Pergaulan Manusia


Pergaulan Manusia Yang Berbagai Golongan

Apabila kita merenung, memerhati, memikir, menganalisa mengenai pergaulan manusia yang berbagai-bagai golongan, peringkat dan kedudukan di dalam masyarakat, kemudian banyaklah pengalaman-pengalaman, jawapan-jawapan, keputusan-keputusan yang kita dapati sama ada yang nyata mahupun yang tersirat. Di antara yang dapat kita pastikan walaupun tidak boleh dihukumkan menyeluruh, tapi lumrah berlaku di kalangan golongan manusia di antaranya ialah seperti apa yang disenaraikan di bawah ini:

1. Orang politik selalunya tidak setia berkawan

Orang politik berkawan selalunya tidak setia. Mereka berkawan ada
maksud-maksud dan tujuan-tujuan peribadi. Apabila tujuan peribadi telah selesai atau sudah tidak ada lagi, berkawan sudah tidak ada lagi, bahkan
adakalanya daripada asalnya kawan menjadi musuh pula.

Kerana itulah orang politik itu berkawan payah mahu kekal lama, betapalah sepanjang masa. Mereka sentiasa sahaja dapat kawan, kehilangan kawan, dapat kawan kehilangan kawan, kawan sering bertukar ganti. Lebih-lebih lagi apabila bersara dari politik, walau bagaimana besar jawatannya di dalam politik seperti Perdana Menteri atau menteri, kawan habis lari, tinggal seorang diri atau bersendiri. Tiada siapa yang mahu berkawan lagi, hingga terus dilupai sampai mati.

2. Ulama dan cendiakawan susah hendak berkawan

Yang susah berkawan di kalangan manusia pada hari ini ialah para ulama dan cendiakawan. Lebih-lebih lagi berkawan sesama sendiri. Kita pun tidak berani hendak mengata mengapa begitu terjadi.Mereka kalau bertemu manusia pun di majlis-majlis ilmu atau di majlis-majlis rasmi. Sedangkan mereka dikatakan pewaris Nabi atau bayangan Nabi.

Padahal Nabi, orang rindu mahu bertemu dengannya. Kalaulah Allah Taala tidak bataskan dan tidak didisiplinkan manusia di waktu hidupnya, bagaimana mahu berjumpa Nabi, sudah tentu tidak ada masa buat diri dan untuk anak dan isteri.

Bahkan Nabi selalu sahaja berjalan dan duduk-duduk dengan Sahabat-Sahabatnya. Dengan fakir miskin dan janda-janda selalu Nabi memberi mereka. Apabila dua tiga hari ada Sahabat tidak kelihatan, Nabi pun mula bertanya-tanya polan-polan itu mana, sudah beberapa hari tidak kelihatan? Sakitkah dia?

Sepatutnya apa yang berlaku kepada Nabi itu berlaku kepada para ulama dan cendiakawan, tapi berlaku sebaliknya. Orang tidak rindu hendak bertemu, mereka pula bukan sahaja tidak berkawan bahkan bergaul dengan manusia pun setakat di majlis rasmi, apatah lagi mahu bergaul dengan manusia yang fakir miskin, terlalu jarang sekali.
Mengapa terjadi begitu? Saya tidak hendak memberi jawapannya. Jawablah sendiri.

3. Pengajaran dan didikan Islam hanya berlaku di majlis rasmi

Kita lihat di zaman ini masya-Allah, alhamdulillah, majlis-majlis dakwah,
ceramah, majlis pengajian meriah merata negeri dan negara. Itu belum lagi melalui media massa cetak dan elektronik. Diisi oleh para ulama bebas mahupun ulama rasmi, pendakwah, penceramah bebas mahupun yang rasmi.Bergemalah perkataan-perkataan iman, Islam, aqidah, taqwa, akhlak, mahmudah, mazmumah, halal, haram, dunia, Akhirat, Syurga, Neraka, dosa pahala, redha, sabar, fasik, zalim, soleh dan lain-lain lagi perkataan dan istilah-istilah syariat.

Tapi malangnya, sebahagian besar mereka itu apabila bergaul dengan anak, isteri, bertemu orang di majlis-majlis kematian dan kenduri, di majlis makan bersama-sama kawan, bertemu di kedai-kedai makan dan kedai-kedai kopi, bertemu dengan keluarga di waktu-waktu tertentu, perkataan dan istilah-istilah tadi tidak kedengaran lagi. Istilah-istilah itu tidak dipakai lagi.

Tapi apa yang diperkata, dibualkan, dibincangkan, kalau hendak dibandingkan apa yang diucapkan dari isi perbualannya sudah terlalu berbeza seolah-olahnya mereka bukan ulama, bukan tok guru, bukan pendakwah dan penceramah lagi, seolah-olah bukan ahli agama, sudah sama dengan orang biasa atau orang awam, macam orang biasa bercerita. Cerita tentang bola, gaji, pakaian, makan, minum, cerita membeli-belah, boleh tahan sedikit cerita-cerita isu semasa. Cerita agama, menyebut istilah-istilah agama tadi sudah tidak kedengaran lagi.

Apa yang kita faham di sini, ahli-ahli agama pun belum benar-benar menjiwai Islam, belum mendarah mendaging. Jika agama itu dijiwai dan mendarah mendaging, ia akan jadi tabiat dan ia akan terbawa di mana-mana. Jadi didikan secara tidak formal tidak berlaku. Pengajaran dan pendidikan Islam itu hanya berlaku di majlis-majlis rasmi semata-mata, tidak berlaku di majlis-majlis tidak rasmi. Kerana itulah orang awam atau masyarakat umum lambat dapat disedarkan kepada Islam.

4. Aktif berdakwah hanya apabila ada jawatan

Ramai yang terjadi di kalangan ahli-ahli agama dan pendakwah-pendakwah rasmi, aktif menyampaikan risalah Islam di waktu masih memegang jawatannya, tapi apabila mereka tidak memegang jawatan rasmi lagi sama ada pencen atau berhenti atau diberhentikan, aktifnya menyampaikan risalah sudah tidak berlaku lagi. Hilang begitu sahaja tidak tahu ke mana pergi.

Di sini kita kias, seolah-olah macam orang yang berjawatan-jawatan lain, seperti kerani, guru, pegawai penerangan, kastam, apabila mereka itu tidak memegang lagi jawatannya mereka memanglah tidak buat kerja mereka lagi. Dan hal ini berlaku kepada orang tadi memanglah kita tidak hairan kerana kerja-kerja itu ia hanya berlaku di tempat-tempat yang tertentu sahaja. Tidak seperti agama, ia merupakan pegangan hidup, selagi hayat ada di badan ia mesti dibawa ke mana-mana. Dia tidak terhenti apabila tidak lagi memegang jawatan rasmi.

Mengapa terjadi demikian? Saya pun tidak tahu. Kita bimbang kalau Islam itu sekadar dijadikan alat atau tempat mencari makan, wal`iyazubillah. Inilah dia di antara penyakit akhir zaman.

5. Wanita berjawatan tinggi ramai jadi andartu

Di zaman moden ini atau di akhir zaman ini sudah ramai yang telah berlaku, mungkin akan ramai lagi berlaku bahawa wanita-wanita atau perempuan-perempuan yang berpelajaran tinggi dan berjawatan tinggi, banyak yang menjadi andartu bahkan ada setengahnya terus terlajak tidak berkahwin hingga mati.

Padahal mereka manusia macam orang-orang lain. Fitrah mereka adalah sama. Apa yang diperlukan oleh orang lain diperlukan juga oleh mereka. Tentu mereka ingin berkahwin macam orang lain.Di dalam masyarakat Melayu atau di dalam masyarakat Islam yang biasa pergi meminang adalah orang lelaki. Ia dianggap sopan. Jarang berlaku perempuan
meminang lelaki. Sudah begitu budaya Melayu, mereka tentu malu hendak meminang lelaki. Sepatutnya masyarakat yang baik terutama kalau pemerintah itu bertanggungjawab, kenalah organisasi masyarakat atau ada satu unit di dalam mana-mana kementerian untuk memikirkan hal ini. Kita patut bersimpati dengan wanita-wanita itu.

Sepatutnya orang Islam, masalah orang lain adalah masalah kita. Kesedihan orang lain adalah kesedihan kita. Oleh yang demikian kita tidak boleh membiarkan keadaan itu berlaku begitu sahaja. Kita tidak boleh menganggap itu adalah masalah individu. Ya, kalau itu masalah individu apalah salahnya kita bertolong bantu, di sinilah buktinya ukhuwah Islamiah. Kita harap di masa yang akan datang tidak ada lagi di kalangan masyarakat Islam ada orang yang terbiar tanpa ada kerjasama daripada masyarakat Islam.

6. Berderma secara rasmi telah jadi budaya

Sekarang ini telah menjadi trend atau menjadi budaya kalau derma itu tidak secara rasmi, di majlis yang rasmi, dan tidak dimasukkan berita di dalam surat khabar atau TV, sesetengah orang tidak mahu menderma, sedangkan derma adalah amalan Islam, siapa melakukannya dengan penuh ikhlas diberi pahala, tapi kalau ingin nama atau glamour di dalam menderma itu adalah menyalahi syariat Islam, pahalanya tiada.
Di dalam Islam sedekah kita atau derma kita atau kebaikan kita itu disuruh sembunyi-sembunyikan agar kita dapat menjaga hati daripada sifat-sifat mazmumah riyak dan ujub. Kecualilah kalau perkara-perkara itu ilmu, berita, peristiwa, sejarah dan maklumat-maklumat yang perlu disampaikan melalui media massa agar manfaatnya merata diperolehi oleh umum.

SEKIAN

Iklan