Salah Faham Tentang Makna Jahil


Dalam dua buah Hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya:
“Akan ada satu zaman di mana para ulamanya fasik dan para ahli ibadahnya jahil.”

“Amal tanpa ilmu akan tertolak.”

Kita akan fokus pada sabda Rasulullah SAW tentang amal tanpa ilmu akan tertolak dan ahli ibadah yang jahil.

Memang benar, orang yang beramal secara jahil, tanpa ilmu atau tanpa bersungguh-sungguh berusaha mempelajari ilmu khususnya ilmu-ilmu fardhu ain, maka amalannya akan tertolak. Banyak orang yang beranggapan bahawa yang dimaksud dengan jahil di sini adalah jahil dari sudut ilmu feqah atau syariat saja. Misalnya orang yang mengerjakan solat tidak faham cara taharah, berwuduk, gerakan-gerakan dan bacaan-bacaan solat dan lain-lain. Orang yang berpuasa tidak faham ilmu tentang puasa, rukun, sah batalnya dan sunat puasa. Atau orang yang mengerjakan haji tidak faham rukun, wajib dan sunat haji. Sehingga yang mereka anggap orang-orang jahil itu adalah orang-orang awam Islam yang tidak pernah belajar Islam di pondok atau sekolah-sekolah Islam. Manakala ulama, sarjana lulusan universiti Islam atau orang yang belajar ilmu-ilmu Islam di pondok tidak dianggap tidak jahil oleh mereka dan tidak termasuk ke dalam kelompok ahli ibadah yang jahil.

Memang jahil dari sudut ilmu feqah adalah satu kesalahan yang tidak dibolehkan dalam Islam. Tetapi ada satu bentuk kejahilan yang lebih merbahaya dari jahil dari sudut ilmu feqah ini iaitu jahil tidak kenal Tuhan. Dosa jahil tidak kenal Tuhan ini lebih besar daripada dosa tidak mengerjakan solat. Jahil inilah yang banyak menimpa umat Islam termasuk para ulama, cendekiawan dan sarjana lulusan universiti-universiti Islam.

Kenal Tuhan tidak sama dengan percaya pada Tuhan. Hari ini kalau kita tanya pada orang kafir sekalipun, apakah mereka tahu dan percaya adanya Tuhan, tentu mereka akan menjawab: kami tahu dan percaya Tuhan. Tetapi sebenarnya mereka tidak kenal Tuhan, tidak merasakan peranan Tuhan di dalam kehidupan seolah-olah Tuhan sudah tidak ada dalam kehidupan mereka. Pada perasaan mereka sama saja apakah Tuhan ada ataupun tidak ada.

Tuhan itu Maha Berkuasa, Menghidupkan, Mematikan, Menghukum, Mendengar, Melihat, Maha Besar, Maha Agung, Penyelamat, Penjaga, Pelindung, yang memberikan nikmat, yang menurunkan rahmat, dan memberikan nikmah, yang mewujudkan apa saja di dunia ini mahupun di akhirat. Tidak ada satu butir debu pun yang wujud tanpa pengetahuan Tuhan. Besarnya Kuasa Tuhan itu, bila Dia berkata jadi maka jadilah, Tuhan berkata wujud maka wujudlah, Tuhan berkata hidup maka hiduplah, Tuhan berkata mati maka matilah, Tuhan berkata sihat maka sihatlah, Tuhan berkata sakit maka sakitlah.

Itulah Dia Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dan menciptakan manusia. Tidak cinta dan takutkah manusia dengan Tuhannya? Itupun baru sedikitkita melihat sifat-sifat yang ada pada Tuhan.

Kalau manusia ini hatinya sudah merasakan kehebatan Tuhan, barulah datang cinta dan takut pada Tuhan, barulah datang berbagai rasa bertuhan yang lain seperti rasa dilihat, diawasi, terasa kebesaran, keagungan dan kasih sayang Tuhan. Bila orang kenal Tuhan barulah jiwanya hidup semula. Bila dia akan berbuat hal yang paling kecil sekalipun dia akan berfikir dan bertanya pada Tuhan, apakah Tuhan suka atau tidak. Inilah ubat pertama kepada manusia. Inilah ubat pertama kepada penyakit-penyakit yang dicetuskan oleh manusia di dunia ini.

Sekarang, umat Islam mahupun bukan Islam, sudah tidak kenal Tuhan. Sekalipun percaya Tuhan, tapi Tuhan sudah hilang di hatinya. Orang yang tidak kenal Tuhan bukan saja di kalangan orang yang tidak ikut syariat, bahkan orang yang solat pun tidak kenal Tuhan. Walaupun mereka banyak di masjid, tapi sebenarnya tidak mencintai Tuhan. Buktinya akhlak dan peribadi mereka tidak berubah. Orang yang berhaji, banyak mengerjakan umrah dan ibadahibadah lain sudah tidak dikaitkan dengan Tuhan. Sebab itulah tidak lahir kasih sayang, tidak lahir pemurah, kerjasama, bermaaf-maafan. Akhirnya di dalam masjid pun terjadi pertengkaran dan perkelahian kerana memperebutkan jawatan dan dunia.

Kalau orang yang tidak kenal dan sayang Tuhan itu orang yang tidak ikut syariat, tidak mengerjakan solat, tidak membayar zakat atau tidak mengerjakan haji, masih dapat diterima. Tetapi apa yang terjadi, yang menjadi pembohong, memfitnah, menipu, menyeleweng adalah di kalangan mereka yang solat, naik haji, umrah, zakat dan lain-lain. Ibadahnya tidak berbuah. Itulah tandanya ikut Islam tetapi tidak kenal Tuhan. Bukan saja orang politik, bahkan orang yang solat pun sudah terpisah dengan Tuhan.

Tidak kenal Tuhan adalah satu musibah, kejahilan dan dosa yang besar. Dosa tidak kenal Tuhan lebih besar daripada dosa tidak mengerjakan solat. Tidak ada musibah dan kejahilan yang paling besar pada manusia melainkan musibah tidak kenal Tuhan. Kerana Rasulullah SAW sudah ingatkan bahawa awal-awal agama adalah mengenal Allah. Kalau kehilangan wang, kuasa dan lain lain, itu masalah yang kecil. Tapi bila manusia tidak kenal dan sudah kehilangan Tuhan, cinta Tuhan sudah tiada, maka itu adalah musibah yang besar.

Jadi kalau manusia tidak kenal Tuhan, tentu mereka tidak cinta dan tidak takut Tuhan, padahal Tuhan itu patut dicintai. Maka automatik mereka tidak cinta sesama manusia. Mana mungkin kita dapat mencintai orang lain, kalau dengan Tuhan yang sangat berjasa kepada kita pun tidak kita cintai. Tidak kenal Tuhan, manusia tidak akan takut pada Tuhan. Akibatnya mereka tidak merasa pengawasan ghaib dari Tuhan sehingga tidak takut untuk membuat maksiat dan kejahatan.

Kerana itu bila manusia jahil, tidak kenal, tidak cinta Tuhan, automatik cinta pada sesama manusia sudah tidak murni. Akibatnya manusia tidak berkasih sayang, tidak pemurah, tidak amanah, tidak ada timbang rasa, tidak ada perikemanusiaan, tidak ada keadilan dan tidak bekerjasama. Kalaupun ada kerjasama bukan kerana cinta, ia tidak ikhlas dan ada kepentingan, mungkin kerana ingin keuntungan ataupun untuk menjaga harga diri.

Iklan