Peringkat- Peringkat Manusia Yang Bercakap


Di antara keistimewaan yang Allah Taala anugerahkan kepada manusia ialah manusia itu boleh bercakap. Manusia bercakap melalui perantaraan lidahnya. Melalui lisanlah manusia menterjemah apa yang didapati oleh akalnya, apa yang dirasai oleh hatinya, apa yang dirasa oleh sentuhannya, sama ada daripada sentuhan lidahnya, tangannya, kakinya dan lain-lain lagi, juga apa yang dirangsang oleh nafsunya.

Seterusnya menterjemahkan apa yang dilihat, apa yang ada di atas muka bumi mahupun yang di bawah muka bumi, daripada daratan, lautannya, sungai-sungainya, bukit-bukaunya, gunung-ganangnya, manusia, haiwan, jamadat dan tumbuhan.Begitu juga ia menterjemahkan apa yang menjadikan keyakinan yang bercorak agama yang bersifat maknawi dan rohani daripada segala persoalan alam ghaib dan lain-lain lagi.

Maka daripada apa yang diterjemahkan oleh manusia melalui lidahnya yang keluar berbentuk percakapan, yang bersifat, lafaz, perkataan-perkataan, istilah-istilah, maka tersebarlah berbagai-bagai maklumat-maklumat yang menjadi ilmu dan pengalaman untuk manusia.

Gabungan daripada maklumat yang disampaikan oleh lidah, berbagai-bagai golongan dan peringkat manusia kemudian disambung pula melalui alat-alat, wasilah-wasilah penyebar yang canggih. Maka berkembang dan tersiarlah ilmu pengetahuan di berbagai-bagai bidang dengan merata hingga maklumat yang berisi ilmu pengetahuan itu dapat dimiliki oleh manusia.

Oleh yang demikian, lidah yang boleh bercakap menterjemahkan apa yang dilihat, didengar, disentuh, dirasa, dan boleh menterjemahkan seluruh kehidupan iaitu yang berbagai-bagai bentuk dan sifat itu, ia sangat memberi kesan kepada manusia sama ada positif atau negatif, sama ada memberi faedah atau merosak dan memudaratkan manusia, sama ada menguntungkan atau merugikan, bahkan dari lidah lahir sejuta satu kebaikan atau sejuta satu kejahatan.

Kalau begitu kedudukan lidah, setiap orang kenalah berhati-hati mengguna lidah. Setiap orang tidak boleh menggunakan sesuka-suka hati, dengan kata-kata yang lain orang yang hendak bercakap kenalah berfikir lebih dahulu sebelum bercakap. Jangan sebarang cakap, jangan mudah-mudah hendak bercakap. Jangan main cakap sahaja kerana ia boleh menjadi racun atau menjadi madu kepada masyarakat, boleh menjadi peluru atau boleh menjadi air, boleh benar, boleh palsu, boleh memperpadukan orang atau memecahbelahkan orang, mendamaikan orang atau memporak-perandakan orang, menyejukkan hati, memanaskan hati, menghiburkan hati atau menyakitkan hati, memuliakan orang atau menghinakan orang, memberi iman atau memberi kekufuran, membawa pahala atau dosa, membawa khabar gembira atau khabar dukacita, memberi ilmu atau merapu dan lain-lain lagi.

Justeru itu Islam mengingatkan siapa yang hendak bercakap kenalah berhati-hati. Berkata Hadis:
“Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Akhirat hendaklah ia bercakap baik atau diam saja.”
Orang-orang yang bercakap itu kerana watak, bakat, tabiat, IQ, kemampuan, kebolehan, bidang-bidang ilmu yang dimiliki, pengalaman, merepek, dan tujuan yang tidak sama maka bolehlah kita kategorikan manusia yang bercakap itu seperti berikut:
1. Golongan merapu
Orang yang berjumpa orang, asyik bercakap sahaja tidak berhenti-henti, non-stop, kenakah atau tak kenakah, betul atau tidak, penting atau tidak penting, berfaedah atau tidak, sesuai atau tidak, orang suka atau tidak, mengarut atau tidak mengarut, patut atau tidak, mengandungi ilmu atau tidak dia tidak ambil kira, dia tidak peduli. Berdosakah atau berpahala dia tidak persoalkan, dia memborong cakap itu semua. Inilah golongan yang merapu.
2. Golongan peramah
Orang yang bertemu siapa pun dia mudah bercakap dengan orang, bertegur sapa, bertanya khabar, berkenalan, tanya nama, dari mana dan hendak ke mana, dia suka bercakap dengan orang yang sekira-kira perkara-perkara yang perlu sesuai dengan keadaan dan kedudukan orang itu. Dan dia pun suka mendengar cakap orang itu, boleh berbincang dan berbual boleh berlaku dua hala. Inilah golongan peramah atau pecakap.
3. Golongan kaki cakap
Orang yang apabila jumpa orang, kerjanya bercakap tidak berhenti-henti. Ada sahaja yang dicakapkannya, ada sahaja modal untuk dia bercakap. Boleh bercakap berjam-jam, lepas satu perkara, satu perkara pula, lepas satu topik, satu topik pula tidak jemu-jemu bercakap dan dia tidak fikir orang jemu atau tidak. Cakap tidak bersukat, tapi tidak pula sampai bercakap perkara yang bukan-bukan, tidaklah mengarut. Inilah dia golongan kaki cakap.
4. Golongan yang ada cita-cita perjuangan
Orang yang apabila berjumpa orang, dia akan bercakap yang perlu sahaja. Bercakap yang ada mengandungi ilmu dan didikan. Bercakap yang menyedar dan menginsafkan, bercakap amengandungi cerita-cerita suri tauladan, iman, hukum-hakam, pengajaran, isu-isu semasa yang diulas secara yang mengandungi pelajaran dan hikmah. Bercakap yang mengandungi nasihat yang berguna, cerita-cerita perjuangan. Inilah dia golongan ahli agama yang ada cita-cita.
5. Golongan pendiam
Orang yang apabila bertemu orang dia tidak suka bercakap, dia lebih suka mendengar. Dia bercakap sepatah-sepatah, disukat-sukat, bukan kerana benci, tapi sudah menjadi tabiat dan watak semulajadi. Biasanya orang begini adalah orang yang mempunyai kuat sifat malunya atau orang tidak yakin pada diri, di sini dia banyak diam daripada bercakap. Ini dinamakan golongan pendiam atau penyengap.
6. Golongan sombong
Orang yang berjumpa orang memang tidak suka bercakap kalau bukan kawan, dia tidak suka bercakap kerana benci sahaja dengan orang, biasanya orang begini kerana ada kedudukan, mungkin ada pangkat, ilmu, harta kekayaan, ada nama. Kalau dia bercakap sekali-sekala, kasar sahaja bunyinya, bertanya yang bukan-bukan, menyindir-nyindir, pantang diberikan pandangan dia meninggikan suara, bercakap mengenai kelebihan dirinya. Inilah dia golongan yang bercakap sombong.
7. Golongan biasa
Orang yang berjumpa orang, bercakap yang perlu-perlu, bercakap perkara-perkara biasa, tidak terlalu berlebih-lebihan dan tidak pula terlalu berkurangan, bercakap yang mudah, hal-hal kehidupan biasa, secara natural. Inilah golongan percakapan orang biasa.
8. Golongan yang suka memperdaya
Orang yang bercakap dengan orang di mana-mana pun lebih-lebih lagi kalau orang tidak kenal dia, maka dia akan bercakap. Membawa perkataan-perkataan yang lemak manis, bercakap tentang dirinya, usaha-usahanya, kelebihannya dan kemampuannya, kemajuan-kemajuan yang dibuat, mungkin mengajak sama di dalam usaha-usahanya. Membawa cakap-cakap yang meyakinkan orang kepadanya dengan tujuan untuk kepentingan dirinya mungkin hendakkan pengaruh, sokongan, duit dan hartanya. Cakap-cakapnya terpesona orang dibuatnya. Inilah golongan yang bercakap memperdaya.
9. Golongan petah bercakap
Orang yang bercakap fasih, bahasa tersusun dan begitu jelas, perkataan yang diucapkan begitu menarik, bahasa menggunakan perkataan yang standard, dengan jalan bahasa yang tepat dan betul, dengan istilah-istilah yang diguna begitu menarik, di samping isinya padat dan bernas. Terpesona orang yang mendengarnya. Inilah golongan orang yang petah bercakap.
10. Golongan tunjuk pandai
Orang yang bercakap dengan orang, apa sahaja orang hendak perkatakan dia mesti ikut campur memperkatakannya. Apa sahaja isu yang dibualkan dia mesti menyampuk sama walaupun adakalanya dia tidak faham kedudukannya, dia cuba bercakap juga seolah-olah dia faham dari orang lain atau paling tidak supaya orang anggap dia juga faham macam orang lain faham. Apa sahaja yang orang tanya, dia mesti menjawabnya walaupun tidak kena. Namun hendak mengaku tidak tahu, tidak. Dia akan bercakap apa sahaja agar orang menganggap dia tahu semua hal. Inilah golongan orang yang bercakap menunjuk-nunjuk pandai.
11. Golongan bercakap lucah
Ada orang apabila dia bercakap, walau apa pun topik atau apa sahaja isu yang diperkatakan atau dibualkan, dia mesti selit-selitkan perkataan-perkataan lucah, atau kata-kata dan ibarat-ibarat yang dibawa atau dijadikan penyedap dan pemangkin cakap ialah perkataan-perkataan yang boleh menaikkan nafsu, atau perkataan-perkataan itu menjadikan para pendengarnya teringatkan perempuan, terbayang perhubungan cinta bahkan setengah orang hingga di dalam ceramah-ceramah agama atau majlis dakwah pun sengaja mencari-cari peluang untuk memasukkan dan menyelit-nyelitkan perkataan-perkataan di dalam pendekatan dakwahnya atau ceramahnya yang ada unsur-unsur nafsu atau seks. Orang ramai turut seronok mendengarnya lebih-lebih lagi di dalam majlis itu ramai di kalangannya kaum ibu, lebih lumrah lagi perkataan itu diselit-selitkan. Inilah dia golongan bercakap lucah.

Peringkat-peringkat manusia yang bercakap
1. Yang suka sangat hendak bercakap (kaki cakap).
2. Yang bercakap yang perlu-perlu sahaja.
3. Bercakap yang terpaksa.
4. Bercakap yang menjadi kewajipan.
5. Tidak suka bercakap.
6. Bercakap merapu.
7. Bercakap yang sengaja disukat kerana menjaga status.
8. Bercakap yang menggoda.
9. Bercakap yang memperdaya.
10. Bercakap kerana hendak menunjuk-nunjuk pandai.
SEKIAN

Iklan