Pelik Tapi Benar


Orang dulu-dulu (yakni salafussoleh), banyak benar perkara ajaib dan pelik-pelik pada peribadi mereka. Pelik dan ajaibnya itu kerana hal-hal seumpama itu tidak lagi berlaku di zaman moden era siber ini.Apakah perkara yang pelik itu? Ikutilah kisah-kisah berikut…

Kisah 1
Khalifah Berjiwa Hamba

Sebelum menjadi Khalifah,Sayidina Abu Bakar As Siddiq r.a. selalu menolong seorang wanita tua lagi janda yang menjadi jirannya. Setiap pagi beliau tolong memberi makan unta-unta jirannya itu serta memerah susunya. Amatlah lega dan lapang hati wanita tua itu, apatah lagi beliau tidak punya anak lelaki yang boleh membantunya. Yang ada pun cuma anak perempuan!

Setelah Sayidina Abu Bakar diangkat menjadi khalifah, jirannya itu pun susahlah hatinya memikirkan siapa yang akan menolongnya memberi makan unta-untanya serta memerah susunya. Ia menyangka tentulah Sayidina Abu Bakar tidak sempat menolongnya lagi, maklumlah dah jadi khalifah umat Islam, tentulah sibuk. Tentulah banyak perkara besar-besar dalam negara yang hendak difikirkan oleh beliau. Tak kanlah beliau sempat nak fikir hal unta-untanya itu,begitulah congak wanita itu seorang diri.

Kebimbangan yang melanda hati perempuan tua itu rupa-rupanya disedari oleh Sayidina Abu Bakar, lalu beliau berjumpa wanita tua itu sambil berkata:
” Wahai jiranku, janganlah puan merasa bimbang. Sekalipun saya telah menjadi khalifah, namun jawatan itu tidak akan menghalang saya terus menolong puan.”

Amatlah terharunya wanita tua itu melihat kerendahan hati Amirul Mukminin. Bertambah-tambahlah kasihnya kepada pemimpinnya itu. Sungguh mulia hati beliau yang sanggup berkhidmat kepada rakyat bawahan sepertinya. Padahal, beliau boleh perintahkan sapa-sapa saja buat kerja itu. Beliaukan khalifah.Maka setiap hari Sayidina Abu Bakar datang memberi makan unta-unta jirannya itu. Suatu hari, Sayidina Abu Bakar mengetuk pintu rumah wanita itu sambil memberi salam. Anak perempuannya datang melihat siapa yang datang.

Wanita itu bertanya dari dapur, “Siapa yang datang tu nak?”

Anaknya spontan menjawab, “Tukang perah susu unta kita bu!”

Wanita itu terkejut apabila mengetahui yang datang itu adalah khalifah. Lantas dia memarahi anaknya, “Itu Amirul Mukminin!”

Sayidina Abu Bakar tersenyum sambil berkata, “Biarkan dia. Dia memanggil aku dengan gelaran yang sebenarnya. Dan itulah panggilan yang paling aku sukai.”

Begitu sekali ketinggian akhlak Sayidina Abu Bakar r.a. Hatinya benar-benar merasa dirinya hamba Tuhan yang hina dina sehingga tidak inginkan apa-apa pujian. Baginya seala pujian hanya layak untuk Tuhan.

Kisah 2
Hamba sama dengan tuan

Sifat Abu Zar Al Ghifari yang sangat rendah hati, amatlah dikenal oleh para Sahabat.

Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda:
“Siapa di antara umatku yang hendak melihat kerendahan hati Isa bin Maryam maka lihatlah Abu Zar Al Ghifari ini.”
Pernah suatu hati seorang Sahabat melihat Abu Zar berjalan bersama pelayan atau hambanya. Dari jauh memang sukar hendak dikenal mana satu Abu Zar dan mana satu pelayannya itu, kerana pakaian mereka sama sahaja.
Setelah sahabat tersebut mendekati Abu Zar, ia pun bertanya, ” Hai Abu Zar, kenapa pelayan tuan berpakaian sama seperti tuan ini?

Maka jawab Abu Zar, “Pernah aku mendengari, pelayan kamu adalah saudara -saudara kamu. Allah SWT telah meletakkan mereka di bawah tanggungjawab kamu. Kamu hendaklah memberi makan dengan makanan yang kamu makan, dan memberi mereka pakaian dengan apa yang kamu pakai. Kamu jangan memberi mereka kerja yang berat. Jika kamu berikan kerja yang berat, kamu hendaklah sama-sama menolongnya.”

Kisah 3
Buta celik

Macam mana pula orang buta boleh nampak? Ha, kisahnya ada seorang sufi yang akan melangsungkan perkahwinannya dengan seorang wanita cantik. Tiba-tiba dengan takdir Allah, di saat hampir pada waktu pernikahan, pengantin wanita itu ditimpa penyakit cacar.

Pihak keluarganya sangatlah sedihnya dan khuatir anak gadisnya akan dianggap hodoh oleh bakal menantu mereka. Lagipun orang sufi tu handsome juga. Takut-takut tak padan dengan anak gadis mereka.
Dalam mereka bergundah-gulana itu tiba-tiba sampailah khabar kepada keluarga wanita itu bahawa si sufi tadi telah mengidap sakit mata, hingga mengakibatkan matanya buta.

Dipendekkan cerita, perkahwinan yang dirancang pun terus dilangsungkan, dalam keadaan kedua pengantin yang kini telah `sekufu` itu. Kedua belah pihak tidak bersedih hati mahupun berkecil hati.
Hiduplah kedua pasangan tersebut dengan rukun dan damai selama 20 tahun, sehingga Allah takdirkan wanita itu jatuh sakit lalu meninggal dunia. Setelah kematian isterinya maka si sufi itu pun membuka rahsia yang disimpannya selama 20 tahun itu. Rupa-rupanya selama ini matanya tidak buta, dia hanya berpura-pura sahaja.

Lalu orang pun bertanya, mengapa ia berpura-pura buta sekian lamanya.

Lantas dijawabnya “Aku saja berpura demikian agar keluarga isteriku tidak bersedih hati. ”

Tercenganglah mereka yang mendengar pengakuannya itu.

Mereka pun berkata, “Kamu telah mengungguli rakan-rakanmu dengan akhlakmu ini!”

Rezeki Dari Rahang Unta
SYAM’UN AL GHAZI , seorang pahlawan Bani Israel yang telah berjuang memerangi musuh-musuh Islam selama 1000 bulan lamanya. Musuhnya telah cuba berbagai-bagai kaedah untuk menghapuskannya. Malang sekali rancangan mereka sering menemui kegagalan.

Syam’un mempunyai senjata yang merbahaya buat pihak musuh. Senjata tersebut sangat berkesan dan telah berjaya membunuh beribu nyawa musuh. Ia diperbuat dari rahang unta yang kering. Apabila dahaga akan keluar air jernih yang bersih. Manakala ketika lapar akan keluar daging yang cukup untuk dimakannya dari tulang tersebut.

Oleh kerana kegagalan demi kegagalan dihadapi oleh pihak musuh, mereka telah cuba memperalatkan isteri Syam’un sendiri. Isteri Syam’un masih belum beriman. Dia disogokkan dengan harta yang banyak jika mampu menyerahkan suaminya sendiri hidup-hidup kepada mereka. Setelah persetujuan dicapai, pihak musuh membekalkan kepadanya peralatan untuk memerangkap Syam’un.

Pada malam tersebut isteri Syam’un melaksanakan tugasnya. Setelah suaminya tidur, kaki dan tangan suaminya diikat. Namun apabila terjaga, Syam’un dengan mudah mengungkaikan ikatan tersebut.

“Siapa yang ikat aku?” Tanya Syam’un.

“Aku saja hendak menguji kekuatan engkau,” jawab isterinya menyembunyikan hasrat sebenar.

Keesokan malamnya isteri Syam’un mengulangi perbuatannya. Kaki dan tangan suaminya diikat dengan kuat dan tali yang lebih kukuh.Namun itu pun masih boleh diungkai dengan mudah oleh suaminya.

” Wahai isteri yang aku kasihi, sebenarnya Allah telah memberi iaku kelebihan. Tak ada seorang pun di dunia ini yang boleh menandingi aku kecuali rambut ini,” kataSyam’un sambil menunjukkan rambutnya yang panjang dan lebat.

Isteri Syam’un tidak melepaskan peluang ini. Dia menunggu suaminya tidur dengan nyenyak. Apabila tiba waktu yang sesuai, rambut suaminya digunting dengan berhati-hati. Rambut tersebut dipintal menjadi lapan utas. Empat utas untuk diikat tangan manakala empat lagi untuk kakinya.

Apabila Syam’un terjaga dari tidurnya, dia tidak berdaya memutuskan ikatan tersebut. Tanpa berlengah lagi isteri Syam’un memanggil musuh suaminya untuk dibawa ke tempat sembelihan. Di sanalah pihak musuh mencungkil mata, memotong tangan, kaki, telinga serta lidah Syam’un sambil mengelilinginya. “Ya Allah, berilah aku kekuatan menggoncang rumah ini,” mohon Syam’un kepada Allah.

Allah perkenankan doa Syam’un hingga runtuh rumah tersebut dan jatuh menimpa musuh-musuh Allah itu. Allah selamatkan Syam’un dan isteri Syam’un terkorban bersama-sama pihak musuh. Setelah peristiwa ini, Syam’un menambahkan lagi ibadahnya selama 1000 bulan. Dia bersolat di malam hari dan berpuasa di siang hari.
1. Tuba Dibalas Dengan Susu
Ketika berada di Makkah, seorang lelaki telah tidur di sebelah seorang hamba Allah. Sewaktu bangun dari tidur, lelaki itu terkejut apabila mendapati dompetnya telah hilang. Memandangkan hanya mereka berdua di situ, lelaki itu terus menuduh hamba Allah tadi mencurinya.

Hamba Allah itu terkejut juga, tapi dia tidaklah marah atau membela dirinya. Berapa wang yang ada dalam dompetmu? tanyanya.

Lelaki itu pun memberitahu jumlah wangnya. Tanpa banyak bicara hamba Allah tersebut kembali ke rumahnya, lalu mengambil wang sebanyak yang disebutkan oleh lelaki tadi, kemudian memberikan wang itu kepadanya.

Tidak lama kemudian datanglah beberapa orang kawan lelaki itu memberitahu bahawa merekalah yang menyorokkan dompetnya kerana hendak bergurau.

Lalu lelaki itu terburu-buru mendapatkan hamba Allah tadi untuk mengembalikan wangnya dan meminta maaf. Tetapi hamba Allah itu menolaknya.

Ambillah ia sebagai harta halal yang baik. Aku tidak akan mengambil kembali harta yang telah aku keluarkan pada jalan Allah, kata hamba Allah itu.

Masya-Allah, sudah wujudkah hati begini di akhir zaman yang mana Islam kembali bersemarak ini? Sanggupkah hati manusia hari ini berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepadanya? Tanyalah hati kita sendiri

2. “Saman Diri sendiri”
Sayidina Abu Bakar As Siddiq r.a. tidak bersependapat dengan seorang lelaki. Semasa berbahas, beliau telah mengeluarkan sepatah perkataan yang kurang manis terhadap lelaki itu.
Dengan serta-merta itu juga Sayidina Abu Bakar menyedari akan kesalahannya lalu berkata, Wahai saudara, gunakanlah perkataan itu terhadap saya sebagai balasannya.

Lelaki itu enggan berbuat demikian. Sayidina Abu Bakar terus mendesak dan berkata hendak merujuknya kepada Rasulullah SAW. Lelaki itu tetap tidak mahu melakukannya.

Akhirnya Sayidina Abu Bakar pun meninggalkan tempat itu. Beberapa orang yang hadir berkata, Pelik betul! Dia yang melakukan kesalahan, dia pula yang mahu mengadu kepada Nabi.

Lelaki itu menjawab, Tahukah kamu siapa dia? Dia adalah Abu Bakar, menyinggungnya bererti menyinggung Nabi. Menyinggung Nabi bererti menyinggung Allah. Kalau aku menyinggung Allah, siapakah gerangan yang akan menyelamatkan aku?

Lelaki itu pun pergi berjumpa Nabi dan menceritakan peristiwa tersebut kepada baginda.
Nabi SAW pun berkata kepadanya, Keenggananmu itu kena pada tempatnya. Tetapi untuk meringankan penderitaan batinnya, sekurang-kurangnya katalah: Semoga Allah mengampuni kamu wahai Abu Bakar.

Cerita di atas memanglah pelik terutama di zaman orang
saman-menyaman ini. Akan tetapi hati orang yang takutkan Tuhan tidak begitu. Tidak bersalah pun mereka merasa berdosa, betapalah kalau terbuat salah lebih-lebih lagi mereka rasa terseksa dan menyesal yang amat sangat. Lantas tanpa tangguh-tangguh mereka berusaha menebusnya.

3. “Bisnes Dengan Alam Ghaib”
Ketika Rasulullah hendak mendirikan Masjid Nabi di Madinah, baginda telah meminta kepada tuan tanah yang akan menjadi tapak masjid tersebut agar memberikan tanahnya. Tukarannya ialah sebuah rumah di Syurga untuknya. Tuan tanah itu yang merupakan seorang penduduk Ansar, merasa keberatan, lalu datang Sayidina Usman bin Affan membawa 10,000 dirham dan membayar harga tanah itu.

Sayidina Usman menyerahkan tanah itu kepada Rasulullah dan berkata, Ya Rasullah, belilah tanah ini dari saya.

Lalu dibeli oleh Nabi dengan sebuah rumah untuk Sayidina Usman bin Affan di dalam Syurga.
(Nilai wang masa itu, 20 dirham bersamaan dengan seekor kibasy yang baik atau 10 dirham seekor kambing yang baik.)

Bagi kebanyakan ahli perniagaan hari ini, jual beli di atas tidak menguntungkan apa-apa malah ia satu kerugian. Namun keimanan para Sahabat terhadap hari Akhirat yang begitu tebal menyebabkan mereka menjual dunia untuk membeli Akhirat. Adakah keimanan dan keyakinan kita pada kehidupan di Akhirat sedemikian rupa? Sekali lagi kita perlu bertanya kepada hati kecil kita sendiri

” Wahai Tuhan, demi kemurahan dan kebesaran rahmat-Mu, rezekikanlah kami untuk untuk memperolehi hati sepertimana hati para Sahabat. “

Iklan