingat perintah Tuhan yang mana fitrah susah menerimanya lebih selamat, mudah mendapat pahala dan mudah disayangi oleh Tuhan. Mungkin susah hendak mendapat khusyuk, mungkin lalai dan sebagainya kerana melakukannya atas keyakinan walaupun hati tidak mahu tetapi buat juga atas dasar perintah Tuhan, ini lebih selamat. Tetapi bagi perintah yang senang diterima oleh naluri, hasilnya banyak tetapi payah hendak mendapat pahala. Ambil perhatian daripada beberapa contoh berikut.

Perkara yang payah hendak dilakukan tetapi dilakukan juga dengan tercabar naluri terutama orang-orang yang baru dengan Tuhan, adakah mereka rasa seronok mengerjakan sembahyang? Mereka tidak seronok sebenarnya. Mendengarkan ayam panggang lebih menyeronokkan. Bagi Rasul-Rasul dan Nabi-Nabi dan orang yang dekat dengan Tuhan yang tidak ramai bilangannya tidak termasuk di dalam golongan ini. Kita hanya bercakap tentang orang awam. Bagi mereka ini, entahkan bila berpuasa pun terpaksa bermujahadah kerana fitrah dan naluri susah hendak menerima perintah itu tetapi atas dasar iman, mereka berpuasa juga.

Contoh seterusnya, hendak mengorbankan duit untuk perjuangan Islam. Adakah bila mendengar tentang mengorbankan duit atau harta untuk perjuangan Islam, rasa sedapnya sama dengan rasa hendak makan soto? Sebenarnya, ia dilakukan dalam keadaan terpaksa atau memaksa-maksakan diri. Contoh lain ialah ibadah haji yang mana kita terpaksa mengorbankan wang, tenaga, harta benda dan bersusah-payah mengerjakannya. Jadi, kalau bukan kerana Tuhan, tidak mungkin kita melakukannya. Begitu juga perintah Tuhan untuk kita memaafkan kesalahan orang. Rasanya bagai hendak tercabut nyawa untuk memaafkan orang. Apatah lagi kalau dengan perintah Tuhan untuk kita berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita, rasanya seperti mati hidup semula. Kiaskanlah dengan contoh-contoh lain berkaitan dengan perintah-perintah Tuhan yang tidak sesuai dengan naluri
Perintah Tuhan yang boleh diterima oleh fitrah dan naluri memang kita rasa seronok untuk melakukannya tetapi kadang-kadang ada halangan dan cabaran, itu adalah masalah yang mendatang (aradhi). Namun kita memang sudah bersedia untuk melakukannya. Contohnya dalam kita hendak menuntut ilmu kerana hendak menjadi pandai. Itu adalah perintah Tuhan yang kita rasa suka untuk melakukannya. Cuma, bila ada cabaran, itu datangnya dari dalam. Sebenarnya memang kita hendak menjadi pandai atau orang alim, memang hendak membangun dan sebagainya. Begitu juga kalau hendakkan kemajuan, itu adalah fardhu kifayah. Semua orang hendak maju. Kita rasa terhibur untuk mengusahakan ini namun semasa hendak melaksanakannya, ada bermacam-macam cabaran. Itu soal lain. Di dalam hati sudah merasakan seronok untuk melakukan perintah-perintah itu seperti hendak pandai, maju dan membangun.

Contoh lain ialah soal kahwin. Perintah berkahwin itu sunat. Bila terdesak hendak berkahwin, itu menjadi wajib. Jadi kalau hendak berkahwin, perlu berusaha mencari pasangan. Perintah ini sesuai dengan fitrah. Jadi kita memang seronok untuk berkahwin. Kiaskan juga dengan contoh-contoh lain yang fitrah manusia senang menerimanya seperti mengembara.

Contohnya hendaklah kita bermusafir atau mengembara.
Allah berfirman dengan maksudnya: “Hendaklah mengembara di bumi Tuhan”
Mengembara itu sunat. Dapat ilmu dan pengalaman. Kalau tidak boleh pergi mengembara kerana tidak ada duit, itu soal lain. Tetapi bila mendengar tentang pergi mengembara, memang sangat terdorong untuk melakukannya. Yang lain, jika tidak disebutkan di sini, boleh dikiaskan juga.

Sekali lagi diulangi bahawa perintah Tuhan ini ada dua bahagian iaitu suruhan dan larangan yang mana ada yang naluri susah menerimanya dan ada pula yang naluri senang menerimanya.

Oleh kerana contoh yang pertama tadi berlawan dengan fitrah, hanya orang yang takutkan Tuhan sahaja boleh melakukannya. Tetapi yang sesuai dengan fitrah ini sangat laju dan cepat serta berkembang. Rupanya, perkara-perkara yang payah diterima oleh fitrah ini lebih selamat dilakukan sebab seperti yang dikatakan tadi, kalau ianya dilakukan, itu betul-betul kerana Tuhan. Betul-betul hasil mujahadah. Benar kerana Tuhan. Sedangkan kalau ditanya kepada fitrah seseorang itu, perkara yang dilakukan itu ternyata berat baginya. Contohnya kalau hendak mengerjakan sembahyang subuh, adakah itu senang dilakukan? Begitu juga dengan puasa. Tetapi inilah yang lebih selamat untuk mendapatkan keredhoan Tuhan, cinta Tuhan dan pahala dari Tuhan serta keampunan dan Tuhan. Tetapi perkara yang kedua iaitu perkara-perkara yang diterima dan sesuai dengan fitrah banyak dilakukan atau dilahirkan. Tetapi pahalanya mungkin sedikit atau tidak dapat langsung. Lahirnya banyak tetapi tidak mendapat keredhoaan Tuhan. Lahimya pesat, maju dan laju tetapi mungkin tidak mendapat kasih sayang Tuhan. Sebab kita pun tidak tahu apa yang kita buat itu kerana Allah atau kerana hati atau kerana fitrah kita atau mungkin kerana kekuatan biologi. Itu yang menyebabkan kita payah hendak mendapat pahala. Kita mendapat pahala kerana Allah, bukan kerana tuntutan fitrah. Keredhoan Tuhan itu kita akan dapat kalau apa yang kita buat itu kerana Allah bukan kerana seronok melakukannya. Bukan juga kerana hendak maju, untuk dapat untung atau kerana gah. Lebih-lebih lagi kita berbuat supaya bila kita maju nanti tidak payah lagi bersandar dengan orang lain. Itu tuntutan fitrah, bukan untuk Allah.

Di sinilah kita selalu tertipu. Fitrah dan naluri menipu kita. Kemajuan yang kita dapat juga menipu kita. Tidak dapat pahala. Tidak dapat redho dan kasih Tuhan. Sebab apa yang kita buat itu lebih disebabkan keinginan kita daripada kerana Allah. Tetapi perkara ini tidak pernah orang membahaskannya. Tidak tahu mengapa begitu. Mungkin ada orang yang tahu tentang perkara ini tetapi takut kerana ianya perkara sensitif.

Cuba kita lihat, kerana tuntutan belajar dan tuntutan mencari ilmu itu sesuai dengan fitrah, maka ulama berkempen tentangnya. Begitu juga dengan pemimpin, orang cerdik pandai, orang besar malah orang kampung ikut berkempen bahawa kita kena mencari ilmu, mesti belajar dan menjadi pandai serta menjadi bangsa yang pandai.

Iklan