Persaingan Lelaki Dan Wanita


Ada satu fenomena atau tendency yang berlaku dalam masyarakat kita yang sangat sukar untuk difahami. Mungkin ia tempias dari budaya Barat kerana dalam budaya Timur yang tulen, fenomena ini tidak berlaku. Ia berlaku dalam masyarakat kita walaupun kita orang Timur kerana di antara banyak bangsa-bangsa di Timur, bangsa kitalah yang sangat mudah meniru budaya Barat.

Entah kenapa, budaya Barat mudah hidup subur di kalangan bangsa kita. Selalunya bekas yang mudah diisi ialah bekas yang kosong. Bangsa kita ini mudah meniru budaya asing mungkin kerana bangsa kita ini kosong. Kosong dari tradisi ketimuran. Kosong dari adat ketimuran. Kosong dari budaya ketimuran. Kosong dari nilai ketimuran. Mungkin juga kosong dari nilai-nilai Islam .

Di samping kekosongan itu, kita pula didedahkan dengan berbagai-bagai hal yang kebaratan. Segala-galanya dibandingkan dengan Barat. Segala-galanya dirujuk kepada Barat. Kita pun sentiasa disogok dengan cara hidup Barat. Itu sebab kita lihat, orang Barat punk, kita pun punk, mereka rock, kita pun rock, mereka metal, kita pun metal. Bangsa kita kuat meniru. Terutama perkara yang negatif dan tidak berfaedah.

Fenomena atau tendency yang dimaksudkan ini ialah persaingan di antara kaum lelaki dan wanita . Sifat mahu berlumba-lumba dan tanding menandingi. Mahu mengatasi satu sama lain. Mahu melebihi satu sama lain. Mahu mengalahkan satu sama lain. Kalau tidak pun, sifat mahu menuntut hak. Mahu menuntut kesamaan atau equality . Mahu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Lelaki dan wanita sentiasa bersaing dan berkonfrantasi. Kalau hendak disalahkan, kedua-dua pihak salah. Yang lelakinya terlalu cauvinis. Terlalu prejudis terhadap kelebihan mereka daripada kaum wanita. Mereka menganggap diri mereka tuan yang superior dan wanita itu rendah atau inferior. Yang wanitanya pula memandang lelaki itu setaraf dan mahukan kesamaan dalam semua hal. Apa lelaki boleh buat, mereka pun hendak buat. Apa lelaki dapat, mereka pun hendak sama. Sedikit pun tidak boleh kurang. Mereka mahu bebas. Mereka mahu contohi pergerakan Womens Liberation. Sentiasa sahaja mahu membuktikan sesuatu.

Sebenarnya, perkara ini menyalahi fitrah . Ia bertentangan dengan kehendak dan keinginan semula jadi manusia. Tidak Allah jadikan lelaki dan wanita itu untuk bersaing antara satu sama lain. Malahan lelaki dan wanita itu perlu memerlukan, kuat menguatkan, lengkap melengkapi dan hias menghiasi. Kuat wanita itu bila ada lelaki. Mantap dan teguhnya lelaki pula bila dibantu oleh wanita .
Allah ada berfirman yang lebih kurang maksudnya: Wanita itu pakaian bagi lelaki dan lelaki itu pakaian bagi wanita.

Maknanya lelaki dan wanita itu saling memerlukan dan lengkap melengkapi. Satunya berguna pada yang satu lagi. Allah juga ada berfirman maksudnya: Allah telah melebihkan lelaki itu atas wanita dengan beberapa keistimewaan. Di sini kita lihat adanya perbezaan di antara lelaki dan wanita terutamanya kerana fungsi dan peranan mereka yang berbeza. Sudah tentulah ada perbezaan fungsi dan peranan. Kalau tidak, apa perlunya diadakan perbezaan jenis. Bila ada perbezaan barulah timbul saling memerlukan dan saling mencukupi. Wanita itu mencukupkan apa yang kurang di pihak lelaki dan lelaki pula mencukupkan apa yang kurang di pihak wanita. Barulah lengkap sunnah Allah yang mencipta sesuatu itu berpasang-pasang.

Dalam ciptaan berpasang-pasang inilah terkandung berbagai hikmah dan rahsia Tuhan. Kalau siang sahaja tak ada malam atau kalau malam sahaja tak ada siang, maka tergendalalah dunia. Kalau hujan sahaja tak ada panas atau kalau panas sahaja tak ada hujan, maka rosaklah dunia. Kalau lelaki sahaja tak ada wanita atau kalau wanita sahaja tak ada lelaki, maka lenyaplah manusia.

Masing-masing ada peranannya. Itu jugalah sebabnya kenapa Allah bezakan sifat dan kebolehan lelaki dan wanita. Masing-masing dipenuhi sifat yang diperlukan untuk fungsi dan peranan masing-masing. Allah tidak mahu lelaki mengambil alih fungsi wanita atau wanita mengambil alih fungsi lelaki. Kedua-duanya mesti saling timbal balas dan bekerjasama. Kita tidak boleh melihat perhubungan lelaki dan wanita dari kacamata orang-orang Barat yang sudah rosak fitrah mereka. Nilai mereka sudah songsang dan tunggang terbalik. Mereka sudah terlalu jauh dari jalan dan kehendak Tuhan. Mereka itu menunggu kehancuran.

Dalam memahami perhubungan antara lelaki dan wanita, kita perlu rujuk dan kembali kepada Islam. Kita mesti melihat kepada fungsi dan peranan. Kita mesti berpegang kepada konsep ciptaan Allah iaitu konsep berpasangan. Konsep lengkap melengkapi, cukup mencukupi, perlu memerlukan dan kuat menguatkan. Ibarat memasang selak di daun pintu. Apalah gunanya selak itu kalau tidak dipasang penahannya di bingkai pintu. Selak tidak akan dapat digunakan dan tidak boleh berfungsi. Apalah juga gunanya memasang penahan selak di bingkai pintu kalau selaknya tidak ada. Apabila ada kedua-duanya, barulah pintu boleh diselak.

Begitu jugalah lelaki dan wanita. Dalam merealisasikan kehidupan manusia, tidak ada gunanya lelaki tanpa wanita dan tidak ada gunanya juga wanita tanpa lelaki. Di sini, tidak ada satu yang lebih penting dari yang satu lagi. Kedua-duanya penting dan kedua-duanya mesti melaksanakan fungsi dan peranan masing-masing. Oleh itu, antara lelaki dan wanita, mesti ada kefahaman, kesefahaman dan perhubungan yang betul dan sesuai. Mesti ada kasih sayang antara satu sama lain. Lelaki mesti melindungi dan membela kaum wanita. Pertahankan maruah dan kehormatan mereka. Maruah wanita Islam itu adalah juga maruah agama. Mesti saling menghormati. Maknanya kita akui peranan masing-masing. Kita akui keperluan masing-masing. Kita akui hak masing-masing. Kita akui kelemahan masing-masing dan kita akui kelebihan masing-masing. Barulah masing-masing bebas bergerak dalam lingkungan ruang lingkup masing-masing dan tidak akan timbul pergeseran dan pertembungan. Mesti bersikap toleransi di antara satu sama lain. Lelaki tidak dijadikan sempurna. Begitu juga wanita. Bila tidak sempurna, sudah tentu masing-masing banyak kelemahan. Kerana masing-masing banyak kelemahanlah maka lelaki dan wanita saling perlu memerlukan supaya yang satu dapat bergantung kepada kekuatan yang ada pada yang satu lagi. Perlu ada sikap berlapang dada dan bertolak ansur. Perlu juga ada sikap mengalah dan memberi keutamaan pada yang lain. Dengan adanya sikap-sikap ini, kelemahan masing-masing tidak akan menimbulkan masalah. Malahan ia akan mengindah dan mencantikkan lagi hubungan dan interaksi antara kedua-duanya. Terima pandangan, komen dan buah fikiran satu sama lain. Sesuatu isu atau perkara itu akan tampak lebih jelas kalau dilihat dari dua sudut iaitu sudut lelaki dan sudut wanitanya.

Dalam membuat pelan rumah pun, ada pandangan dari berbagai sudut. Ada dari hadapan, ada pandangan dari sisi dan ada pandangan pelan dari atas. Barulah jelas rupa bentuk rumah yang hendak dibina. Atas alasan yang sama, maka pandangan kedua-dua pihak pasti berguna dan menguntungkan dan akan dapat menjelaskan lagi keadaan. Apa salahnya kedua-dua pandangan tersebut diterima. Tambahan pada itu, urusan masyarakat atau urusan hidup manusia ini melibatkan dan memberi kesan kepada kedua-dua pihak sama ada lelaki atau wanita. Patut sangat pandangan dan idea kedua-dua pihak diambil kira dalam sesuatu permasalahan. Mesti ada tanggungjawab bersama. Masing-masing mesti bertanggungjawab melaksanakan fungsi masing-masing.

Macam dalam satu team, mesti ada team work. Baru semua akan berjalan elok dan matlamat dapat dicapai. Jangan pula satu pihak nak hebohkan dan nak menyibuk dengan tugas pihak lain. Macam dalam perlawanan bola sepak, penjaga gol mesti mengawasi gawangnya sendiri. Jangan sibuk nak jaga gawang lawan ataupun nak tendang bola masuk gol lawan. Itu bukan kerja dia.

Iklan